Majlis Diskusi Wakil Mahasiswa dan Anak Muda Bersama Pemimpin Negara.





Pada 11 Februari 2011 (jumaat) Naib Presiden II (Kebajikan) Majlis Perwakilan Mahasiswa, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Saifulnizam bin Muhamad dijemput sebagai salah seorang panel untuk program "Majlis Diskusi Wakil Mahasiswa dan Anak Muda Bersama Pimpinan Negara".



Program tersebut dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan Kerjasama Majlis Bandaraya Sepang (MBS). Program tersebut menemukan wakil mahasiswa dari pelbagai kampus bersama dengan wakil daripada pelbagai parti politik. Pada perancangan pihak penganjur, wakil daripada UMNO, YB Datuk Razali Ibrahim yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta wakil daripada PKR, YB Nurul Izzah Anwar dijadualkan hadir pada malam tersebut, tetapi mereka berdua tidak dapat hadir kerana komitmen yang tidak dapat dihalang.
Pun begitu, wakil daripada parti politik yang hadir adalah webmaster UMNO-reform, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS, Dr. Zuhdi Marzuki, ADUN Teratai daripada DAP, YB Janice Lee dan wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jaringan Melayu Malaysia, Saudara Azwandin Hamzah manakala wakil mahasiswa pula adalah daripada Naib Presiden II (Kebajikan) Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mantan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Speaker Parlimen Mahasiswa Malaysia 2011 daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Industri Selangor (UNISEL), Yang Di-pertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMI-UM) dan Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) manakala moderator untuk program tersebut adalah Saudara Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan nama Che'gu Bard yang merupakan Pengerusi SAMM.
Majlis diskusi tersebut bertemakan "Peranan Anak Muda di Dalam Menentukan Hala Tuju Negara". Program tersebut dimulakan dengan pusingan pertama semua panel bercakap selama enam minit berkenaan dengan tajuk yang diperbincangkan. Pusingan kedua pula, setiap panel akan menjawab soalan daripada moderator dan lontaran perlu diluahkan sesama panel di atas pentas dan pusingan terakhir adalah sesi soal jawab dan penggulungan.
Antara isu yang menghangatkan pentas adalah mengenai perkataan "Kita Mesti Gulingkan Kerajaan Ini!" yang ditimbulkan oleh webmaster UMNO REFORM yang cuba untuk meredakan pentas yang panas. Pada pusingan pertama, kebanyakan daripada panel dari mahasiswa yang memberikan ucapan lebih awal dan menyatakan bahawa politik mahasiswa adalah untuk memberikan imej yang baru kepada masyarakat bahawa mereka cakna kepada isu rakyat seperti kenaikan harga komoditi, rasuah dan sebagainya.



Pada pusingan kedua ditanyakan kepada semua panel oleh moderator, jikalau benar mahasiswa cakna mengenai isu rakyat, mengapa tidak didengari mahasiswa turun dikala banjir di selatan tanah air baru-baru ini. Jawapan yang dikeluarkan adalah peranan media yang tidak pernah menunjukkan aktiviti mahasiswa yang menggunakan nama politik, sebaliknya hanya memaparkan aktiviti mahasiswa dalam ruangan akhbar dengan aktiviti seperti pereka fesyen dan nyanyian yang ternyata tidak memberikan nilai pembangunan minda mahasiswa.
Saya menyatakan bahawa mahasiswa juga cakna terhadap isu rakyat mengenai kenaikan harga komoditi negara kerana komoditi negara seperti kenaikan harga minyak, gula dan isu-isu lain seperti rasuah dan juga kegagalan projek gajah putih juga adalah isu rakyat kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan.



Sesi penggulungan pula membincangkan soalan yang ditanya mengenai isu kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan. Walaupun tidak sempat untuk saya menjawab, tetapi prinsip saya adalah kalau kerajaan ingin adakan hub hiburan, lihat dahulu tahap pembacaan mahasiswa Malaysia.



Sempat juga untuk saya dan rombongan bergambar dengan Che'gu Bard sebelum pulang ke "Taman Pemangkin Tradisi Ilmu" pada jam 1 pagi.


Comments