Tuesday, May 24, 2011

Suara Simpati : Takziah untuk keluarga mangsa tragedi Hulu Langat

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kali ini saya tidak mahu menulis banyak. Kerana apabila mendengar lirik lagu "Hijjaz", tajuk "Pepatah Pujangga", mengajak diri untuk melihat apa yang berlaku. Apatah lagi dengan nasib adik-adik kita yang golongan Al-Hafiz yang syahid dalam tragedi Hulu Langat yang menjadi perbualan orang ramai.



Jangan Takut Pada Mati,
Kalau Beriman Bertaqwa,
Kubur Bukan Tempat Rohani,
Tapi Perhentian Jasmani.


Apabila melihat mereka syahid dalam menuntut ilmu, terkenang kembali diri yang penuh dengan dosa dan noda dalam seharian. Ya Allah! Banyaknya dosa hamba-Mu. Pandulah hamba-Mu agar menjadi khalifah menegakkan agama-Mu Ya Ghaffar!


Sedangkan saya hanya diuji dengan pelbagai cabaran pun rasa sudah putus asa.

Doakan agar diri yang hina dan kurang tarbiyah terus berada dalam rahmat-Nya.

كل نفس ذائقة الموت ثم إلينا ترجعون
Setiap yang hidup akan merasakan kematian, kemudian dibawa kembali kepada Kami
Ali-Imran (185)


Semoga matiku dalam Husnul Khatimah ya Allah. Amin

Thursday, May 19, 2011

CAKNA MAHASISWA : Konvensyen Mahasiswa Selangor dan Isu RM 5 juta

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua warga KUIS

Tidak terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Guru 2011 kepada guru saya di Taski ABIM Al-Ikhwan tahun 1995, Sekolah Kebangsaan Padang Garong II tahun 1996 - 2011, Maahad Darul Qur'an Al-Islami Pasir Mas tahun 2002-2004, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Sullamiah Bunut Payong tahun 2005-2008 dan juga baut semua pensyarah di Kolej Unniversiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2009-sekarang.
Berdiri di tangga sebelum naik ke Dewan Auditorium Jubli Perak

Pada hari Selasa baru-baru ini (17 Mei 2011), nie-zarm dan seramai 60 orang warga KUIS terpilih telah dijemput ke Program "Konvensyen Mahasiswa Selangor 2011" yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan yang buat julung kalinya diadakan.


Kami diundang ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ataupun Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam. Tujuan program tersebut adalah untuk pengenalan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS), mengenai misi dan visi serta sebagai medan untuk mahasiswa sama ada yang belajar di Selangor ataupun anak Selangor yang bergelar mahasiswa di dalam dan luar Selangor melontarkan pendapat, kritikan dan mendan himpunan ke arah perubahan.


Program pagi lebih kepada input motivasi dan hasrat MPMS kerana menginginkan agar setiap ahli MPMS adalah antara golongan yang bukan sahaja aktif di luar bidang pembelajaran tetapi juga untuk memastikan mereka cemerlang akademik untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat Selangor bebas daripada gejala sosial dan memberikan khidmat pembangunan rohani kepada anak muda yang lain.

Puan Mastura Muhamad penasihat MPMS

Pada waktu tengah hari dan petang adalah lebih kepada sesi dialog bersama ilmuan dan mahasiswa. Yang menjadi perhatian adalah pada sesi tengah hari di mana mempertemukan peserta konvensyen seramai lebih daripada 400 orang untuk bersama Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan merupakan seorang yang boleh mengulas sama ada dunia Islam, politik negara dan antarabangsa, sastera, kitab-kitab sarjana barat dan Islam dan tidak terkecuali mengenai dunia seni memandangkan beliau pernah menjadi juri tetap dalam program Pilih Kasih.

