Friday, April 20, 2012

CAKNA MAHASISWA : Perkongsian Selepas Latihan Amali @ TV Al-Hijrah Buat PEMBANGUNAN SISWA KUIS.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Malam ini saya mengimbau kembali foto-foto kenangan saya ketika melaksanakan Latihan Industri (LI/Praktikal) di TV AlHijrah, meskipun hanya tiga bulan sahaja berbanding dengan rakan kampus lain, namun ianya penuh pengalaman yang mungkin berbeza dengan rakan yang lain.


Bagi saya, pengalaman perlu dikongsi kerana mungkin berguna untuk individu yang akan ke LI nanti, namun apa yang ingin saya ketengahkan ialah mengenai beberapa perkara yang boleh diaplikasikan secara umum dan beberapa tuntutan oleh Majlis Perwakilan Pelajar KUIS (MPP KUIS) kepada pihak pentadbiran KUIS yang BERSIFAT KEPERLUAN, BUKAN KEHENDAK semata-mata.

1. Ketika saya belajar di semester satu, subjek pengajian Teknologi Maklumat (IT) secara praktikal lebih berkisar tentang penggunaan peralatan pejabat paling asas seperti Microsoft Office 2010 dan menggunakan Sistem Operasi (OS) Windows. Namun di dalam industri khususnya penyiaran, teknologi yang digunakan ialah Sistem Operasi Apple dan penggunaan aplikasi Adobe Tools. Demi menjamin kempetensi dari sudut kemahiran komputer, wajar sekiranya perisian ini dijadikan silibus pengajian khas.

2. Mendapatkan lesen kelas D iaitu lesen kereta "P", ini adalah asas dan mahasiswa perlu berusaha sendiri.


3. Saya dimaklumkan tentang studio TV dan Konti Radio KUIS telah siap dan mula beroperasi, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada pensyarah Jabatan Komunikasi KUIS di atas usaha ini. Jika di IPT lain mempunyai stesen televisyen atas talian atau stesen radio, alangkah bagusnya jika MPP KUIS dapat usahakan bersama Persatuan Mahasiswa Komunikasi sebagai wadah merekrut ahli penyiaran Islam sedari kampus lagi.

Saya kira setakat itu dahulu, kerana kesuntukan masa. Semoga kita semua mementingkan KEPERLUAN dalam menuju mahasiswa yang "Pemangkin Tradisi Ilmu" sama ada dalam kampus atau di luarnya ke arah kemenangan Islam yang mampu berjihad di segala bidang yang dicitakan kita semua.

Sunday, April 15, 2012

CAKNA MAHASISWA : Bijak Mengasingkan Antara "KEPERLUAN" dan "KEHENDAK"

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, meskipun terpinggir di katil Hospital Besar Kota Bharu, tetapi masih bersemangat untuk menulis, ini masanya untuk merehatkan badan dan memerahkan minda kembali sebagai mantan pimpinan mahasiswa KUIS

Lama tidak menulis dan hanya mengerah kudrat adakalanya membikin diri dan fikiran hilang, dalam proses perbetulkan diri, perlu juga untuk menulis agar minda sentiasa segar.

Baiklah, saya tidak lupa untuk menulis mengenai lapangan lama saya di mana saya pernah berkhidmat di sana, Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS (MPMKUIS) sesi 2011. Kini ia dikembalikan kepada nama asalnya semula iaitu Majlis Perwakilan Pelajar KUIS (MPPKUIS).

Apapun nama tidak penting tetapi individu di dalamnya yang perlu difokuskan. Kerana mereka akan membawa mahasiswa ke arah kebaikan seiring dengan konsep dan gelaran MAHASISWA yang terkandung di dalam diri pengutip ilmu di laman tradisi ilmu ini.

Di bawah pimpinan Saudara Mohd Firdaus Mohd Hashim, saya diperlihatkan dengan perkembangan pesat yang dilakukan untuk pembangunan mahasiswa, ini baru dua bulan pemerintahan mereka.



Namun ada juga suara-suara sumbang yang cuba menggoyahkan perjuangan mereka dengan kritikan dan juga cubaan jatuh-menjatuh seperti saya alami ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden II (Kebajikan) ketika dahulu.

