CAKNA MAHASISWA : Bijak Mengasingkan Antara "KEPERLUAN" dan "KEHENDAK"

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, meskipun terpinggir di katil Hospital Besar Kota Bharu, tetapi masih bersemangat untuk menulis, ini masanya untuk merehatkan badan dan memerahkan minda kembali sebagai mantan pimpinan mahasiswa KUIS

Lama tidak menulis dan hanya mengerah kudrat adakalanya membikin diri dan fikiran hilang, dalam proses perbetulkan diri, perlu juga untuk menulis agar minda sentiasa segar.

Baiklah, saya tidak lupa untuk menulis mengenai lapangan lama saya di mana saya pernah berkhidmat di sana, Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS (MPMKUIS) sesi 2011. Kini ia dikembalikan kepada nama asalnya semula iaitu Majlis Perwakilan Pelajar KUIS (MPPKUIS).

Apapun nama tidak penting tetapi individu di dalamnya yang perlu difokuskan. Kerana mereka akan membawa mahasiswa ke arah kebaikan seiring dengan konsep dan gelaran MAHASISWA yang terkandung di dalam diri pengutip ilmu di laman tradisi ilmu ini.

Di bawah pimpinan Saudara Mohd Firdaus Mohd Hashim, saya diperlihatkan dengan perkembangan pesat yang dilakukan untuk pembangunan mahasiswa, ini baru dua bulan pemerintahan mereka.



Namun ada juga suara-suara sumbang yang cuba menggoyahkan perjuangan mereka dengan kritikan dan juga cubaan jatuh-menjatuh seperti saya alami ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden II (Kebajikan) ketika dahulu.

Itu perkara biasa dalam perjuangan dan saya alaminya. Ada di antara mereka yang tidak mengalami dan tidak faham realiti sebenar, bahkan jika mereka di tempat saya dahulu, mereka pun tidak mampu merealisasikannya. Perkara ini PERNAH TERJADI DI KUIS. INGAT! PERNAH TERJADI!

Cuma tidak perlulah saya nyatakan mereka itu siapa, kerana mahasiswa sudah menilai mereka.

Mungkin kerana TIDAK MENGETAHUI APA ITU "KEPERLUAN" DAN APA ITU "KEHENDAK"

KEPERLUAN adalah satu perkara asasi yang mesti ada untuk memastikan kelansungan kehidupan seseorang individu, dalam konteks mahasiswa KUIS, ianya tidak terkecuali dalam isu MASJID, air, eletrik, peralatan membuat tugasan, perpustakaan dan peralatan kelas yang sesuai. Itu adalah KEPERLUAN yang mesti diperjuangkan bagi memenuhi hak asasi berbentuk material dan rohani sebagai mahasiswa Islam.

Saya melihat KEPERLUAN masjid sahabat-sahabat mahasiswa di kampus jiran kita, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memperjuangkan masjid kampus melalui wadah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Suruhanjaya Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM bagi pembangunan rohani secara holistik di sana. Tahniah.

KEHENDAK pula ialah sesuatu yang TIDAK SAMPAI TAHAP mesti ada, ada adalah bagus tetapi jikalau ianya berbentuk keterlaluan dan perkara itu disuarakan sebagai tuntutan mesti ianya dianggap keterlaluan.

Contoh KEHENDAK yang pernah diminta oleh mahasiswa ialah mesin tambah nilai telefon (top-up) di asrama. Ini bukan keperluan asasi, bahkan ianya terjual meluas dalam kampus sama ada di premis kafe ataupun secara terus melalui siswa dan siswi yang menjadi usahawan di kampus.

Mengajak mahasiswa memenuhi setiap ruang Masjid Al-Azhar, keselamatan di kampus, perpustakaan adalah antara KEPERLUAN ASASI yang mesti ada di KUIS dan mesti diangkat dan bahu membahu sesama mahasiswa.

Segala perjuangan tidak semua akan berjaya dalam sekelip mata. Mungkin segala perjuangan saya dan perjuangan mereka sebelum saya dan perjuangan generasi MPP/MPM KUIS dewasa ini akan membuah hasil pada masa akan datang.

Mungkin semua tidak nampak kisahnya. Saya mengambil contoh Kota Bharu, Kelantan, bumi kelahiran saya.

Ketika kerajaan PAS Kelantan memenangi Pilihanraya Umum (PRU) tahun 1990 dengan "Angkatan Perpaduan Ummah" dan menyapu bersih semua kerusi di Kelantan, kerajaan negeri perlu untuk melunaskan hutang piutang dengan kerajaan pusat sehingga tahun 2005 baru dibina sebuah pusat membeli-belah besar bernama KB MALL.

Apa pengajarannya di sini dengan contoh yang saya kemukakan?

Maknanya, kerajaan negeri Kelantan mengambil pendekatan memenuhi KEPERLUAN ASAS terdahulu sebelum membina satu menurut kehendak yang mungkin dinanti-nantikan oleh warga Kota Bharu.

Begitu juga di KUIS ini.

Berilah masa kepada mereka, kalau dua bula pertama pemerintahan mereka sudah menunjukkan tanda positif, sokonglah, dukunglah, bantulah sebagai mahasiswa Islam yang memegang slogan "Pemangkin Tradisi Ilmu", agar ke arah mahasiswa yang membantu ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Semoga "Cakna Mahasiswa" benar-benar tertanam dalam diri kita semua.



Nota : Penulis mengalami demam, tekanan darah rendah (macam tak percaya), pening kepala, muntah-muntah, badan sejuk bergetar macam parkinson dan sakit belakang.

Comments

Post a Comment