Monday, July 30, 2012

Ramadhan Yang Dipinggirkan

Assalamualaikum. Ramadhan Kareem. Allahu Akram!

Itulah ucapan yang digalakkan kepada kita ucapkan sepanjang Ramadhan. Bulan yang mulia ini menjengah kita lagi. Alhamdulillah. Semoga kita menjadi orang yang bertakwa dengan amalan puasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti yang difardhukan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Di penghujung ayat ini disebut bahawa kita wajib berpuasa agar kita menjadi orang yang bertaqwa, Taqwa ini pelbagai cara, maka untuk mengetuk pintu taqwa, puasa adalah salah satu amalan yang difardhukan kepada kita. Saya doakan kepada diri saya sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian agar ketaqwaan dapat kita raih.

Ramadhan kini memasuki fasa kedua, ada dua fasa lagi untuk dilengkapkan tetapi saya ingin agar Ramadhan itu menjadi milik kita sepanjang tahun, agar keampunan Allah terus berada dengan diri kita.

Tapi realitinya sudah pasti tidak begitu, perlu terima hakikat bahawa Ramadhan pasti berpisah dengan kita, sama ada kita yang meninggalkan Ramadhan kerana kematian atau Ramadhan meninggalkan kita kerana Syawal yang tiba.

Ketika kita digalakkan penuhi diari Ramadhan kita dengan pelbagai aktiviti, tanpa kita sedar (atau mungkin yang sedar), Ramadhan bagai dipinggirkan.



Amalan Tadarus Al-Qur'an merupakan antara amalan yang digalakkan dalam bulan Ramadhan


Kenapa dipinggirkan? Tidak sukar jawapannya, kerana Syawal yang memenuhi kalendar manusia sedangkan Rejab baru sahaja menyapa dunia dan manusia di dalamnya.

Tidak salah untuk kita berbicara tentang biskut Almond London ataupun Baju Melayu untuk hari kemenangan yang hanya muncul setahun sekali, tetapi segala promosi itu mengaburkan tawaran istimewa Ramadhan tentang menjadikan seseorang untuk bertaqwa.

Promosi penerbangan ke kampung halaman masing-masing pada Aidilfitri. Saya tak pernah nak sibuk tentangnya.

Kasihan Ramadhan, manusia yang mendakwa diri ingin menjadi lebih bertaqwa, tetapi melupakan Ramadhan yang menawarkan penambahbaikan tahap ketaqwaan dalan diri.

Sebaliknya fokus kepada hari raya.

Promosi makanan hari raya

Itulah menjadi punca kenapa saya tidak suka ke Bazar Ramadhan atau ke Pasar Raya sejak Rejab sehingga Syawal. Berbuka di masjid menjadi rutin saya sejak di kampus sehingga ke alam pekerjaan. Sejak bekerja, duit makan saya hanya untuk bersahur sahaja, itu pun tak banyak.

Di kampus dahulu pun saya berbuka dan bersahur di masjid, bukan menumpang tetapi tidak mahu bermewah, sebaliknya agar diri sedar yang saya bukan orang senang.

Dalam beberapa belas hari lagi Ramadhan yang akan meninggalkan kita, adakah kita akan terus meminggirkan Ramadhan?

Wednesday, July 25, 2012

Mesej Buat Propagandis

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalam saya mungkin bercanggah dengan bulan Ramadhan ini, bukan saya tidak ingin tulis tentang Ramadhan, tetapi saya sedang menyusun sesuatu.

Ianya ringkas sahaja.

http://www.highsnobiety.com/news/wp-content/uploads/2011/11/propaganda-snowboard-film.jpg

Iaitu menangkis sesuatu yang sedang cuba disusun.

Iaitu tentang mereka yang tidak mahu menerima sesuatu kebenaran dan cuba wujudkan kepalsuan demi kepentingan diri dan meraih kelompok sendiri.

Demi kemenangan diri, PROPAGANDA diwujudkan.

Nak tahu definisi propaganda?

"Propaganda ialah seni untuk mempengaruhi, tetapi berbeza dengan dakwah Islamiah, kerana dakwah Islamiah bukan untuk mempengaruhi, tetapi untuk menyatakan tentang kebenaran agama Allah. Propaganda pula ialah seni untuk menipu, kerana realpolitik dipergunakan."

