Wednesday, October 30, 2013

Kembara Rohani Jordan-Syria Eidul Adha 1434 Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian Alam, walaupun dugaan datang tanpa putus, namun Allah masih lagi sayangkan hamba yang penuh dosa dan noda ini meniti kehidupan atas muka bumi ini.

Mungkin Allah masih lagi berikan hayat ini, untuk hamba-Nya seperti saya ini, dapat mengucapkan kalimah taubat nasuha sebelum berakhirnya hayat ini.

Dengan kudrat-Nya juga Allah benarkan jari-jemari saya ini masih lagi ligat untuk menulis dan terus menulis pelbagai seribu satu cerita yang saya hadapi dalam kehidupan yang singkat ini.

Akhirnya Allah berikan saya masa yang sesuai untuk berkongsi tentang apa yang saya hadapi ketika berada di bumi Syam, iaitu negara Jordan yang telah saya kunjungi pada Aidil Adha baru-baru ini iaitu pada 16 hingga 20 Oktober lalu.

Rombongan kami di KLIA sebelum berlepas. Sumber gambar Facebook Ustaz Nazmi Karim

Walaupun ceritanya sudah berlalu hampir dua minggu, namun pelbagai kisah dan ibrah yang dapat diambil daripada bumi Anbiya’ ini.

Saya bersama rakan seperjuangan, Azril Rafiqzuddin serta beberapa teman lain daripada IKIM.fm, Harian Metro, bersama guru saya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Nazmi Abdul Karim diundang oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia untuk menyertai Misi Kembara Rohani dan Bantuan Kemanusiaan Syria yang bertujuan menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria di Jordan.

Misi kali ini saya kira amat berbeza daripada misi rakan-rakan NGO yang lain, kerana apabila sebut tentang pelarian Syria, biasanya akan dikaitkan dengan kem pelarian di Antakya, yang bertempat di Turki kerana ramai rakan-rakan NGO dan juga wartawan yang membuat liputan ke sana, kiranya kedatangan kami ke sana mungkin mendapat gambaran yang berbeza tentang Syria yang sedang bergolak itu.
Saya secara peribadi agar teruja kerana ini adalah penerbangan pertama ke luar negara dalam kehidupan saya, kerana selama ini, luar negara yang sering saya kunjungi pun ialah Selatan Thai, itupun sebab memang kampung asal keluarga saya.


 Waktu di Dubai, ketika kami solat subuh di sana

Perjalanan lapan jam untuk transit ke Dubai amat memenatkan, namun apabila sebut tentang Dubai, pasti kita bayangkan tentang kemewahan, di kawasan transit pun, masih lagi penuh dengan pengunjung walaupun jam menunjukkan pukul 6 pagi,

 Saya ketika berada di ruangan transit Dubai

 Dr Zulkifli Al-Bakri dan Ustaz Nazmi Karim

 Rombongan kami ketika turun eskalator menuju ke kapal terbang ke Amman

 Rakan media dari Harian Metro, Hafis dan Sairien menghantar berita ke Kuala Lumpur

Dr Zulkifli Al-Bakri sedang menyampaikan kuliah lima minit sambil menunggu panggilan terakhir

Mentari pagi di Dubai
Setelah transit di Dubai selama dua jam, perjalanan kami ke Jordan bersambung semula.


 Suasana setelah mendarat di Lapangan Terbang Queen Alia



 Menanti giliran untuk diperiksa oleh imigresen Jordan

 Queen Alia menyambut kami dengan "Eid Mubarak"
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia di Amman, saya terus ditiup angin sejuk. Betapa bezanya cuaca di sana, maka tidak hairanlah ramai kawan saya yang menyarankan agar membawa baju sejuk untuk dipakai ketika di sana.


 Saya dan Dr. Zulkifli Al-Bakri di Lapangan Terbang Queen Alia


 Jordan terkenal dengan banyaknya pokok Zaitun, penuh pokok Zaitun tepi jalan

Destinasi kami pada hari itu ialah ke Irbid, sebuah daerah yang berada di Barat Jordan bersempadan dengan Syria. Namun sebelum kami ke sana, kami sempat berehat di Mat’am Rubu’ Al-Saidah, sebuah restoran milik orang Yaman, Nasi Mandy di sini sangat berbeza.

Mat'am Rubu' Al-Saidah

Bersama dengan rakan-rakan Yaman di Restoran ini
 
Sepanjang perjalanan kami di sana, apabila kereta kami terhenti di lampu merah, kami dapat lihat pelbagai gelagat manusia yang berniaga barang-barang kecil untuk menyara hidup demi sebuku roti, kerana kos sara hidup di sini agak tinggi, bayangkan Satu Dinar Jordan bersamaan lebih kurang Lima Ringgit Malaysia!
 

