Thursday, September 16, 2010

Bangi --> Kota Bharu = 16 jam = 489 km

Assalamualaikum dan salam aidilfitri walaupun mungkin sudah basi bagi sesetengah orang.

Kali ini saya ingin bercerita tentang pengalaman menaiki motorsikal pulang berhari raya pada tahun ni.

Uniknya pulang berhari raya pada kali ini ialah saya menaiki motorsikal dari kolej saya di Bangi untuk pulang ke Kota Bharu. Saya bersama sahabat saya saudara Anuar dan saudara Bukhary bertolak dari KUIS pada jam 11 malam. Saya yang paling banyak bawa barang pulang ke Kota Bharu kerana jikalau disimpan di KUIS pun ianya tidak akan digunakan juga. Semuanya 3 beg dan bekalan untuk bersahur yang diberikan oleh pihak Masjid Al-Azhar, KUIS.

Namun sebelum sempat perjalanan kami dimulakan, jaring pengikat barang yang dibeli oleh Bukhary dan Anuar tidak dapat digunakan kerana terputus ketika kami mengisi minyak di Petronas Bandar Seri Putra, sehinggakan mereka terpaksa mengikat beg mereka dengan tali yang berharga seringgit.

Akhirnya perjalanan kami dimulakan pada jam 12 malam juga melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban ke arah Pahang. Malam yang hujan bukan hanya membuatkan kami basah kuyup tetapi turut membuatkan kami menjadi kabur dalam perjalanan apatah lagi pada waktu itu di sepanjang jalan Kuala Lumpur penuh dengan kesesakan jalan raya.

Sampai di Lebuhraya Karak, sepanjang lebuhraya tersebut amat gelap kerana tiada lampu jalan yang menerangi kiri dan kanan, kami cuma bertawakkal pada mata kami untuk melihat garisan putih di atas jalan supaya kami terus berada di lorong tepi.

Sampai sahaja di Petronas Bentong pada jam 1 pagi, kami mengisi minyak motor kami dan juga mengisi perut kami dengan secebis roti. Walaupun minyak masih banyak di dalam tangki, tetapi kami mesti memastikan minyak sentiasa dalam keadaan penuh kerana bimbang minyak habis di jalanan apatah lagi harga minyak masih dalam tahap "penyelarasan subsidi" kah kah kah... (hanya orang tertentu yang memahami istilah ini)

bukhary (berkaca mata) dan anuar (berjaket hitam)

aku dan anuar

Kami meneruskan perjalanan ke Pahang dan ingin berhenti di kawasan Kuala Lipis sebelum kami menjejaki kawasan Bukit Tujuh kerana kawasan tersebut lebih bahaya daripada kawasan Lebuhraya Karak yang kami jejaki pada permulaan perjalanan kami.

Kawasan Bukit Tujuh dikenali dengan kawasan jalan yang gelap, curam dan tinggi. Jika kami meneruskan perjalanan pada malam itu, lori dan bas akan terus memasang lampu tinggi tanpa menghiraukan motorsikal kami ini.

Sepanjang jalan Petronas Bentong ke Kuala Lipis begitu mengejutkan kami apabila kami melalui jalan ke Sungai Koyan, kami terserempak dengan khinzir melintas jalan dari jauh, mereka berlari dengan gaya yang begitu "kiut" sekali membuatkan saya gelak pecah sendirian.

Kami juga 3 kali terserempak dengan kawanan lembu membuatkan kami terkejut kerana kami melalui kawasan yang sangat gelap. Di kiri dan kanan jalan kami penuh dengan kelapa sawit dan tidak berpenghuni di situ.

Akhirnya kami sampai di Kg. Sungai Ular pada jam 3.30 pagi dan berehat sebelum kami meneruskan perjalanan selepas subuh nanti.

Dengan kesejukan yang kami alami, kami tetap juga tidur di Masjid Kg Sungai Ular sehingga subuh, sahur pun kami terlepas.

Semasa solat subuh berjemaah bersama penduduk kampung, saya tidak dapat menahan kesejukan sehinggakan saya terketar-ketar kesejukan ketika solat yang membuatkan Anuar tidak khusyuk solat.

