Friday, October 2, 2015

CAKNA MAHASISWA: Yuran Pengajian KUIS. Isu Yang Tidak Terhenti.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya asalnya tidak berniat untuk menulis apa-apa lagi artikel dengan "tagline" "Cakna Mahasiswa" kerana saya dapat merasakan bahawa detik kepemudaan saya semakin hari semakin suntuk. Apatah lagi detik mahasiswa saya telah pun lama berakhir.

Namun saya terpaksa kembali menulis kerana menjelang sesi pengambilan siswa November di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu sedang menghitung waktu. Ianya gara-gara komen saya terhadap sebuah artikel dari pengirim di dalam portal berita "Malaysiakini.com" yang masih menjadi "rujukan orang ramai" apabila mereka mencari sesuatu suapan berita berkenaan dengan KUIS.

Antara "whatapps" yang saya dapat menanyakan soalan berkenaan dengan yuran.

Artikel asal "Luahan Hati Ibu Pelajar KUIS" boleh dibaca pada pautan ini

Jawapan saya di dalam ruangan komen artikel itu adalah seperti berikut:

"Assalamualaikum. Saya Saifulnizam bin Muhamad, mahasiswa KUIS. Seandainya benar ini luahan hati ibu bapa pelajar, saya bersedia untuk bersemuka dengan puan yang menulis surat ini kerana saya adalah Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) KUIS. Ini nombor telefon saya 017-9194019. Saya sudah baca artikel ini di Malaysiakini.com, setakat ini saya belum lagi bertemu dengan aduan daripada mahasiswa atau mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Perundangan. Saya bersedia menjawab sebarang persoalan yang timbul oleh pihak anak puan. Sebolehnya puan hubungi saya segera. Saya sanggup tidak pulang berhari raya haji nanti kerana saya ingin berkhidmat untuk mahasiswa bahkan jika perlu untuk saya ke Pulau Pinang iaitu negeri puan, saya akan pergi Insya Allah. Saya juga pelajar miskin dari Kelantan, tapi saya selesa berada di KUIS. Mungkin ada perkara yang menyebabkan kebajikan anak kepada puan. Selain daripada nombor telefon, saya juga boleh dihubungi di facebook saya di www.facebook.com/saifulnizam.muhamad atau di blog saya di http://kalamnie-zarm.blogspot.com pada bila-bila masa.

Saifulnizam bin Muhamad
Naib Presiden II (Kebajikan),
Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM)
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Sesi 2010/2011"

Malangnya, sehingga ke hari ini, ibu tersebut tiada pun menghubungi saya, namun sehingga ke hari ini, saya masih lagi bertalu-talu menerima mesej dan telefon daripada individu yang tidak dikenali, berhubung dan bertanya tentang isu yuran KUIS ini.

Seolah saya dapat rasa sesuatu, bahawa isu ini sengaja timbul hanya pada fasa tertentu sahaja. Timbulnya isu ini pada 2009 sehingga ianya bagaikan agenda nasional kerana peristiwa tersebut turut tersiar di dalam Buletin Utama TV3, kemudian kembali sepi. Ianya kembali timbul pada 2011. Sehingga detik dan ketika ini, isu ini sangat sepi.

Atau, mungkin ibu kepada pelajar tersebut sudah kembali menjadi seorang yang kaya raya dan terlupa akan isu itu. Bersangka baik.

Manakala bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Menteri Besar ketika isu ini timbul, menafikan yuran KUIS mahal.

Pautan video ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim, Mantan Menteri Besar Selangor.


Saya mohon beberapa perkara untuk tindakan lanjut kepada pihak berkenaan.

Kepada pihak kepimpinan mahasiswa di dalam KUIS kini, mohon perkemaskan lagi sistem komunikasi dan juga penerangan, agar isu di dalam KUIS bukan hanya seputar siswa KUIS sahaja yang tahu, sebaliknya perluaskan lagi sehingga ke kelompok bakal siswa yang akan mengisi ilmu mereka di Teratak Ilmu ini.