Realpolitik pula ialah politik yang menghalalkan cara.

"Propaganda ialah bersifat Dorongan Emosi, tanpa fakta. Kamu (siswa Diploma Komunikasi) mempelajari benda ini (propaganda), bukan saya nak ajar kamu buat propaganda, tapi supaya kamu mengenali langkah manusia yang akan cuba melakukan propaganda. Supaya kamu tidak tergolong sama dengan golongan yang ingin menang semata-mata"

-En. Rozalafri Md Johori, Pensyarah Subjek Propaganda, KUIS-

Saya mengenali propaganda sejak di bangku sekolah dan saya telah berjaya menangkisnya di kampus.

Saya juga boleh membaca siapa yang cuba wujudkan propaganda.

Mesej saya buat propagandis, bersedialah untuk dihukum dengan fakta yang kamu tidak punya. Nantikan pula detik pendedahan propagandis itu.

Jangan sampai anda tertipu dengan propagandis yang cuba mewujudkan dorongan emosi kepada anda.

Saturday, July 14, 2012

Tentang Seseorang : Temanku Abdul Salam Oumar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ketika Ramadhan semakin hampir menjenguk kita, saya mengakui bahawa saya masih lagi dalam pergelutan untuk mendapatkan rentak bagi mengharungi bulan penuh barakah ini. Masakan tidak, kesibukan yang semakin menerjah diri, menjadikan saya tidak sedar, beberapa hari lagi Ramadhan akan bertemu dengan diriku lagi.

Ketika kebuntuan ilmu dalam penulisan, saya mencari sahabat dan ilham, moga-moga boleh mencetuskan sebarang inspirasi daripada kisah mereka, menggerakkan saya untuk terus berkarya, apatah lagi kini berada di lapangan media arus perdana, rasanya tak perlu saya nyatakan bahawa saya kini bertugas di mana, yang perlu kalian semua tahu ialah saya kini diuji dalam kenikmatan.

Di tengah kotaraya Kuala Lumpur yang jalannya penuh warna warni di waktu malam, hakikatnya saya tidak punya teman dan kawan, boleh dikatakan begitu, kalau ada pun, teman sekerja di pejabat. Petang semalam (14 Julai 2012), saya menghidupkan enjin Yamaha FZ 150i, menelusuri Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, menuju Lembah Ilmu yang pernah saya diami.

Tidak lain dan tidak bukan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ketika menjelang senja Maghrib, saya tiba di sana, ternyata saya disambut, hakikatnya kunjungan saya ke KUIS berjaya mengukir senyuman dan mencipta kembali sesuatu yang hilang, iaitu persahabatan. Sepanjang tiga tahun saya di sana menadah dan meminum air di Lembah Ilmu, apa yang saya dapat adalah lebih daripada sekadar ilmu, silih berganti manusia sejak saya bergelar junior sehingga saya melangkah sebagai senior, mereka masih mengenali saya.

Daripada beberapa orang yang saya temui, salah satunya yang amat saya rindui dan saya bertemu dengannya dengan penuh kesyukuran, insan hebat ini bernama Abdul Salam Oumar yang merupakan siswa Diploma Perbankan Islam.

Inilah kawan saya, Abdul Salam Oumar

Bermula dengan pembantu Imam di Masjid Al-Azhar, kini saya difahamkan beliau merupakan Imam Tiga di masjid ini
Masjid Al-Azhar masih berdiri teguh di KUIS

Beliau yang mesra dengan panggilan "Salam", karektornya sesuai dengan namanya yang bermaksud "sejahtera", setiap kali bertemunya, pasti wujud kemesraan antara kami. Imam yang berasal dari Chad ini pada mulanya saya kenali, saya hanya kenal beliau sebagai seorang Imam dan seorang makmum sahaja, namun kami menjadi lebih rapat.

Kami berkongsi segalanya, meskipun beliau bukanlah seorang yang dikenali ramai di KUIS, tetapi memainkan peranan yang cukup besar bagi pengimarahan masjid.