Prof.Madya.Dr Abu Hassan Hasbullah
Mengambil kesempatan bergambar dengan beliau

Prof. Madya Dr. Abu Hassan memberikan ucapan yang begitu bombastik mengenai bahasa dan juga ilmu yang dimiliki oleh beliau sehinggakan membuatkan mahasiswa yang berapa di dalam Dewan Auditorium Jubli Perak terpegun seperti kejutan budaya kerana apa yang disuarakan beliau adalah bahasa yang tidak pernah diterokai oleh anak muda.

"Saya sengaja berbicara dengan bahasa yang tinggi adalah kerana inginkan mahasiswa yang mempunyai elemen intelektual yang tinggi!" Nah, di sini adalah jelas bahawa mahasiswa di Malaysia begitu cetek intelektual, sehinggakan beliau menanya soalan terbuka di dalam dewan mengenai Dharmawijaya, tidak saya pun tahu! (nasib baik saya yang jawab dan satu tahu siapa Dharmawijaya...huhuhu)

Pada waktu petang, majlis diteruskan dengan dialog bersama Prof. Dr. Muhaya Muhamad yang merupakan Tokoh Ilmuwan Selangor 2010. Banyak perbincangan mengenai psikologi diketahui di situ.

Acara kemuncaknya adalah majlis makan malam ramah mesra dan dialog santai bersama Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dan juga pimpinan kerajaan negeri yang lain.


Pada waktu kemuncak ini, saya tidak melepaskan kesempatan untuk berdialog dengan pimpinan kerajaan negeri, memandangkan KUIS adalah di bawah seliaan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak kerajaan negeri.

Saya mengemukakan tiga soalan tetapi antara soalan yang perlu diberi perhatian ada dua soalan. Soalan saya lebih kurang berbunyi begini.


"Ketika tahun 2009, Selangor digegarkan dengan isu demonstrasi yang dianjurkan oleh Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang mendakwa bahawa mereka mendapat RM 5 Juta daripada kerajaan negeri Selangor. Saya ingin bertanya, adakah benar wang tersebut diberikan kepada GMS?"

"Asrama KUIS adalah merupakan projek segera yang dilaksanakan ketika zaman pemerintahan Dato' Seri Mohd Khir Toyo menggunakan syarikat kroni utama iaitu Rehda Resources Sdn Bhd dengan kadar RM 30 juta dengan kontrak selama 30 tahun. Apakah tindakan kerajaan negeri mengenai isu ini untuk mengelakkan daripada menjadi liabiliti untuk KUIS?"


Antara jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar ialah pihak kerajaan negeri akan menjemput Rektor KUIS untuk membentangkan perbelanjaan kampus bagi memastikan aliran kewangan KUIS. Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri termasuklah mengambil alih segala hutang yang KUIS alami pihak kerajaan negeri yang akan menyelesaikan semuanya.


Manakala daripada sudut keuntungan, pihak KUIS akan menggunakan keseluruhan keuntungan untuk digunakan sebagai kos operasi KUIS. Kerana KUIS sebenarnya mengalami kerugian berbanding keuntungan yang menjadi punca kenapa KUIS tidak lagi mampu bergelar sebuah universiti penuh.

Maka dalam erti kata lain, mahasiswa KUIS yang menentukan sebenarnya mengenai aset yang merupakan aset KUIS, jika berlaku sebarang kerosakan maka pelajar yang akan bertanggungjawab kepada semua aset KUIS.

Pihak kerajaan negeri juga akan memberikan ruang tanah untuk pembangunan insfrastruktur tambahan. Dalam erti kata lain, sekarang ini ada lagi tiga fasa pembangunan KUIS yang masih lagi tidak didirikan termasuklah projek Perpustakaan Wakaf KUIS yang bernilai RM 27 juta. Manakala pihak MAIS juga memberikan sumbangan tahunan kepada KUIS sebanyak RM 12 juta untuk perkembangan KUIS.

