CAKNA MAHASISWA : Penempatan Mahasiswa part 1

Saya bersama pengadu (berkaca mata) yang tersenyum ceria selepas masalah beliau diselesaikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Walaupun isu penempatan timbul lebih awal dan saya seperti ketinggalan zaman untuk menulis mengenai isu penempatan, tetapi ada sesuatu kenyataan baru mengenai isu penempatan.

Hari ini (29 Mac 2011), saya membantu mahasiswa KUIS yang merupakan pelajar antarabangsa, Soultan Mahamad Mahmoud dari Madinah yang merupakan mahasiswa Diploma Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua.

Kes yang beliau hadapi ialah beliau telah menyewa Apartment Vista sebelum cuti semester kerana pihak pentadbiran telah mengarahkan agar semasa cuti semester dijalankan, asrama lama mesti dikosongkan untuk dijadikan sebagai pejabat Bahagian Penempatan dan Kediaman Mahasiswa (BKPM) dan sebagai bangunan akademik yang akan menempatkan sama ada Fakulti Perguruan, (FP), Fakulti Pengurusan dan Muamalat (FPM), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) ataupun Pusat Asasi kerana Soultan merupakan bekas penduduk asrama lama Blok A.

Tetapi beliau tidak dapat untuk mencari tempat untuk meletakkan barangan beliau untuk sementara waktu ketika cuti kerana beliau tidak mempunyai tempat yang sesuai. Tidak dapat tidak, beliau mengambil keputusan untuk menyewa di Vista, tetapi terpaksa membayar deposit untuk selama setahun bagi memastikan beliau benar-benar ingin menyewa apartment tersebut, itu adalah syarat yang telah ditetapkan oleh pemegang bilik tersebut di dalam perjanjian yang dipersetujui bersama Soultan dan teman sebiliknya serta pemilik bilik tersebut.

Beginilah rupa dokumen perjanjian yang dibawa oleh Soultan

Apabila beliau maklum mengenai polisi yang ditetapkan oleh BKPM, beliau terasa akan dizalimi jika pihak BKPM mewajibkan beliau untuk menetap di dalam kolej kediaman pada semester depan kerana wang deposit untuk setahun itu akan dibiarkan begitu sahaja.

Soultan berjumpa dan mengadu perkara tersebut selepas Solat Jumaat baru-baru ini di Masjid Al-Azhar KUIS setelah saya turun padang dan bertemu dengan pelajar antarabangsa. Saya menyatakan kepada beliau agar menyediakan satu salinan perjanjian yang telah diperakui bersama oleh dirinya dan tuan rumah tersebut.

Saya telah membawanya bertemu dengan Ustaz Ahmad Misbah yang merupakan Pengetua BKPM dan diskusi kami berjalan dengan begitu harmoni. Akhirnya masalah yang dihadapi oleh Soultan berjaya diselesaikan, Alhamdulillah.

Saya sempat mengambil masa sedikit untuk bersama dengan Ustaz Misbah dan beliau memberikan perkongsian mengenai BKPM. Beliau menyatakan bahawa jika pelajar yang SUDAH MEMBUAT PERJANJIAN DENGAN TUAN RUMAH YANG DISEWA seperti kes Soultan, maka mahasiswa tersebut perlu mengemukakan dokumen perjanjian yang telah ditetapkan oleh tuan rumah seperti yang dilakukan oleh Soultan, untuk memudahkan pihak BKPM bagi tujuan pengurusan rekod dan memudahkan BKPM membuat pantauan kepada pelajar yang menetap di luar.

Bagi MAHASISWA YANG MEMPUNYAI KELUARGA DI SEKITAR RADIUS 10 KILOMETER DARIPADA KUIS seperti Bandar Seri Putra, Bukit Mahkota dan sebagainya, anda boleh memohon untuk tidak menetap di dalam kawasan Kolej Universiti dengan syarat pengesahan daripada ibu bapa. Tetapi alamat tersebut perlu disahkan bahawa memang anda MENETAP BERSAMA KELUARGA, kerana untuk urusan rekod dan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini (wal 'iyazubillah), pihak KUIS boleh bertindak dengan lebih efektif.

Seterusnya adalah bagi mahasiswa yang SUDAH MENDIRIKAN RUMAHTANGGA/BAITUL MUSLIM, mahasiswa tersebut boleh memohon untuk menetap di luar KUIS dengan dokumen sah perkahwinan.

Hanya tiga kes tersebut sahaja yang dibenarkan oleh BKPM untuk menetap di luar.

Hari ini juga Nie-Zarm telah berjaya menyelesaikan masalah penempatan yang diadu oleh mahasiswa, Alhamdulillah.

Saya sengaja meletakkan tajuk post kali ini sebagai part 1 kerana banyak lagi perkara yang ingin saya kaji mengenai permasalahan penempatan di dalam KUIS. Pada part 2 nanti saya akan menceritakan mengenai proses yang diamalkan oleh BKPM setelah perbincangan secara lebih lanjut diadakan pada suatu masa nanti. harap bersama.

Terima kasih kepada semua mahasiswa yang memberi aduan agar saya dapat menggerakkan tugas-tugas menjaga kebajikan mahasiswa bersama

Comments

  1. wei, aku dah dok luaq...nape nak masuk gak?

    ReplyDelete

Post a Comment