Beginilah mereka mencari rezeki, menjual barangan dengan mengetuk cermin kereta


 Suasana berbukit di Jordan sangat menarik

Kami berdekatan dengan Syria
Setibanya di Irbid, saya sebilik dengan Dr Zulkifli Al-Bakri, berehat sementara sebelum adanya rakaman rancangan “Cinta Ilmu Istimewa Jordan” yang akan bersiaran 3 Oktober ini.

Pelajar Malaysia di sana yang turut hadir sama

Pelbagai mutiara hikmah yang dikongsikan beliau. Pengisian Rohani yang diberikan oleh beliau berkenaan dengan kepentingan belajar ilmu dihadam oleh lebih daripada 300 pelajar Malaysia yang merantau di sana. Kami difahamkan pelajar Malaysia di Jordan seramai 3,500 orang, yang menghantar permohonan untuk turut serta dalam program ini seramai 2,700 orang, namun kerana dewan yang dapat memuatkan kapasiti seramai 300 orang sahaja, ramai yang kecewa tak dapat bersama mengutip mutiara ilmu di sini.

Waktu malam di sini boleh tahan juga meriah, sebab di sana, cuti Aidil Adha selama sembilan hari. Mereka meraikan hari tasyri’ dengan pelbagai aktiviti.

Begitulah hari pertama kami di sana.

Bersambung...

Friday, October 4, 2013

Laporan Audit: Kerajaan Negeri Maklum Kelemahan Kewangan KUIS

Kerajaan Negeri sememangnya maklum dengan kedudukan kewangan Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang lemah serta keperluan untuk mengemaskini urustadbir kolej tersebut sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Audit Negara 2012. Sehubungan itu beberapa langkah telah dikenal pasti untuk membantu KUIS agar keluar dari masalah kewangan yang ditanggung sejak 2010 yang lalu. Syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) telah diminta untuk mengkaji situasi KUIS dan berbincang dengan pihak pengurusan serta pihak-pihak berkenaan mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan termasuk menyalurkan dana kepada Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang  menanggung kerugian sebanyak RM11.30 juta pada 2011.



KPS sedang dalam perbincangan dengan pemilik tunggal KUIS iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan hasil perbincangan mendapati KUIS memerlukan sekurang-kurangnya RM238 juta bagi memulihkan kewangan KUIS. Dana ini termasuk bayaran berjumlah RM152 juta untuk sekali bayaran (one off payment) kepada syarikat pemegang konsesi; Redha Resources Sdn. Bhd. (RSSB) manakala dana selebihnya pula akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di KUIS seperti perpustakaan, dewan kuliah, asrama dan penyelenggaraan bangunan.

RSSB telah diberikan konsesi selama 33 tahun pada 2005 oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo. Sekiranya one off payment ini tidak dibuat, KUIS terpaksa membayar lebih RM19 juta setahun kepada RSSB selama 33 tahun yang mencecah RM600 juta. Setakat ini, KUIS telah membayar sebanyak RM50 juta kepada RSSB.

Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara, kerugian ini disebabkan proses penyusunan semula KUIS melalui pembangunan secara Build Operate and Transfer (BOT) apabila terpaksa mula membayar sewa asrama dan bangunan kepada RSSB mulai 2009. Pada tahun 2011, tanggungan terhadap konsesi tersebut merupakan 14% dari keseluruhan kos operasi KUIS. Ironinya, KUIS dikehendaki membayar kos sewaan asrama berdasarkan penginapan 100 peratus dan 300 hari kalendar akademik meskipun kadar penginapan pelajar tidak pernah mencapai kadar 100 peratus dan kalendar akademik adalah kurang dari 280 hari.

RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul Razak, seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang. Beliau memiliki saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51% pegangan di dalam RRSB, sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula memiliki 800,000 saham bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.

RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional ketika itu. Malah Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara MAIS, RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini. MAIS turut bertindak sebagai Penjamin dengan memberi jaminan kepada bank-bank jika KUIS gagal membuat bayaran kepada pemegang konsesi; RSSB.

Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah.  Dengan kos RM125.8 juta ini, RSSB diberi konsesi sehingga tahun 2039 dengan menerima bayaran keseluruhan mencecah RM600 juta.

KUIS adalah contoh bagaimana pimpinan UMNO-BN mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan; akibatnya ditanggung oleh pelajar dan ibubapa kerana terpaksa membayar yuran pengajian dan kos asrama yang tinggi manakala pentadbiran KUIS terpaksa mengabaikan kepentingan lain demi mengawal kedudukan kewangan dari terus menjunam.