Apa yang pihak kerajaan negeri inginkan ialah pihak Fakulti Pengurusan dan Muamalat (FPM) sama ada peringkat pensyarah dan juga mahasiswa (mahasiswa WAJIB PEKA) membaut kajian mengenai aliran kewangan KUIS serta membuat perbandingan dengan aliran kewangan KUIS yang disusun oleh pihak pengurusan KUIS bagi memudahkan proses "Check and Balance" atau semak dan seimbangkan.

Pihak kerajaan negeri juga akan membuat pemantauan mengenai asrama khususnya asrama yang dibina oleh Rehda Resources Sdn. Bhd. Setakat ini pihak pengurusan KUIS dan MAIS telah membuat pantauan asrama semasa cuti semester dan perbincangan mengenai kualiti subjek pelajaran dan pembelajaran agar menepati apa yang dinyatakan sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mempunyai kepentingan ilmu yang tinggi.

Inilah sekadar penjelasan daripada pihak kerajaan negeri Selangor. Mungkin ada masa lagi akan dapat peluang untuk bersama kerajaan negeri mengenai isu ini.

Wednesday, May 18, 2011

CAKNA MAHASISWA : Bersama Sahibus sa'adah Pengarah JAIS

Assalamualaikum dan salam sejahtera bua semua pembaca Kalam Nie-Zarm

Hari ini saya akan menceritakan mengenai pertemuan Sahibus Sa’adah Pengarah JAIS yang baru. Sepatutnya artikel ini ditulis lebih awal, tetapi tidak mengapa, asalkan ianya suatu mesej yang baik, ianya tetap dikira perlu untuk disebarluaskan.

Pada hari khamis yang lalu (12 Mei 2011), saya hadir ke pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat di Kajang untuk bersama dalam satu majlis yang diberi nama Majlis Perhimpunan Bersama Sahibus Sa’adah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang baru, Tuan Haji Marzuki bin Hussin.

Pertemuan yang menemukan kesemua nazir masjid, wakil nazir, guru besar, wakil guru besar sekolah agama JAIS dan kadhi di seluruh Selangor adalah bertujuan untuk merapatkan ukhwah sesama warga JAIS dan juga pihak pengarah JAIS, selain itu ianya adalah langkah pertama bagi pengarah baru untuk mengetahui mengenai perkembangan semasa serta perancangan JAIS pada masa hadapan.

Saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Sahibus Sa’adah pengarah JAIS mengenai perancangan yang disampaikan oleh beliau.

Beliau secara jujurnya menyatakan bahawa “core business” atau tumpuan utama bagi JAIS adalah mengenai dakwah dan perkembangan Islam khususnya di Selangor. Maka tidak dapat tidak, pihak JAIS perlu memberi penelitian khusus mengenai isu yang berkaitan dengan urusan agama Islam di dalam Selangor yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan Sultan Selangor sebagai pemimpin agama Islam di Selangor dan jajahan dibawah takluknya.

Program yang disusun oleh JAIS yang sebenarnya sudah lama dijalankan ialah mengenai Program Pembimbing Qiam, Bengkel Pendakwah, Khatib Muda dan pelbagai lagi yang disebut oleh beliau.

Apa yang cukup menarik perhatian saya adalah program Khatib Muda yang mencari khatib yang mempunyai bakat yang tinggi untuk menyampaikan amanat dan pesanan minggu di atas mimbar. Masakan tidak saya tertarik, KUIS sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam yang menerapkan konsep ta’adib dalam pengajian adalah tidak terkecuali.

Apabila saya melihat mahasiswa KUIS, saya merasakan begitu ramai yang berbakat dalam berpidato, melontarkan pandangan dan pendapat sama ada kritikan, cadangan dan sebagainya. Cuma medan untuk melahirkan Khatib dalam kalangan mahasiswa masih lagi tidak diketengahkan.

Walaupun pada satu ketika dahulu, KUIS telah menyaksikan Khatib muda dalam kalangan mahasiswa berdiri di atas mimbar dan bersuara, tetapi itu adalah pada 2-3 tahun sebelum ini.

