CAKNA MAHASISWA : Al-Fatihah kepada Arwah Siti Najmah Khairunnisa' (Mahasiswa KUIS dari Brunei)

Saya (berbaju putih) dan Ustaz Imran bersama ahli keluarga arwah. 30 minit sebelum arwah dijemput bertemu Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kesesakan masa dan tugasan membuatkan sukar untuk mencelah masa bagi menulis di dalam blog. Saya mohon maaf.

Selepas solat Zohor di Masjid Al-Azhar pada 14 Ogos 2011 (Ahad), saya mendapat berita daripada Ustaz Imran bin Kamal Basha mengenai kemalangan yang berlaku pada petang Jumaat yang lalu. Saya agak terkejut kerana tidak ada seseorang pun yang tahu mengenai kemalangan yang berlaku.

Mangsa dikenali sebagai Siti Najmah Khairunnisa' yang merupakan mahasiswa semester akhir Diploma Perbankan Islam daripada negara Brunei Darussalam. Beliau kemalangan di kawasan selepas Tol Bandar Seri Putra menghala ke Bangi. Memandangkan petang tersebut keadaan hujan lebat yang mengakibatkan jalan licin dan kereta yang dipandu oleh rakan arwah terbabas melanggar penghalang jalan.

Kesan hentakan di kepala arwah mengakibatkan arwah tidak sedarkan diri. Saya difahamkan arwah tidak mengalami sebarang luka di badan, tetapi kesan hentakan itu yang membuatkan arwah koma di Hospital Serdang selama dua hari (Sabtu dan Ahad).

Ketika saya, Ketua Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPM), Ustaz Imran bin Kamal Basha, Senator Akademi Islam saudara Mohd Zaid bin Idrus Saaidy dan saudara Miftahuddin ke Hospital Serdang pada jam 2.30 petang, kami sempat berbual dengan keluarga arwah, pada ketika itu, arwah berada dalam keadaan koma.

Setelah berbual mengenai arwah pada ketika itu, bapa beliau menyatakan bahawa otak arwah menerima hentakan yang kuat sehingga otak arwah tidak mampu berfungsi. Hanya denyutan jantung sahaja yang masih berdenyut pada ketika itu.

Pada kira-kira jam 4 petang, keadaan di hospital menjadi sayu dan sebak apabila denyutan jantung arwah terhenti dan pihak hospital mengesahkan kematian arwah.

Pihak kedutaan Brunei di Malaysia juga hadir dan menguruskan mengenai pengurusan jenazah arwah termasuk penghantaran ke Brunei. Arwah kemudian dimandikan di Masjid UNITEN Bangi dan solat jenazah berlangsung pada jam 11.30 malam pada kali pertama serta solat jenazah kali kedua selepas solat Subuh, kedua-duanya di UNITEN.

Pada solat jenazah selepas solat Subuh, pihak KUIS menyediakan sebuah bas untuk ke Masjid UNITEN. Saya difahamkan bahawa pihak keluarga meminta untuk disolatkan di Masjid UNITEN.

Semoga arwah dicucuri rahmat dan bersama dengan golongan yang soleh dan solehah di alam barzakh. Keluarga arwah berpesan agar semua rakan kelas arwah di KUIS khususnya Diploma Perbankan Islam memaafkan arwah seandainya ada salah dan silap yang arwah lakukan sepanjang arwah belajar di KUIS.

Comments