Saya pernah mengajak beliau untuk beraya di Kelantan, kampung saya kerana beliau tidak berkemampuan untuk pulang ke tanah airnya, beliau bersetuju, namun apabila saya memberitahu kepadanya bahawa saya akan pulang ke Kelantan dengan motorsikal, beliau menolaknya dan beliau anggap bahawa saya buat "kerja gila". Hehehehe.

Ketika Ramadhan tahun 2011, kami sama-sama mewujudkan majlis Tadarus Al-Qur'an di Masjid Al-Azhar, meskipun kami majlis Tadarus itu berlangsung dalam keadaan hambar, tidak ramai, kadang-kala saya punya komitmen untuk mahasiswa ketika itu, (Pada 2011 saya bergelar Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, agak sibuk juga meskipun bulan Ramadhan), beliau masih tetap meneruskan Tadarus.

Semalam kami bertemu kembali, ternyata senyuman beliau masih manis menyambut saya, gembiranya apabila bersahabat kerana Allah. Kini saya dalam dunia industri yang saya sendiri tidak jangka akan berada di lapangan ini, tetapi semua ketentuan Allah, saya gembira kerana saya berkenalan dengan sahabat yang berasal dari benua yang berbeza, tetapi kami punya satu persamaan yang menyebabkan kami bahagia bila bertemu. Atas nama ISLAM.

Saya doakan agar Imam Abdul Salam dikurniakan segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Thursday, July 12, 2012

Lambaian Sweden Berakhir, Putus Harapan Tapi Terus Mara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada Jumaat 13 Julai 2012 yang mulia.

Semakin sibuk, semakin terlupa beberapa perkara. Kadang-kadang ada beberapa perkara yang cuba untuk kita lupakan, agar tidak timbul duka di hati.

Itulah ungkapan yang tepat untuk ku ungkapkan. Bukan maksudku untuk berundur, aptah lagi putus asa, tapi harapan ku kini menujukku ke arah kembara ke dunia sebenar.

Setelah menamatkan survival pengajian dan sudah pun tamat pengajian Diploma (walau tanpa majlis konvokesyen), namun tidak ku nafikan bahawa ku merindui dunia kampus. Ku berusaha untuk mencapai dunia itu kembali. Industri adalah dunia baru yang ku perlu harungi dalam keadaan terkapai-kapai untuk ku capai objektif itu.

Paling dominan impianku, untuk ke negara Scandinavia, Sweden.

Peta Sweden yang ingin ku jejaki

Pelbagai jalan telah ku lakukan untuk melalui jalan-jalan di situ, seorang pak cik ku berada di sana, ingin juga ke kecapi pendidikan kondusif serta percuma.

Tangga-tangga kedutaan di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur ku jejaki, ini semua demi masa depan yang lebih baik

Bukan ku ingin nyatakan bahawadi sini tidak punya lokasi untukku mengaut ilmu, tetapi sudah pasti kita inginkan yang terbaik dalam kehidupan kita, maka kerana itulah daku cuba juga.

Awal Mei 2012, ku ketahui akhirnya bahawa Lambaian Sweden Berakhir, ianya hanya tinggal lambaian yang melambaikan tangannya sebagai simbolik ucapan "Selamat Tinggal".

Keluargaku masih menjadi inspirasi

Ku juga tidak putus harapan, sekurang-kurangnya ku masih punya harap untuk melangkahkan kaki ke kuliah tempatan. Ku perah kudrat, berlari siang dan malam dengan nawaitu itu. Hari ini ku tahu segala jawapannya.

"Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan anda ke IPTA TIDAK BERJAYA dalam Permohonan ke IPTA bagi SESI AKADEMIK 2012/2013". Jelas dan nyata jawapan itu. Murung, terkurung dan bikin aku terapung di atas awan kelabu.

Tapi aku tahu, ini semua ujian Allah, mahu bikin aku lebih kuat. Aku terima dan aku teruskan segala yang ada di hadapan mata dan jasadku.

Yang pasti, ku harus berjuang di lapangan baru, meskipun bukanlah lapangan yang didambakan, tapi setidaknya itulah lapangan yang pasti menguji kudrat dan emosiku untuk terus melangkah ke persada ini. Moga ianya terus ku hadapi.

 
Photography Templates | Slideshow Software