Saya berharap agar peluang yang dinyatakan oleh pengarah JAIS menjadi realiti dan menyaksikan anak muda dan mahasiswa menjadi pimpinan agama pada masa akan datang dan KUIS juga tidak terkecuali insya Allah

Sunday, May 15, 2011

CAKNA MAHASISWA : Cerita Kenderaan dan Mahasiswa part 3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Saya rasa tak perlu untuk saya panjangkan kalam, rasanya semua sudah maklum mengenai isu ini dan saya rasa ini adalah artikel yang terakhir mengenai isu ini, jika ada pada masa hadapan, insya Allah saya akan cuba tulis semampu mungkin.

Walaupun part 3 agak terlewat kerana kesibukan komitmen pendaftaran pelajar baru dan pelajar senior, tetapi saya cuba juga untuk menuliskan isu ini, maklumlah kerja saya bukannya menghadap laptop setiap hari 24 jam untuk menulis, banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Saya bukannya "full time blogger".

Sebelum itu kita imbau dahulu komen-komen daripada pemerhati, pengkritik, pencadang dan sebagainya sepanjang dua artikel sebelum ini. Semua komen ditutup identitinya, kalau nak tahu di mana komen tersebut, cari sendiri.


Ada yang menyatakan bahawa ada golongan yang menyalahgunakan kenderaan hanya kerana mahu mengelakkan daripada ditangkap atau disuruh untuk pulang ke asrama hanya kerana isu tudung dan ada juga yang menyatakan agar bas digunakan sepenuhnya.


Ada juga yang melenting dan sebagainya apabila saya membuat perbandingan fasiliti dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sudah bernama besar.


Tapi ada juga yang mengkritik pedas sikap mahasiswa KUIS.


Saya ingin menyeru kepada mahasiswa agar jangan melatah dengan segala peraturan ini dahulu, kaji dan selidiki. Jika KUIS ingin menjadi Universiti Penuh seperti mahasiswa dan mahasiswi inginkan, perkara yang PALING UTAMA ialah perlu berjalan mengikut apa yang Universiti Penuh lain buat. Sama ada dari sudut pengurusan, undang-undang, pelaksanaan dan sebagainya.

Saya sebenarnya terkilan apabila ada kes pelajar yang menggunakan kenderaan untuk tujuan yang salah, cuba mahasiswa melihat statistik salah laku pelajar pada sesi September 2010/2011 (boleh dilihat di masjid, ATM dan juga memo di kawasan tertentu) seperti isu mahasiswa Kolej Universiti ISLAM yang ditangkap khalwat di luar kampus, mengunjungi kelab malam dan sebagainya.

Saya mengunjungi rakan-rakan di UM, UKM, USIM, UiTM Seberang Perai dan UiTM Shah Alam yang lebih besar daripada kampus KUIS yang hanya kecil ini melainkan UiTM Seberang Perai yang saiz lebih kurang sama besar dengan kampus KUIS.

Di UM dan UKM, mahasiswa mereka juga mengalami masalah tidak cukup bas, walaupun mereka mempunyai bas catar. Di UKM misalnya, bas semuanya ada 6 buah bas catar tetapi masih tidak cukup untuk 20,000 mahasiswa di sana. Senario di USIM pula, rakan sekolah saya yang berada dalam kampus induk USIM perlu berjalan dalam jarak 1km untuk ke Fakulti Ekonomi Mualamat daripada asrama mereka, ini adalah senario kampus yang bukan larangan penuh.

Manakala di UiTM Seberang Perai dan UiTM Shah Alam, mereka pula menghadapi larangan penuh.


Satu perkara yang saya tertanya, kenapa MPM/MPP ataupun parti politik kampus seperti Pro-Mahasiswa atau Pro-Aspirasi tidak memperjuangkan isu ini?

Jawapan yang saya dapat agak mengejutkan.

"Hidup sebagai pelajar memang kena mujahadah, kalau hidup nak bermewah, tak payah belajar."