Kepada bakal calon Pilihanraya Kampus KUIS yang saya kira, detik pilihanraya sudah semakin hampir, ambil isu ini sebagai tugasan anda untuk penggal yang akan datang.

Wallahu A'lam.

Monday, September 28, 2015

(Bahagian Ketiga) Kembara Rohani Jordan-Syria Eidul Adha 1434 Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah kita telah memasuki fasa baru, dengan bermulanya tahun baru 1435 Hijrah, diharapkan tabir baru juga memberikan sesuatu yang baru dalam kehidupan kita semua.

Hari ini saya sekali lagi akan menyambung tulisan berkenaan dengan perjalanan Kembara Rohani Jordan-Syria pada Eidul Adha baru-baru ini.

Perancangan asal kami pada hari ketiga kembara tersebut ialah untuk memasuki Baitul Maqdis melalui sempadan Tebing Barat yang dikendalikan oleh Israel di Allenby dan akan menginap di sana selama satu hari sebelum kembali ke bumi Jordan.

Saya kira semua umat Islam yang beriman turut mempunyai niat di hati untuk menjejakkan bumi Palestin, walaupun seinci yang mampu kita jejaki, ianya merupakan nikmat yang tidak terkata. Saya hanya mampu ucapkan syukur apabila mengetahui bahawa visa telah pun diluluskan.

Namun pada subuh hari tersebut, ada sesuatu yang disuarakan oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang tugasan yang akan saya lakukan bersama beliau di sana. Ketika itu, beliau gusar antara niat dan juga pandangan ulama terhadap isu Baitul Maqdis.

"Saya sebenarnya berpegang kepada pandangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, yang mana tak berapa sokong seandainya ada yang memasuki Al-Aqsa hanya dengan tujuan pelancongan, kerana seolah-seolah kita membayar visa kepada Israel, dan memberikan wang tersebut ke arah pemerkasaan ekonomi Yahudi."

 Rombongan kami sebelum bertolak ke Palestin

Namun kami tetap meneruskan perjalanan ke sana. Bagi saya, meskipun pengurusan persempadanan yang telah diambil alih oleh Yahudi Israel, namun tanah itu masih lagi adalah tanah suci. Lagipun, niat kami bukannya untuk melancong semata-mata, tetapi untuk mengetahui sendiri bagaimana Israel merosakkan bumi Palestin yang sebenarnya adalah bumi kita, umat Islam.

Timbul kerisauan dalam hati saya ketika mana kami berada di kawasan imigresen Jordan, memandangkan saya membawa kamera, bimbang pihak Israel akan menahan kami semua. Memandangkan kami teringatkan layanan pihak Polis Jordan yang pernah cuba untuk merampas kamera kami ketika kami berada di kem Za'tari seperti yang saya nyatakan pada bahagian kedua kembara ini yang telah saya tulis sebelum ini.

Selesai pengurusan dengan imigresen Jordan, kami meneruskan perjalanan ke sana. Jambatan King Hussien kami selusuri, suasana yang amat sepi di kedua-dua hala jalan. Ianya sempadan yang paling sunyi yang pernah saya temui, berbeza dengan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sama ada di Rantau Panjang ataupun di Pengkalan Kubor. Sempadan Johor Bahru-Singapura pun meriah.

Suasana sunyi di kawasan tersebut sangat luar biasa, bagaikan di tanah kuburan. Tiada kereta persendirian, tiada kedai yang beroperasi. Yang hanya wujud ialah pelbagai kawalan keselamatan. Sedangkan jaraknya tidaklah jauh pun. Namun begitulah yang dapat kami simpulkan bahawa mereka sangat takut dengan sesiapa sahaja yang memasuki Palestin yang dikawal Israel.

Setibanya kami di Kompleks Imigresen Israel di Allenby, gambaran pertama yang terlihat ialah pegawai keselamatan Israel menggunakan senjata api yang saya boleh klasifikasikan sebagai "Sniper Machine". Jauh berbeza dengan sempadan negara kita yang hanya tentera sahaja dibenarkan untuk menggunakan senjata seperti berikut. Namun perlu saya ulang sekali lagi, "pegawai keselamatan menggunakan "sniper machine".