Kami bersepakat untuk bertolak pada jam 7 pagi, tetapi akibat mengantuk, kami bangun pada jam 9 pagi.
di sinilah kami berehat

Setelah kami perhatikan nasi yang kami terlepas memakannya untuk sahur, kami dapati nasi tersebut sudah sejuk dan menjadi beku bagaikan nasi impit.

beku dan keras bagai nasi impit

Kami memulakan perjalanan kami seterusnya pada jam 10 pagi menyelusuri jalan ke arah bumi Kelantan. Tiada apa yang menarik sepanjang jalan di Bukit Tujuh hanya hutan di kiri dan kanan jalan, kecuali kami terlihat kelibat seorang yang memikul beg dan berjalan keseorangan di Bukit Tujuh! Terkejut kami kerana mana mungkin ada orang yang balik kampung hanya berjalan kaki di Bukit Tujuh seorang diri.

Kami memasuki bandar Gua Musang pada jam 12 tengah hari. Saya begitu gembira menjejaki bumi Kelantan.

gembira di Gua Musang (macam nak bertukar jadi superhero jer)

Kami memasuki Kota Bharu pada jam 4 petang.

Kesimpulannya kami dapat juga beraya walaupun masing-masing mempunyai masalah untuuk balik beraya di halaman sendiri. Secara keseluruhannya saya menghabiskan duit minyak sebanyak Rm 23.00 dari Bangi ke Kota Bharu. Inilah hikmah kembara.

Tuesday, September 7, 2010

Masalah Melayu Pulau Pinang : Isu baru atau isu lama?


Assalamualaikum dan salam aidilfitri kerana aidilfitri al-mubarak akan menjelma dalam beberapa hari lagi...

Kali ini nie-zarm bukan mahu berbicara mengenai sambutan aidilfitri kerana lebaran kali ini agak muram kerana tidak pulang ke kampung halaman (berkemungkinan besar). Cuma nie-zarm ingin untuk membangkitkan mengenai isu Pulau Pinang dan bangsa Melayu di sana.

Sejak akhir-akhir ini khususnya selepas pilihanraya umum ke-12 (PRU-12), Pulau Pinang dikatakan akan menjadi negeri pertama dalam Malaysia akan menyaksikan Melayu tergadai di negeri sendiri kononnya Pulau Pinang kini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR).

Kononnya Ketua Menteri negeri tersebut adalah bangsa Cina, maka ada yang meniup angin perkauman bahawa Melayu akan tergadai.

Cuma terdetik di hati saya, ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi bantuan kewangan kepada seluruh badan pertubuhan agama Islam di Pulai Pinang berjumlah RM 1,344,500, tetapi masih ada yang menyatakan bahawa ianya tidak membantu orang Melayu yang majoritinya beragama Islam.

Tetapi saya ingin menyentuh mengenai isu orang Melayu, antaranya yang dikatakan ialah orang Melayu akan mengalami dilema jika kerajaan Lim Guan Eng terus memerintah.

Benarkah sedemikian rupa?

Ketika saya membuat kunjungan ke sebuah perpustakaan, saya terjumpa buku yang bertajuk "Ke Mana Melayu Pulau Pinang?" tulisan Yahaya Ismail yang dicetak pada 1978 dan diulang cetak pada September 1986.

Mungkin bahasanya agak berbelit kerana menggunakan bahasa tahun 70-an dan 80-an, tetapi untuk sesiapa yang ingin memahami apakah sebenarnya isu yang dikatakan kemerosotan Melayu Pulau Pinang, adalah sangat sesuai untuk mendapatkan buku ini.

Cuma ingin saya nyatakan bahawa isu ini adalah isu lama sebenarnya, tetapi kononnya kerajaan Pulau Pinang yang baru adalah kerajaan PR, maka UMNO menyatakan bahawa kemerosotan Melayu di sana adalah berpunca daripada PR.

Di dalam buku ini dinyatakan juga bahawa kawasan Kampung Melayu dekat Batu Maung diambil oleh kerajaan negeri pada ketika itu untuk tujuan perluasan landasan kapal terbang di Bayan Lepas.

Dengan ini, jelaslah bahawa isu Melayu Pulau Pinang ini bukanlah isu baru, cuma digunakan balik untuk menyelamatkan sesetengah golongan sahaja.

1000 kalam tidak sama dengan mata sendiri melihat dan membaca...

 
Photography Templates | Slideshow Software