Ini adalah mereka yang hidup di dalam sistem ini. Sedangkan jarak antara asrama ke dewan kuliah dan blok pengajian hanyalah berjarak 200-500 meter sahaja. Tetapi jika anda ada sebab tertentu untuk berkenderaan, boleh sahaja untuk mengisi borang tersebut.

Saya juga teringat, seramai mana pelajar yang berkenderaan selama ini memenuhi Masjid Al-Azhar KUIS untuk bersolat lima waktu? Saya melihat lebih ramai yang datang masjid adalah mereka yang tidak berkenderaan berbanding mereka yang berkenderaan. Kalau hadir pun adalah kerana untuk memenuhi kredit Usrah, selepas itu masjid dipandang sepi.

Mahasiswa KUIS berjumlah 7000++ pelajar tetapi yang berpijak di masjid pun tak sampai 50 orang.

Ada juga yang menyatakan saya ini dengan istilah "kuda tunggangan pentadbiran" dan sebagainya, SAYA MENCABAR SEMUA MAHASISWA UNTUK BERTANDING DI DALAM MPM DAN JADI MPM JIKA ANDA RASA ARAHAN INI ADALAH TIDAK RELEVAN. SAYA BERSEDIA LETAK JAWATAN PADA BILA-BILA MASA.

Apa-apapun, sekarang ini borang untuk penggunaan kenderaan sudah boleh dimuat turun di laman web KUIS yang berwajah seperti ini.

Setakat ini saya tidak lagi menerima laporan ataupun aduan yang menyatakan bahawa permohonan kenderaan ditolak, setakat ini segala permohonan adalah berjalan dengan lancar, jika ada sila maklumkan.

Saya harap agar mahasiswa tidak melenting dengan isu ini.

Wednesday, May 11, 2011

Program Tanam Pokok Bakau Bersama Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Selangor

Suasana di atas van semasa bertolak ke Telok Gong

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Hari ini (12 Mei 2011) baru Kalam Nie-Zarm berkesempatan untuk melancarkan kalam, setelah pendaftaran dan taaruf mahasiswa dan mahasiswi baru dan bertugas di Pusat Konvensyen KUIS (PKK) untuk memudahkan mahasiswa dan mahasiswi senior untuk berdaftar dengan sistem yang dianggap baru.

banner program yang kami sertai

Sekarang Nie-Zarm ingin menulis dengan menggunakan nama sebagai Mantan Kuarter Master Pentadbiran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cabang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memandangkan pada hujung minggu yang lepas, Nie-Zarm bersama dengan saudara Ahmad Shamil Abu Bakar, Mohd Nazreen bin Md Naim, Mohd Hafiz bin Sayed dan Mohd Farhan bin Zukri yang merupakan pegawai peringkat Mahasiswa BSMM KUIS dan dua lagi pegawai peringkat staff iaitu Pak Mail dan En.Othman daripada pegawai peringkat staff BSMM KUIS menyertai program daripada pihak BSMM cawangan Selangor.

"bedah" kek sebagai perasmian program oleh Puan Fatimah binti Sulaiman (topi hitam)
penyampaian replika cek daripada Puan Fatimah (topi hitam) kepada Mr. Koichi Ito (berdiri tengah)

Pada 8 Mei 2011 (Sabtu) yang lalu, saya dan semua nama yang telah saya senaraikan di atas telah menyertai program "Tanam Pokok Bakau BSMM Selangor 2011" di Telok Gong, Pelabuhan Klang yang telah dianjurkan oleh BSMM cawangan Selangor yang menjemput En.Koichi Ito yang merupakan Timbalan Duta Jepun di Malaysia.

Selain daripada misi menanam sebanyak 1290 pokok bakau, pihak BSMM Selangor juga menyampaikan kutipan dana untuk membantu mangsa tsunami, gempa bumi dan letupan reaktor nuklear yang berlaku di Jepun baru-baru ini dengan jumlah dana keseluruhan sebanyak RM 28,340.82 yang telah disampaikan oleh Pengerusi BSMM cawangan Selangor, Puan Fatimah binti Sulaiman.

