CAKNA MAHASISWA : Majlis Perwakilan Mahasiswa sesi 2011/2012 : Siapakah mereka? Anda yang Tentukan

(Nota : Tulisan ini ditulis ketika sedang menunggu tren KTM dari Stesen Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah jam 11.30 malam 21 Disember 2011)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua.

Sudah sekian lama saya menghilangkan diri daripada menjejaki aksara di kekunci komputer riba peribadi berkenaan "Cakna Mahasiswa". Semua ini adalah tuntutan Latihan Industri yang perlu saya hadapi. Saya harap tidak ada yang salah faham terhadap tuntutan yang mesti saya penuhi ini.

Kerana ada yang menghantar mesej melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) ke telefon saya dengan menyatakan saya "ponteng" dari kerja Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), sedangkan ini adalah silibus yang perlu saya hadapi. Buat mereka, fahamilah waqi' ilmu sebelum berkata-kata. Saya maafkan mereka.

Semua mahasiswa yang hadir pada Himpunan Perdana KUIS yang berlangsung pada 1 Disember lalu mengetahui apa yang berlaku, jadi saya tidak perlu mengulas panjang lebar di sini.

Cuma bersesuaian dengan tajuk, saya ingin menulis mengenai Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung pada esok, 22 Disember 2011. Alhamdulillah, Allah S.W.T mengkabulkan permintaan saya yang tidak putus-putus menginginkan adanya pilihanraya.

Dua tahun tanpa pilihanraya menyebabkan mahasiswa mendapat perwakilan yang tidak menepati apa yang mereka inginkan, apatahlagi apabila perwakilan yang datang bukan daripada landasan demokrasi gagal menuntut apa yang mahasiswa inginkan.

Saya mengakui, saya juga mungkin pernah diklasifikasikan sebagai perwakilan yang bukan pilihan mahasiswa, bahkan tindakan saya dalam membuat keputusan terhadap beberapa isu juga turut dilihat sebagai antara tindakan yang dianggap kontroversi.

Contohnya beberapa tindakan yang dilihat seperti saya bekerja berseorangan, mungkin cara kerja saya sebegitu rupa, tetapi saya tidak "menjajah" mana-mana bidang tugas ahli MPM yang lain, tetapi seandainya ada saya "terjajah", saya mohon maaf dan saya harap ini dijadikan iktibar buat semua calon MPM bagi sesi baru untuk mengenali erti kerja.

Saya bekerja dan saya nyatakan gerak kerja saya supaya tidak menjadi fitnah dan saya menggunakan sepenuhnya "Kalam Nie-Zarm" ini sebagai medium untuk menyalurkan maklumat.

Tetapi hakikatnya bukan sekadar itu.

Sebenarnya ia adalah satu langkah untuk mempeerbesarkan jaringan blog dalam kalangan mahasiswa dan saya lihat ia seakan-akan berjaya. Apabila saya melihat blog dari rakan-rakan siswa khususnya dari persatuan-persatuan yang aktif.

Itu juga bukan isunya. Tetapi undi mahasiswa menjadi fokus.

Dua tahun yang berlalu tanpa ada mahasiswa yang berani menginfakkan diri cukup melesukan. Ramai yang menyalahkan beberapa pihak. Saya tidak mahu tuding jari mengenai kelesuan itu, siapa yang rasa salah siapa, koreksi diri dan nilai sendiri.

Saya cuba menampilkan diri sebagai ahli MPM yang cuba bekerja keras walaupun mungkin ada yang mengganggap saya berada dalam kenikmatan. Tidak sebenarnya.

Sekarang ini, mahasiswa yang akan menentukan sama ada mereka akan memilih MPM yang diyakini mampu memobilisasikan MPM sendiri seterusnya menggerakkan mahasiswa di dalam KUIS atau sebaliknya.

Sekarang ini, tanggungjawab ANDA! Semua mahasiswa untuk mengangkat mereka yang benar-benar ingin menginfakkan diri untuk mahasiswa ataupun hanya sekadar tidak mengambil tahu mengenai HAK dan TANGGUNGJAWAB anda.

HAK anda adalah untuk mendapatkan keselesaan belajar di dalam KUIS dengan menjadikan MPM sebagai saluran tepat untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

TANGGUNGJAWAB ANDA juga ialah untuk MEMBERI ke arah mengangkat martabat sesama mahasiswa dengan ILMU, KEFAHAMAN ISLAM, PEMBANGUNAN MAHASISWA YANG CAKNA DENGAN ISU KAMPUS DAN ISU SEMASA. Bukan hanya sekadar hidup di asrama dan segala majlis ilmu yang dianjurkan, anda hanya turun apabila diletakkan syarat sebagai "wajib usrah" dan sebagainya.

Saya hanyalah seorang mahasiswa juga, sama seperti anda. Syabas saya ucapkan kepada semua calon yang berani menginfakkan diri mereka. Mudah-mudahan PEMBANGUNAN MINDA MAHASISWA dapat diubah untuk mencipta KUIS yang penuh dengan mahasiswa yang benar-benar menjadi PEMANGKIN TRADISI ILMU. Maka turunlah mengundi untuk menzahirkan HAK ANDA!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Comments

  1. Sudah masanya untuk kita bangun bersama bersingsing lengan, bahu membahu demi sebuah kebangkitan yang terarah dan berakhlak.

    KUIS tidak mampu lagi mengempang rempuhan pertelingkahan dan permusuhan yang hanya melambatkan gerak kerja dan menghalang kebangkitan kita untuk bergerak megah dan gagah.

    Masa untuk perubahan. Detik untuk pencerahan. Zaman untuk penyatuan.

    Setelah mara ke barisan hadapan, berhentilah sejenak. Bukan untuk berehat tetapi melihat ke dalam diri. Apa usaha untuk mengisi kemenangan. Sungguh mengisi kemenangan lebih perit dari berusaha mengecapnya.

    Bersedialah dengan ilmu dan amal. Dalam perlumbaan mengejar kebaikan, redha Allah adalah maksud.

    Selamat Maju Jaya!

    ReplyDelete

Post a Comment