Tuesday, September 18, 2012

Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka - Bahagian Kedua (Kepentingan Khutbah Nikah)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian.

Sebelum saya memanjangkan kalam bagi topik perbincangan pada kali ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca blog ini kerana membaca dan menghadam penulisan saya tentang artikel sebelum ini iaitu "Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka" yang saya tulis sebelum ini. (boleh klik ke tajuk artikel bagi mereka yang belum membacanya.

Secara ringkasnya, artikel yang lepas telah saya ulaskan tentang kepentingan memahami perihal isu aurat khususnya golongan wanita dan juga kaitannya dengan orang yang diamanahkan menjaga wanita itu, sama ada suami, ayah, abang dan sebagainya. Artikel itu bukan bersifat ingin menghukum seseorang yang tidak menutup aurat secara terus.

Tetapi ingin memberi kesedaran kepada wanita-wanita di luar sana tentang perihal menutup aurat, jika mereka sayangkan suami, ayah, abang dan orang yang diamanahkan menjaga mereka, mereka perlu penuhi tuntutan untuk menjaga mereka daripada binasa sama ada di dunia ini atau dunia selepas kematian.

Keluarga Sakinah impian setiap manusia bergelar Mukmin

Bagi suami, ayah, abang dan lelaki-lelaki yang mempunyai perempuan sebagai ahli keluarga mereka, kesedaran yang ingin saya campakkan kepada mereka ialah untuk bersama-sama menegur mereka agar menjaga batas aurat. Kerana kita adalah insan beragama.

Yang penting, masing-masing memainkan peranan dalam memastikan keluarga menjadi keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Baiklah, saya rasa perlunya jejari saya menghala ke arah tajuk perbincangan yang saya tulis, iaitu tentang kepentingan Khutbah Nikah.

Sebelum itu saya ingin katakan, saya bukan bercerita tentang "nikah khitbah" tapi "khutbah nikah".

Khutbah Nikah ialah khutbah yang disampai sebelum akad nikah berlangsung, hukum membaca Khutbah Nikah adalah sunat. Meskipun hukumnya sunat tetapi impaknya sangat besar jika disampaikan secara betul dan tepat bagi memastikan kefahaman dan tujuan perkahwinan dapat dihayati oleh pasangan yang berkahwin.

Antara intipati Khutbah Nikah yang biasanya disampaikan oleh kadhi atau imam yang bertugas ialah gesaan untuk bertaqwa kepada Allah, tujuan Allah menjadikan lelaki dan wanita dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali menjadi saksi perkahwinan abang-abang dan kakak saya serta beberapa teman lain yang menamatkan zaman bujang mereka sebelum ini.

Khutbah Nikah
Antara teks Khutbah Nikah

Namun adakalanya ianya dibaca di atas kertas dan kurangnya dititikberatkan tentang hak dan tanggungjawab suami dan isteri dalam rumah tangga. Khutbah ini perlulah diberikan rohnya iaitu penekanan tentang hak suami isteri, menjaga dan mencintai suami atau isteri bukan sahaja jasadnya, tetapi amalannya, auratnya agar mereka menjadi contoh yang baik kepada agama Islam.

Saya bukan mahu menyalahkan pihak kadhi kerana tidak menyampaikan Khutbah Nikah secara lebih serius, tapi penekanan perihal ini dirasakan perlu, pesanan ini agar boleh terus terpasak ke dalam minda pasangan suami dan isteri, bahkan ianya akan menjadi lebih indah jika dapat diinterpretasikan dalam bentuk tindakan.

Namun yang lebih penting, kita berdoalah agar isteri-isteri / anak-anak perempuan di luar sana menjaga aurat mereka agar mereka dapat menyelamatkan keluarga mereka dari api neraka.

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya. Ayah sebagai pelindung utama anak perempuannya. Segala dosa besar atau kecil anak perempuannya akan ditanggung hinggalah anak perempuannya dinikahi oleh suami.