Itu perkara biasa dalam perjuangan dan saya alaminya. Ada di antara mereka yang tidak mengalami dan tidak faham realiti sebenar, bahkan jika mereka di tempat saya dahulu, mereka pun tidak mampu merealisasikannya. Perkara ini PERNAH TERJADI DI KUIS. INGAT! PERNAH TERJADI!

Cuma tidak perlulah saya nyatakan mereka itu siapa, kerana mahasiswa sudah menilai mereka.

Mungkin kerana TIDAK MENGETAHUI APA ITU "KEPERLUAN" DAN APA ITU "KEHENDAK"

KEPERLUAN adalah satu perkara asasi yang mesti ada untuk memastikan kelansungan kehidupan seseorang individu, dalam konteks mahasiswa KUIS, ianya tidak terkecuali dalam isu MASJID, air, eletrik, peralatan membuat tugasan, perpustakaan dan peralatan kelas yang sesuai. Itu adalah KEPERLUAN yang mesti diperjuangkan bagi memenuhi hak asasi berbentuk material dan rohani sebagai mahasiswa Islam.

Saya melihat KEPERLUAN masjid sahabat-sahabat mahasiswa di kampus jiran kita, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memperjuangkan masjid kampus melalui wadah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Suruhanjaya Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM bagi pembangunan rohani secara holistik di sana. Tahniah.

KEHENDAK pula ialah sesuatu yang TIDAK SAMPAI TAHAP mesti ada, ada adalah bagus tetapi jikalau ianya berbentuk keterlaluan dan perkara itu disuarakan sebagai tuntutan mesti ianya dianggap keterlaluan.

Contoh KEHENDAK yang pernah diminta oleh mahasiswa ialah mesin tambah nilai telefon (top-up) di asrama. Ini bukan keperluan asasi, bahkan ianya terjual meluas dalam kampus sama ada di premis kafe ataupun secara terus melalui siswa dan siswi yang menjadi usahawan di kampus.

Mengajak mahasiswa memenuhi setiap ruang Masjid Al-Azhar, keselamatan di kampus, perpustakaan adalah antara KEPERLUAN ASASI yang mesti ada di KUIS dan mesti diangkat dan bahu membahu sesama mahasiswa.

Segala perjuangan tidak semua akan berjaya dalam sekelip mata. Mungkin segala perjuangan saya dan perjuangan mereka sebelum saya dan perjuangan generasi MPP/MPM KUIS dewasa ini akan membuah hasil pada masa akan datang.

Mungkin semua tidak nampak kisahnya. Saya mengambil contoh Kota Bharu, Kelantan, bumi kelahiran saya.

Ketika kerajaan PAS Kelantan memenangi Pilihanraya Umum (PRU) tahun 1990 dengan "Angkatan Perpaduan Ummah" dan menyapu bersih semua kerusi di Kelantan, kerajaan negeri perlu untuk melunaskan hutang piutang dengan kerajaan pusat sehingga tahun 2005 baru dibina sebuah pusat membeli-belah besar bernama KB MALL.

Apa pengajarannya di sini dengan contoh yang saya kemukakan?

Maknanya, kerajaan negeri Kelantan mengambil pendekatan memenuhi KEPERLUAN ASAS terdahulu sebelum membina satu menurut kehendak yang mungkin dinanti-nantikan oleh warga Kota Bharu.

Begitu juga di KUIS ini.

Berilah masa kepada mereka, kalau dua bula pertama pemerintahan mereka sudah menunjukkan tanda positif, sokonglah, dukunglah, bantulah sebagai mahasiswa Islam yang memegang slogan "Pemangkin Tradisi Ilmu", agar ke arah mahasiswa yang membantu ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Semoga "Cakna Mahasiswa" benar-benar tertanam dalam diri kita semua.



Nota : Penulis mengalami demam, tekanan darah rendah (macam tak percaya), pening kepala, muntah-muntah, badan sejuk bergetar macam parkinson dan sakit belakang.

 
Photography Templates | Slideshow Software