Bersama Tuan Guru Menteri Besar Kelantan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam (9 April 2011), saya ke Stadium Melawati Shah Alam untuk bersama dalam satu majlis yang diatur oleh Markaz Siswazah Kelantan (MSK), satu program yang agak unik untuk anak Kelantan.


Program tersebut ialah Solat Hajat Perdana dan mendengar amanat Menteri Besar Kelantan, cerita sebenar mengenai apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri serta dialog antara mahasiswa, anak muda bersama pimpinan kerajaan negeri Kelantan. Selain Tok Guru, YB Abdul Fatah Mahmood dan YB Abdul Fatah Haron juga hadir disamping presiden MSK, Ustaz Burhanuddin.


Mahasiswa dan mahasiswi yang memenuhi stadium sekitar berjumlah lebih daripada 2000 orang, apa yang cukup pasti, kehadiran mahasiswa anak Kelantan bukan sekadar mereka yang belajar di Lembah Klang sahaja, tetapi ada yang hadir daripada Pantai Timur sendiri, selatan tanah air, utara semenanjung dan di setiap kampus yang ada.


Walaupun mahasiswa daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak dapat bersama, tetapi kehadiran cukup meriah.

Tok Guru menyampaikan mutiara hikmah seperti mementingkan aspek kerohanian yang tidak diajar oleh mana-mana fahaman.

"Cerita alam ghaib ini demokrasi tak ajar, nasionalis tak ajar, sosialis tak ajar, apa fahaman sekalipun yang manusia buat, tak ada yang sebut beriman kepada alam ghaib, tetapi Islam ajar." antara yang disebut oleh beliau.


Apabila sesi dialog diadakan, saya adalah orang pertama yang tampil ke hadapan untuk menanyakan sesuatu kepada pimpinan kerajaan negeri agar diwujudkan ikon belia untuk membawa anak muda Kelantan ke satu pentas yang lebih tinggi.

Banyak lagi persoalan yang hadir dari anak muda Kelantan, sehinggakan Tok Guru begitu suka kerana anak muda Kelantan kini lebih berani untuk bersuara.


YB Abdul Fatah Mahmood juga menyatakan bahawa pada tahun ini, akan diadakan ikon mahasiswa pada Hari Belia Kelantan nanti.

Gambar tidak sempat diambil kerana begitu ralit dengan penyampaian Tok Guru.

Yang pasti, saya akan menjadi salah satu anak muda yang mempertahankan Islam di Malaysia umumnya, di Kelantan khususnya. Mohon tunjuk ajar daripada sahabat sekalian.

p/s: Sempat bersalaman dengan Tok Guru waktu tok guru sampai dan Tok Guru pulang. Ambil berkat insya Allah

Comments