CAKNA MAHASISWA : Himpunan Mahasiswa Selangor 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 19 Jun 2011 (Sabtu), Nie-Zarm membawa delegasi seramai 23 orang daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ke Himpunan Mahasiswa Selangor 2011 di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang.

Pada asalnya delegasi yang berdaftar adalah lebih daripada peruntukan yang diberikan oleh pihak Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM), kerana pihak BPM menyediakan 40 kerusi untuk ke sana dan jumlah yang berdaftar untuk ke sana adalah seramai 47 orang. Itu baru open tender yang dibuat melalui Facebook.

Tetapi yang hadir hanya 23 orang, mungkin mereka mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Nama sampai limpah daripada kotak dalam kertas ni...

Sesampainya di sana, saya secara tiba-tiba perlu untuk menyampaikan ucapan sebagai ketua delegasi mahasiswa KUIS pada majlis perasmian yang bermula pada jam 9 pagi. Siapalah saya sebenarnya untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan saudara Muhamad Faisal Abdul Aziz yang merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), saudara Syaifusyafiq B. Shaifuddin yang merupakan Setiausaha Agong, Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan saudara Khairul Fadhli Ismail yang merupakan Presiden Kelab Rakan Islah Siswa Islah Malaysia (KARISMA).

Saudara Syaifusyafiq dari Pepias
Saudara Khairul dari KARISMA

Sempat juga untuk saya memberikan ucapan ketua delegasi sekitar 7 minit 34 saat. Saya lebih mementingkan kepentingan menjadikan diri sebagai rahmat untuk keseluruhan alam.


Dalam ucapan saya, saya inginkan agar mahasiswa dan anak muda ini hadir sebagai rahmat, bukannya membawa kerosakan seperti yang berlaku sekarang ini di mana kebanyakannya anak muda terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. Boleh menonton ucapan saya di video ini.



Seterusnya adalah slot "Menyingkap Tabir Kebangkitan" daripada Datuk Idris Jauzi yang merupakan Mantan Presiden PKPIM. Slot yang ditunggu-tunggu adalah apabila kehadiran Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dan juga antara aktivis mahasiswa di dalam ABIM dan PKPIM. Beliau juga menandatangani Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia sebagai simbolik menyokong mahasiswa.

Datuk Idris Jauzi

Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia adalah merupakan satu resolusi yang diperbincangkan secara bersama di Yayasan Selangor pada 28 Mei 2011 di Yayasan Selangor, Petaling Jaya bersama saudara Muhammad Shahimi Ariffin daripada Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) dari Universiti Selangor (UNISEL), Adam Adli Abdul Halim daripada Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Zaid Idrus Saady yang merupakan Senator Akademi Islam MPM KUIS serta ramai lagi sahabat lain.

Rupa bentuk Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia

Selepas bersama Dato' Seri Anwar dan VIP yang lain termasuklah Dato' A.Samad Said, program berehat seketika. Seterusnya program diteruskan dengan forum daripada golongan pejuang mahasiswa yang lain.


Pada jam 5 petang, perasmian penutup oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Menteri Besar Selangor dan merasmikan program Bakti Siswa Perdana Selangor 2011. Insya Allah KUIS akan terlibat dalam program tersebut. Jika berkesempatan, saya akan menceritakan perkara tersebut di dalam artikel yang seterusnya nanti.

Ramai yang inginkan program ini dianjurkan di KUIS. Insya Allah jika berkesempatan saya akan memastikan ianya menjadi realiti.

Delegasi KUIS di Himpunan Mahasiswa Selangor 2011.

Comments