Disebabkan 'kesilapan' pemimpin terdahulu memilih pembangunan secara BOT dan menandatangani perjanjian konsesi yang berat sebelah, kerajaan Selangor Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa mencari jalan menyelamatkan sebuah institusi pendidikan kebanggaan rakyat Selangor. Kerajaan sedang berusaha untuk mengambilalih semua kos prasarana dan infrastruktur Kolej dan Universiti milik negeri Selangor agar pentadbiran Universiti dan Kolej tidak dibebankan dengan kos tersebut tetapi hanya mengurus kos operasi harian. Dengan cara ini dijangkakan institusi tersebut akan dapat lebih menumpu kepada mutu pendidikan dan pembelajaran.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
3 OKTOBER 2013


dipetik dari : https://www.facebook.com/notes/abdul-khalid-ibrahim/laporan-audit-kerajaan-negeri-maklum-kelemahan-kewangan-kuis/10151725114057991

Tuesday, October 1, 2013

Terkini : "Government Shutdown" di Amerika, Analisis saya (bahagian 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ini adalah tulisan tergempar yang pernah saya lakukan.

Pada hari ini (1 Oktober 2013), kerajaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Barack Obama mengalami "Government Shutdown" atau operasi kerajaan dihentikan secara rasmi.

Apakah yang dikatakan sebagai "Government Shutdown"? Ia adalah satu situasi yang mana sektor kerajaan diarah agar dihentikan SERTA-MERTA kerana beberapa keputusan yang dilakukan di Parlimen atau Dewan Rakyat.


Dalam kes Amerika yang berlaku pada hari ini, Dewan Senat TIDAK BERSETUJU dengan pelan yang dikenali sebagai "Obama Care" dengan peratusan undi sebanyak 54 peratus, manakala yang bersetuju dengan pelan tersebut mendapat undian sebanyak 46 peratus.

Dalam kes "Obama Care",kutipan suara yang dilakukan tidak memerlukan undian majoriti dua per tiga daripada kesemua ahli senat yang hadir. Tidak seperti pindaan terhadap undang-undang yang memerlukan keputusan undian majoriti ahli senat sebanyak dua per tiga ahli.

Apakah itu "Obama Care"? Obama Care ataupun nama rasminya ialah Akta Perlindungan Pesakit dan Penjagaan Mampu adalah akta yang telah dikeluarkan pada Mac 2010 namun belum dilaksanakan kerana beberapa isu.

Dengan kebejatan ekonomi yang melanda negara "Uncle Sam", Amerika perlu ke arah melaksanakan kaedan penjimatan dan apa yang dikatakan oleh Amerika sebelum ini untuk menyerang Syria sebenarnya hanya sekadar satu perang psikologi.

Dengan banyak sumber kewangan Amerika digunakan untuk penaklukan negara Timur Tengah sehingga terlupa untuk menjaga kebajikan rakyat sendiri, telah mengakibatkan kesan ekonomi yang teruk serta "Government Shutdown" seperti yang berlaku kini.



Kesan

Kesan daripada "American Government Shutdown" ialah pekerja sektor kerajaan sekurang-kurangnya LAPAN RATUS RIBU (800,000) akan dihentikan kerja secara SERTA-MERTA, kecuali beberapa sektor yang kritikal seperti hospital dan sebagainya.

Pekerja dalam sektor kerajaan yang dihentikan bagai "sudah jatuh ditimpa tangga", kerana tiada jaminan bahawa gaji tunggakan tidak akan dibayar bahkan operasi-operasi berkenaan kerajaan seperti kementerian, taman negara, bangunan operasi kerajaan termasuklah "State Of Liberty" yang menjadi pusat pelancongan milik kerajaan juga turut ditutup.

Meskipun Obama masih lagi optimis dengan pelan "Obama Care" akan terus dijalankan, namun dengan fenomena "American Government Shutdown" akan mengakibatkan kesan negatif yang sangat besar.

Peluang kita.

Ketika Amerika sedang dilanda bala ini, inilah peluang kita untuk bangkit dan membina kembali jaringan ekonomi yang kuat khususnya dalam faktor ekonomi Islam.

Saya kira negara umat Islam dan umat Islam sendiri perlu mengambil peluang ini dengan memastikan penyebaran produk muslim dan memastikan EKONOMI ZIONIS LUMPUH SEPENUHNYA.

Apa kaitan Amerika dan Zionis? Tak perlu untuk saya karangkan di sini. Cukuplah saya menyatakan bahawa beberapa syarikat yang kita menjadi penggunanya memberi sokongan kewangan kepada negara Israel.

Sekarang ini, restoran yang namanya bermula dengan huruf "Mc"mengalami kerugian di Amerika kerana apabila peluang pekerjaan semakin menghimpit, kuasa beli akan berkurangan dan mereka hanya bergantung sepenuhnya dengan pasaran di luar Amerika.

Mungkin ini ialah detik kebangkitan yang diimpikan.

Buktikan Islam ialah agama yang mengajak ummatnya mendepani cabaran dalam membina negara serta membangunkan ummat.

 
Photography Templates | Slideshow Software