CAKNA MAHASISWA : Bakti Siswa Perdana Selangor 2011 dan KUIS


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada Ahad (26 Jun 2011) saya sebagai Naib Presiden MPM KUIS dan Senator Akademi Islam MPM KUIS, Saudara Mohd Zaid Idrus Saaidy menghadirkan diri ke pra-induksi untuk menjayakan Bakti Siswa Perdana Selangor 2011 di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya.

Program Bakti Siswa Perdana Selangor 2011 adalah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Yayasan Selangor.

Logo PKPIM

Pra-induksi diadakan untuk membincangkan mengenai kesempatan setiap IPT dan juga pergerakan kemahasiswaan di Selangor untuk mengadakan program tersebut. Turut serta di dalam program tersebut adalah MPM KUIS, Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Universiti Selangor (UNISEL), Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS), Universiti Tun Abdul Razak(UNIRAZAK) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program tersebut adalah bakti siswa di kawasan perkampungan di sekitar Selangor dan mahasiswa yang menjadi sukarelawan untuk program tersebut akan menjadi anak angkat untuk kampung-kampung yang diberikan. Selain daripada itu, diadakan juga program motivasi untuk anak-anak yang bersekolah di kampung angkat, pemeriksaan kesihatan percuma, forum perdana dan sebagainya.

Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari dua malam iaitu bermula pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Ahad. Objektif program tersebut adalah untuk mahasiswa mengeratkan hubungan persaudaraan dan juga mahasiswa mengetahui masalah yang berlaku di lapangan masyarakat untuk diperbaiki.


Alhamdulillah, MPM KUIS mendapat kepercayaan untuk mengendalikan tiga kampung angkat untuk diterokai iaitu Semenyih pada 22 - 24 Julai 2011, Permatang pada 29 - 31 Julai 2011 dan Dengkil pada 5 - 7 Ogos 2011.

Sesi induksi akan diadakan esok (29 Jun 2011) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Petaling Jaya, dan memerlukan 39 orang sekarelawan yang akan hadir ke Bakti Siswa Perdana Selangor 2011 untuk latihan dan pemahaman mengenai konsep gerak kerja yang akan dilakukan.

Seramai 117 ahli sukarelawan diinginkan untuk program tersebut, dalam erti kata lain seramai 39 sukarelawan untuk satu kampung, manakala saya diamanahkan sebagai ketua rombongan untuk ketiga-tiga kampung tersebut.

Sesiapa yang ingin menjadi sukarelawan untuk program tersebut, boleh memberikan nama penuh, nombor matrik dan nombor telefon kepada saya dengan "personal massege" di "facebook" saya, dan pembaca boleh "add" saya jika saudara belum lagi "add" saya. Ataupun boleh memberikan butiran peribadi anda kepada 017-9194019.

Tarikh tutup untuk pendaftaran adalah pada 15 Julai 2011. Penyertaan adalah terbuka.

Comments