CAKNA MAHASISWA : Melawat keluarga arwah Muhamad Afif bin Ayob

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca kalam nie-zarm.

Sepatutnya artikel ini disiarkan 3 Mac baru-baru ini, tetapi disebabkan kerana kekangan masa yang agak terhad, hari ini (7 Mac 2011) baru dapat dicoretkan.

Arwah Muhamad Afif bin Ayob merupakan mahasiswa Diploma Tahfiz Al-Qur'an dan Al-Qira'at di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan beliau dijemput menemui Allah pada Jumaat 25 Februari yang lalu.

Saya tidak sempat menziarahi arwah pada hari pengebumian arwah kerana pada hari yang sama saya turut ke kem "Student SMART '11" di Broga, Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Pentadbiran KUIS seperti yang telah saya coretkan pada artikel sebelum ini.

Kembali kepada kisah saya melawat keluarga arwah, 3 Mac bersamaan hari Khamis, temujanji telah dibuat dengan pihak keluarga arwah melalui kakaknya, dan saya bersetuju untuk ke Batu Belah, Klang untuk menziarahi keluarganya.

Agak susah juga memandangkan saya tidak pernah ke kawasan Batu Belah, saya hanya biasa dengan jalan untuk ke Teluk Gadong, tetapi alhamdulillah, saya sampai juga ke kawasan rumah keluarga arwah dengan bantuan abangnya.

Saya berjumpa dengan keluarga arwah dan berbincang mengenai arwah dan kebajikan yang boleh dituntut oleh pihak KUIS kepada arwah terutamanya isu mengenai PTPTN arwah dan juga untuk menamatkan rekod akademik arwah supaya tidak berlaku kes di mana orangnya telah meninggal dunia tetapi rekod kewangan masih lagi berjalan dan itu turut membebankan keluarga si mati.

Bersama abang dan ayah kepada arwah Muhamad Afif bin Ayob

Keluarga arwah cukup mesra dengan saya dan apabila saya bersama mereka, baru saya tahu bahawa seluruh keluarga arwah merupakan warga KUIS, dalam erti kata lain, adik beradik arwah semuanya pernah dan sedang belajar di KUIS.

Kunjungan selama dua jam itu membawa makna yang cukup besar untuk mengeratkan hubungan antara keluarga arwah dan teman-teman arwah yang masih berjuang di "Taman Pemangkin Tradisi Ilmu".

Saya mendoakan agar keluarga arwah berada dalam rahmat Allah dan sabar dengan ujian yang menimpa, serta mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat Allah sentiasa. Amin.

Al-Fatihah

Comments