Saturday, December 24, 2011

CAKNA MAHASISWA : PRK KUIS. Tahniah Buat Mereka Yang Mengundi, Takziah Buat Mereka Yang Sia-Siakan Undi.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mungkin ketika artikel ini sedang ditulis, semua sudah maklum mengenai keputusan Pilihanraya Kampus KUIS untuk pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) bagi sesi 2011/2012.

Lapan individu yang terpilih untuk memenangi kerusi umum, tahniah kerana berjaya memastikan mahasiswa mengundi anda dan takziah kerana di bahu anda semua sudah terbeban dengan amanah yang mungkin menyebabkan anda semua terpaksa bekerja keras.

Tapi tak mengapa, saya tahu bahawa anda semua pasti akan melakukan yang terbaik untuk mahasiswa. Cuma isilah kemenangan yang telah anda usahakan untuk menaikkan kesatuan mahasiswa.

Cuma saya agak terkilan dengan apa yang berlaku, apabila ramai yang mendesak untuk wujudkan pilihanraya, tetapi tidak ramai yang turun ke lapangan demokrasi pada hari Khamis, 22 Disember 2011 yang lalu.

Telah ramai mahasiswa yang sedia bertanding untuk wujudkan pilihanraya, tetapi tak ramai pula yang bersedia untuk turun mengundi, daripada anggaran kasar seramai 6500 mahasiswa KUIS, hanya 1795 orang yang sanggup turun.

Tahniah baut yang turun mengundi kerana melaksanakan hak anda dan seandainya anda bersuara ke atas tindakan MPM yang mungkin anda rasa tidak puas hati, anda adalah orang yang berhak.

Buat mereka yang tidak turun ke lapangan demokrasi, takziah saya ucapkan kerana anda menyokong demokrasi pada lisan tetapi tidak pada perbuatan dan jangan pula "sembang kencang" di kemudian hari kerana anda sendiri meletakkan stigma negatif dalam kepala otak anda.

Stigma awal yang sangat dayus saya dengari dari mahasiswa.

"Kalau aku turun mengundi pun, belum tentu akan ada perubahan!" Itu antara yang saya dengari. Belum segalanya bermula, sudah mendoakan kejatuhan sesama mahasiswa, tidak pula mengangkat.

Lagi parah, apabila ada beberapa pihak yang sanggup memboikot pilihanraya. Tak perlu saya sebutkan di sini mereka itu siapa, tetapi saya mengetahui perkara tersebut berlaku, tiba-tiba pada tarikh yang sama, ada pelbagai aktiviti sedangkan tarikh ini perlulah dikosongkan daripada sebarang kegiatan.

Inilah boikot tanpa bersuara tetapi sangat berkesan.

Sepatutnya pada hari mengundi, tidak perlu untuk anjurkan boikot secara halus. Fahamilah sendiri.

Sekarang, cabaran yang paling besar adalah untuk mengukuhkan mentaliti mahasiswa.

Buat yang terasa, saya mohon maaf, tetapi kalau dah terasa tu, ubahlah sebaiknya.

Catatan : Keputusan Pilihanraya Kampus KUIS 2011/2012.
1.Muhamad Helmy Kushairy
2.Mohd Firdaus bin Mohd Hashim
3.Aisyah Basirah binti Nor Hashimi
4.Khaidir bin Kusnin
5.Noor Aida binti Che Mood
6.Ahmad Mu'adz bin Roslan
7.Faridah binti Mat
8.Muhamad Fathi bin Hamdan

Wednesday, December 21, 2011

CAKNA MAHASISWA : Majlis Perwakilan Mahasiswa sesi 2011/2012 : Siapakah mereka? Anda yang Tentukan

(Nota : Tulisan ini ditulis ketika sedang menunggu tren KTM dari Stesen Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah jam 11.30 malam 21 Disember 2011)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua.

Sudah sekian lama saya menghilangkan diri daripada menjejaki aksara di kekunci komputer riba peribadi berkenaan "Cakna Mahasiswa". Semua ini adalah tuntutan Latihan Industri yang perlu saya hadapi. Saya harap tidak ada yang salah faham terhadap tuntutan yang mesti saya penuhi ini.

Kerana ada yang menghantar mesej melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) ke telefon saya dengan menyatakan saya "ponteng" dari kerja Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), sedangkan ini adalah silibus yang perlu saya hadapi. Buat mereka, fahamilah waqi' ilmu sebelum berkata-kata. Saya maafkan mereka.

