CAKNA MAHASISWA : Bersama Sahibus sa'adah Pengarah JAIS

Assalamualaikum dan salam sejahtera bua semua pembaca Kalam Nie-Zarm

Hari ini saya akan menceritakan mengenai pertemuan Sahibus Sa’adah Pengarah JAIS yang baru. Sepatutnya artikel ini ditulis lebih awal, tetapi tidak mengapa, asalkan ianya suatu mesej yang baik, ianya tetap dikira perlu untuk disebarluaskan.

Pada hari khamis yang lalu (12 Mei 2011), saya hadir ke pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat di Kajang untuk bersama dalam satu majlis yang diberi nama Majlis Perhimpunan Bersama Sahibus Sa’adah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang baru, Tuan Haji Marzuki bin Hussin.

Pertemuan yang menemukan kesemua nazir masjid, wakil nazir, guru besar, wakil guru besar sekolah agama JAIS dan kadhi di seluruh Selangor adalah bertujuan untuk merapatkan ukhwah sesama warga JAIS dan juga pihak pengarah JAIS, selain itu ianya adalah langkah pertama bagi pengarah baru untuk mengetahui mengenai perkembangan semasa serta perancangan JAIS pada masa hadapan.

Saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Sahibus Sa’adah pengarah JAIS mengenai perancangan yang disampaikan oleh beliau.

Beliau secara jujurnya menyatakan bahawa “core business” atau tumpuan utama bagi JAIS adalah mengenai dakwah dan perkembangan Islam khususnya di Selangor. Maka tidak dapat tidak, pihak JAIS perlu memberi penelitian khusus mengenai isu yang berkaitan dengan urusan agama Islam di dalam Selangor yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan Sultan Selangor sebagai pemimpin agama Islam di Selangor dan jajahan dibawah takluknya.

Program yang disusun oleh JAIS yang sebenarnya sudah lama dijalankan ialah mengenai Program Pembimbing Qiam, Bengkel Pendakwah, Khatib Muda dan pelbagai lagi yang disebut oleh beliau.

Apa yang cukup menarik perhatian saya adalah program Khatib Muda yang mencari khatib yang mempunyai bakat yang tinggi untuk menyampaikan amanat dan pesanan minggu di atas mimbar. Masakan tidak saya tertarik, KUIS sebagai salah satu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam yang menerapkan konsep ta’adib dalam pengajian adalah tidak terkecuali.

Apabila saya melihat mahasiswa KUIS, saya merasakan begitu ramai yang berbakat dalam berpidato, melontarkan pandangan dan pendapat sama ada kritikan, cadangan dan sebagainya. Cuma medan untuk melahirkan Khatib dalam kalangan mahasiswa masih lagi tidak diketengahkan.

Walaupun pada satu ketika dahulu, KUIS telah menyaksikan Khatib muda dalam kalangan mahasiswa berdiri di atas mimbar dan bersuara, tetapi itu adalah pada 2-3 tahun sebelum ini.

Saya berharap agar peluang yang dinyatakan oleh pengarah JAIS menjadi realiti dan menyaksikan anak muda dan mahasiswa menjadi pimpinan agama pada masa akan datang dan KUIS juga tidak terkecuali insya Allah

Comments