Pak Othman dan saya menanam pokok bakau

Sesuatu yang berlaku di sebalik kejayaan menanam pokok bakau dan memberikan bantuan kepada negara matahari terbit itu, apa yang membanggakan BSMM KUIS ialah apabila BSMM KUIS hanya satu-satunya cabang di peringkat kampus yang menyertai program ini, selebihnya adalah sukarelawan daripada BSMM cawangan Selangor dan juga sukarelawan BSMM peringkat sekolah menengah.

Bergambar bersama BSMM di sekitar selangor yang hadir
Sempat Pak Mail dan Pak Othman bergambar bersama Puan Fatimah dan BSMM yang lain

Walaupun keletihan, tetapi apa yang kami dapat adalah lebih daripada sekadar menanam pokok bakau, tetapi semangat berpasukan untuk tujuan kebajikan yang dibawa oleh BSMM selaras dengan tuntutan Islam agar menjaga alam sekitar.

Wednesday, May 4, 2011

CAKNA MAHASISWA : Isu yuran, Berapa peratus kena bayar?



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ramai yang tertanya-tanya mengenai isu yuran sejak akhir-akhir ini, berapa peratus yang perlu dibayar untuk layak berdaftar bagi pelajar senior berdaftar bagi semester baru?

DI SINI JAWAPANNYA!!!

Pada hari ini (4 Mei 2011) jam 3.45 petang, saya dan saudari Nazriah Jaini, Exco Kebajikan serta Siti Ramizah Binti Baharin berjumpa dengan En.Hasim yang merupakan salah seorang staf dari Pejabat Bendahari, pada asalnya saya membuat temu janji dengan pihak Bendahari pada semalam lagi, tetapi En. Hasim bersedia pada hari ini.

Perjumpaan yang diadakan di One Stop Centre (OSC), berkaitan dengan keinginan pihak Unit Kebajikan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai polisi yang dilakukan oleh Pejabat Bendahari.

Apabila perjumpaan dilakukan, En.Hasim memberikan penjelasan mengenai polisi Pejabat Bendahari. Berdasarkan kenyataan beliau, pihak pengurusan KUIS telah menghantar surat kepada pihak pelajar untuk memaklumkan mengenai perkara yuran ini terlebih dahulu. (Saya tidak tahu kerana saya tidak balik ke Kelantan pun pada cuti semester kerana saya di KUIS).

Setakat ini, pihak pengurusan memaklumkan berdasarkan memo yang dikeluarkan pada penghujung semester lepas bahawa sebenarnya semua yuran mesti dijelaskan berdasarkan Klausa 12.3.2 dalam Akademik KUIS Pindaan 2007.

Inilah memo yang dikeluarkan oleh Pejabat Bendahari pada semester lepas

Tetapi pihak Jawatankuasa Pengurusan KUIS telah bermesyuarat pada 29 Oktober 2010, menyatakan bahawa semua tunggakan pada semester yang lepas perlu dijelaskan pada tempoh tiga hari pendaftaran.

Jika tidak mampu juga, pihak Pejabat Bendahari memberikan syarat bayaran yang paling minimum sebanyak 60% tetapi mereka perlu membuat menandatangani surat akujanji untuk menjelaskan sebanyak 40% yang selebihnya sebelum menghadapi peperiksaan akhir pada semester tersebut juga.

Itu adalah bagi mereka yang mengambil kursus yang mendapati Status MQA adalah lulus.

Bagi kursus yang masih dalam tempoh untuk memperbaharui kelulusan daripada pihak Agensi Kualiti Malaysia (MQA), pihak pengurusan membenarkan pembayaran 10% DENGAN SYARAT DILAMPIRKAN BERSAMA SURAT PENANGGUHAN PEMBAYARAN YURAN untuk dibawa kepada pengetahuan Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa.