Semua mahasiswa yang hadir pada Himpunan Perdana KUIS yang berlangsung pada 1 Disember lalu mengetahui apa yang berlaku, jadi saya tidak perlu mengulas panjang lebar di sini.

Cuma bersesuaian dengan tajuk, saya ingin menulis mengenai Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung pada esok, 22 Disember 2011. Alhamdulillah, Allah S.W.T mengkabulkan permintaan saya yang tidak putus-putus menginginkan adanya pilihanraya.

Dua tahun tanpa pilihanraya menyebabkan mahasiswa mendapat perwakilan yang tidak menepati apa yang mereka inginkan, apatahlagi apabila perwakilan yang datang bukan daripada landasan demokrasi gagal menuntut apa yang mahasiswa inginkan.

Saya mengakui, saya juga mungkin pernah diklasifikasikan sebagai perwakilan yang bukan pilihan mahasiswa, bahkan tindakan saya dalam membuat keputusan terhadap beberapa isu juga turut dilihat sebagai antara tindakan yang dianggap kontroversi.

Contohnya beberapa tindakan yang dilihat seperti saya bekerja berseorangan, mungkin cara kerja saya sebegitu rupa, tetapi saya tidak "menjajah" mana-mana bidang tugas ahli MPM yang lain, tetapi seandainya ada saya "terjajah", saya mohon maaf dan saya harap ini dijadikan iktibar buat semua calon MPM bagi sesi baru untuk mengenali erti kerja.

Saya bekerja dan saya nyatakan gerak kerja saya supaya tidak menjadi fitnah dan saya menggunakan sepenuhnya "Kalam Nie-Zarm" ini sebagai medium untuk menyalurkan maklumat.

Tetapi hakikatnya bukan sekadar itu.

Sebenarnya ia adalah satu langkah untuk mempeerbesarkan jaringan blog dalam kalangan mahasiswa dan saya lihat ia seakan-akan berjaya. Apabila saya melihat blog dari rakan-rakan siswa khususnya dari persatuan-persatuan yang aktif.

Itu juga bukan isunya. Tetapi undi mahasiswa menjadi fokus.

Dua tahun yang berlalu tanpa ada mahasiswa yang berani menginfakkan diri cukup melesukan. Ramai yang menyalahkan beberapa pihak. Saya tidak mahu tuding jari mengenai kelesuan itu, siapa yang rasa salah siapa, koreksi diri dan nilai sendiri.

Saya cuba menampilkan diri sebagai ahli MPM yang cuba bekerja keras walaupun mungkin ada yang mengganggap saya berada dalam kenikmatan. Tidak sebenarnya.

Sekarang ini, mahasiswa yang akan menentukan sama ada mereka akan memilih MPM yang diyakini mampu memobilisasikan MPM sendiri seterusnya menggerakkan mahasiswa di dalam KUIS atau sebaliknya.

Sekarang ini, tanggungjawab ANDA! Semua mahasiswa untuk mengangkat mereka yang benar-benar ingin menginfakkan diri untuk mahasiswa ataupun hanya sekadar tidak mengambil tahu mengenai HAK dan TANGGUNGJAWAB anda.

HAK anda adalah untuk mendapatkan keselesaan belajar di dalam KUIS dengan menjadikan MPM sebagai saluran tepat untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

TANGGUNGJAWAB ANDA juga ialah untuk MEMBERI ke arah mengangkat martabat sesama mahasiswa dengan ILMU, KEFAHAMAN ISLAM, PEMBANGUNAN MAHASISWA YANG CAKNA DENGAN ISU KAMPUS DAN ISU SEMASA. Bukan hanya sekadar hidup di asrama dan segala majlis ilmu yang dianjurkan, anda hanya turun apabila diletakkan syarat sebagai "wajib usrah" dan sebagainya.

Saya hanyalah seorang mahasiswa juga, sama seperti anda. Syabas saya ucapkan kepada semua calon yang berani menginfakkan diri mereka. Mudah-mudahan PEMBANGUNAN MINDA MAHASISWA dapat diubah untuk mencipta KUIS yang penuh dengan mahasiswa yang benar-benar menjadi PEMANGKIN TRADISI ILMU. Maka turunlah mengundi untuk menzahirkan HAK ANDA!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 
Photography Templates | Slideshow Software