2. Suaminya

Suami bila dah berkahwin, sangat besar tanggungjawabnya. Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya di mana-mana. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka. Ini dipanggil dayus iaitu tidak marah atau cemburu apabila isterinya bergaul bebas dengan lelaki lain.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak. Maka, sebagai abang, korang wajib untuk membantu mempercepatkan pernikahan adik perempuan korang. Bantu mereka cari calon yang terbaik yang boleh membawanya ke syurga.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka. Memang fitrah wanita suka mengumpat. Kita sebagai anak wajib ingat memperingati antara satu sama lain.
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا 

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka"

(Surah At-Tahrim :  Ayat 6)

Wednesday, September 12, 2012

"Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Berat badan naik 5 kg ketika Syawal sedangkan dalam Madrasah Ramadhan, berjaya menyusut 3kg. Sukar dan penuh cubaan pada mereka yang berusaha. Sekalung tahniah kepada mereka yang berjaya melakukan puasa enam Syawal.

Gambar terkini saya yang menyaksikan postur badan semakin berisi

Buat yang tidak sempat, tidak mengapa.

Rumah terbuka pastinya menggoda nafsu, makanan yang dihidangkan mengundang penambahan berat badan, mungkin selepas Syawal baru boleh bermula untuk aktif kembali untuk bersukan.

Tetapi ini bukan cerita tentang rumah terbuka atau berat badan yang meningkat, tapi tentang tajuk yang saya tulis ini. Ya! Tajuknya agak kasar, tapi ianya renungan untuk saya dan juga saudara sekalian.

Ketika saya bersama Abang Is (Mohd Husni) pada Ahad lalu (9 September 2012), beliau mengajak saya ke rumah seorang kenalan korporat beliau di Banyan Close. Sepanjang tiga tahun membanting tulang menadah ilmu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pun saya tidak pernah berhajat untuk ke sana. Sedangkan pada pagi itu saya keletihan selepas bertugas.

Tapi hati terdetik juga untuk ke sana.

Ketika menjejak kaki ke sana, ramai yang sedang menjamu selera, kami juga mencedok satu dua jenis makanan untuk menjadi santapan.

Tiba-tiba, satu luahan yang Abang Is lontarkan kepada saya:

"Kesian, isteri punya dosa, suami masuk neraka"
Tergamam saya seketika

"Kalau betul isteri dia sayang suami, dia takkan biar rambut berjurai macam tu dalam majlis macam ni atau kat mana-mana pun"

Baru saya dapat tangkap maksud tersirat yang Abang Is cuba sampaikan, tentang tanggungjawab kekeluargaan perihal menjaga aib suami dan isteri masing-masing. Bagi saya, aurat juga merupakan aib yang besar tetapi dipandang sepi oleh masyarakat.



Antara gambar dalam kempen "Jangan Dedah Aurat Di Facebook"

Sebelum ini kita didedahkan dengan dosa dedah gambar tidak tutup aurat di facebook dan sebagainya, Tahniah pada yang berusaha atas kempen ini, sedangkan saya yang punya kudrat dan kekuatan pun masih lagi gagap untuk bercerita tentang perkara ini, maklumlah, saya bukan pandai berpidato. Harap tulisan ini menjadi saksi bahawa saya pernah menegur perkara aurat dalam dunia maya.

Saya teringat kembali kepada anak-anak didik saya di SMK Putrajaya Presint 11 (2) yang pernah saya berbakti menyampaikan ilmu suatu ketika dahulu. Adakah mereka akan menjadi anak yang membawa ibu bapa mereka ke syurga atau ke neraka?


Saya bersama anak murid saya ketika membawa mereka ke TV Al-Hijrah baru-baru ini

Sekarang, terpulang kepada kita, butang untuk menentukan hala tuju ini dalam genggaman semua.




وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya : Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka   dan memelihara kemaluan mereka, danjanganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanyaDan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (al-Nuur : 31)

 
Photography Templates | Slideshow Software