Kami ditahan selama lapan jam kerana sebahagian daripada kami didapati pernah memasuki Gaza, Palestin. Untuk makluman, Palestin ini terbahagi kepada dua iaitu Gaza dan Tebing Barat (West Bank). Gaza ditadbir oleh Hamas, manakala Fatah pula mengemudi pentadbiran di Tembing Barat. Mendukacitakan, di Tebing Barat, kawalan sempadan diambil alih oleh pihak Israel.

Maka tidak hairanlah jika mereka begitu takut dengan pengunjung yang pernah ke Gaza. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang pernah memijak Gaza, individu tersebut akan dilabel sama ada ahli Hamas ataupun yang memberi bantuan kepada Hamas.

Pengalaman luar biasa disoal siasat pegawai Mossad (C.I.A versi Israel) adalah yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang berada di kompleks tersebut. Mungkin ianya satu-satunya pengalaman yang sukar untuk didapati dalam hidup.

Meskipun pulang dengan hampa dan impian untuk Solat Jumaat di Kompleks Masjid Al-Aqsa berkubur pada detik itu, namun kami pesanan Ustaz Nazmi Karim benar-benar memberi azam kepada kami. Antara kalam beliau ialah, meskipun gagal memasuki Masjid Al-Aqsa ketika itu, mungkin Allah mengatur peluang untuk kita memasuki masjid tersebut apabila Islam menang.

Amin Ya Rabb.

Sudah Bukan Zaman Blog

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama tidak menulis di dalam ruangan ini. Semuanya tertumpu ke arah penulisan di dalam facebook dan juga mungkin mengambil masa sedikit untuk berundur dan kembali mencari rentak sebenar.

Banyak sebenarnya isu yang berlegar di persekitaran. Tetapi lebih mengambil pendekatan untuk berdiam diri. Bukan tiada pendapat peribadi, tetapi melihat kepada masyarakat yang belum bersedia untuk berlapang dada dalam menerima sesuatu isu yang telah menjadi "status quo" dalam masyarakat kita ini.

Tempoh berdiam diri daripada menulis blog ini diambil untuk melihat kembali sama ada diri benar di landasan sebenar ataupun sudah tergelincir. Di kala begini, emosi bukanlah penyelesaian sebaliknya gunakan akal semampunya.

Harapnya moga terus menulis kerana bimbang jika tidak berterusan, hilangkan ketajaman akal dalam mencakna isu dan menilai keputusan.

Monday, February 23, 2015

Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai (SCO): Blok Politik Dunia Yang Perlu Diperhatikan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Maafkan saya kerana telah lama tidak menulis. Bagi yang mengikuti facebook saya pasti akan tahu sebenarnya saya banyak menulis dan mengupas isu semasa, namun saya kira perlu kembali menulis di ruangan blog kerana sudah hampir satu tahun ruangan ini tidak terisi.

Makin tinggalkan penulisan, maka makin kurang pembacaan. Bila kurang pembacaan dan penulisan, kuranglah juga minda untuk berfikir. Akhirnya menjadi pak turut dalam berpandangan. Merugikan, sungguh rugi.

Doakan agar saya istiqamah kembali.

Pada kali ini saya menulis sesuatu yang kurang dibincangkan oleh rakyat Malaysia. Mungkin juga isu ini tidak langsung dijadikan topik perbualan oleh masyarakat kita kerana telah terhanyut dibuai oleh pelbagai drama "Suamiku Encik Sotong" dan pelbagai perkara yang kurang penting tetapi dijadikan prioriti dalam minda kita sendiri.

Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai atau dalam Bahasa Inggeris Shanghai Coorperation Organization (SCO) merupakan pertubuhan antarabangsa yang awalnya dianggotai oleh lima negara iaitu China, Rusia, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Logo Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai (SCO)


Apabila kita sebut tentang pertubuhan kerjasama antarabangsa, pasti akan terlintas di minda kita tentang beberapa pertubuhan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Negara-Negara Komanwel (The Commonwealth) dan banyak lagi.