Bagi mereka yang mempunyai masalah dengan PTPTN, anda dinasihatkan untuk membuka portal pelajar, bagi membuat semakan status yuran anda dahulu.

JIKA STATUS YURAN ANDA SUDAH DIJELASKAN, ANDA BOLEH TERUS MEMBUAT PENDAFTARAN

JIKA STATUS YURAN ANDA MASIH LAGI ADA SEDANGKAN PERJANJIAN PTPTN SUDAH DIBUAT SAMA ADA BERMASALAH ATAU WANG MASIH LAGI TIDAK DIMASUKKAN, BEGINI PULA KAEDAHNYA.

Anda perlu berjumpa dengan Puan Siti, Seksyen Biasiswa dan Tajaan untuk pengesahan bagi memudahkan anda untuk berdaftar di semester baru.

Begitulah antara isi perbincangan yang diadakan oleh kami pada hari ini. Untuk sementara sekarang, laman web KUIS masih lagi tidak dapat diakses, saya pun masih menunggu untuk melihat keputusan peperiksaan saya.

Insya Allah, jika diizinkan, saya bernazar JIKA SAYA MENDAPAT 3.5 KE ATAS, SAYA AKAN MEMBOTAKKAN KEPALA. Mohon doa daripada sahabat sekalian agar dimakbulkan hajat saya. Wallahu A'lam

Tuesday, May 3, 2011

CAKNA MAHASISWA : Kaedah pendaftaran bagi pelajar senior sesi 2011/2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Maafkan kalam nie-zarm kerana tidak mengemaskini cerita yang terbaru di KUIS, maklumlah apabila semakin dengan ambilan pelajar baru untuk sesi 2011/2012, pelbagai persediaan dilakukan untuk memastikan perjalanan untuk menyambut mahasiswa baru berjalan lancar.

Ramai yang sudah menyebut mengenai kadar yuran yang perlu dijelaskan untuk layak berdaftar semester baru bagi mereka yang mempunyai yuran tunggakan. Apa-apapun pertemuan dengan pihak Pejabat Bendahari sedang diaturkan. insya Allah akan dapat jawapan yang secepat mungkin.

Bagi pendaftaran pelajar baru, kaedah yang digunakan untuk semester ini dan masa akan datang adalah lebih berbeza daripada semester-semester yang sebelum ini, kerana membabitkan tandatangan mentor untuk program mentor mentee yang sekian lama dianggap terbiar oleh mahasiswa.

Sebelum berdaftar, mahasiswa perlu mendapatkan SATU SAHAJA borang pendaftaran yang sudah dimuat naik (upload) di dalam lawan web KUIS dengan memuat turun (download) borang tersebut ataupun boleh didapati pada hari pendaftaran di Pusat Konvensyen KUIS (PKK), namun saya mengesyorkan supaya borang tersebut dimuat turun untuk mempercepatkan proses pendaftaran.

Beginilah lebih kurang wajah borang pendaftaran


Seterusnya dapatkan tanda tangan mentor anda di bilik mentor anda, jika anda tidak mempunyai mentor, anda boleh terus mendapatkan maklumat lanjut di Fakulti masing-masing, jika anda merupakan mahasiswa Akademi Islam, anda dapatkanlah maklumat daripada pejabat Akademi Islam.

Seterusnya untuk urusan penempatan, anda boleh terus ke kaunter Bahagian Kediaman dan Penempatan Mahasiswa (BKPM). Selesai sahaja berdaftar di sana, pelajar boleh membuat pendaftaran kursus anda di portal pelajar sama ada di Pusat Siber, ataupun jika anda membawa komputer riba, anda boleh mengakses internet untuk berdaftar terus di dalam PKK tanpa perlu keluar daripada PKK.

Langkah yang terakhir pula ialah dengan mendapatkan pengesahan di kaunter Bahagian Rekod, maka selesailah sesi pendaftaran.

(p/s: Nie-Zarm dan siap dah semua borang untuk pendaftaran nanti, anda?)

 
Photography Templates | Slideshow Software