Kebiasaannya, perjanjian kerjasama antarabangsa mempunyai matlamat masing-masing. Seperti ASEAN yang ingin mengukuhkan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Dalam konteks SCO, tujuan kerjasama ialah mengukuhkan dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan politik di rantau Eurasia. Sesuai dengan negara-negara yang menjadi anggota SCO iaitu negara-negara bekas jajahan Kesatuan Soviet dan China. Idea kepada SCO mula dicetuskan pada 1996 ketika satu mesyuarat yang dihadiri oleh pemimpin negara-negara tersebut di Shanghai yang kemudiannya mereka menamakan pertubuhan ini sebagai Shanghai Five. Kemudian pada 2001, Uzbekistan menyertai pertubuhan ini dan mereka menjenamakan semula dari Shanghai Five kepada Shanghai Coorperation Organzation (SCO) sehingga kini.

Negara yang berwarna hijau ialah negara keahlian SCO, negara yang berwarna biru ialah pemerhati sidang SCO yang bersedia untuk menjadi ahli SCO


Apa yang perlu diberikan fokus terhadap SCO ini ialah gabungan negara-negara yang mempunyai kuasa politik yang sangat besar seperti China dan Rusia. Selain dari kuasa politik, mereka juga mempunyai sumber asli yang sangat banyak seperti petrolium dan gas asli. Maka penubuhan SCO dilihat bakal menguasai dunia dan dapat menandingi kuasa besar dunia seperti Kesatuan Eropah (EU) dan sebagainya.

Contohnya dalam kes gas asli. Rusia ialah pembekal gas asli untuk kegunaan di seluruh benua Eropah. Apabila EU mengkritik beberapa polisi Rusia, terus Rusia memotong penyaluran gas asli ke negara-negara Eropah.

Pertemuan kali pertama lima ketua negara yang menubuhkan Shanghai Five pada 1996


Negara China pula mempunyai pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat dengan Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah 16.149 juta USD pada 2013. China telah melaksanakan polisi negara industri baru yang mana kini dapat dilihat bahawa banyak produk berjenama antarabangsa tetapi dikilangkan di China kerana kos pengeluaran yang rendah.

Berbanding dengan empat lagi negara lain dalam SCO, Rusia dan China merupakan keahlian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Untuk makluman, ahli Majlis Keselamatan PBB mempunyai Kuasa Veto.

Perkara yang menarik mengenai SCO ini pula ialah negara yang menjadi penerhati yang bersedia menjadi ahli SCO seperti India, Pakistan, Iran, Mongolia dan Afghanistan. Jika kesemua negara pemerhati SCO berjaya menyertai pertubuhan tersebut, pasti akan menjadikan SCO sebagai pertubuhan kerjasama antarabangsa berskala besar dan bakal bersaing dengan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh India, Pakistan dan Iran. Ketiga-tiga negara ini mempunyai janakuasa tenaga nuklear dan baru-baru ini India melancarkan Peluru Berpandu Brahmos Supersonic Cruise, dengan ini memberi indikasi bahawa India mempunyai kekuatan alatan ketenteraan yang luar biasa.

Apa pula kaitan SCO dengan Malaysia?

Meskipun Malaysia merupakan ahli kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM = Non-Alignment Movement), tetapi tuntutan China terhadap kepulauan di Laut China Selatan turut melibatkan kedaulatan Malaysia kerana di kawasan Kepulauan Spratly merupakan kawasan tuntutan beberapa negara selain Malaysia dan China seperti Vietnam, Taiwan, Filipina dan Brunei.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang kesan penubuhan SCO terhadap Malaysia, pembaca sendiri boleh memikirkan perkara tersebut. Saya cuma berharap agar wacana tentang Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai ini perlu disegarkan agar pengetahuan rakyat Malaysia terhadap isu ini berjaya diwujudkan.

 
Photography Templates | Slideshow Software