Ramadhan Yang Dipinggirkan

Assalamualaikum. Ramadhan Kareem. Allahu Akram!

Itulah ucapan yang digalakkan kepada kita ucapkan sepanjang Ramadhan. Bulan yang mulia ini menjengah kita lagi. Alhamdulillah. Semoga kita menjadi orang yang bertakwa dengan amalan puasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti yang difardhukan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Di penghujung ayat ini disebut bahawa kita wajib berpuasa agar kita menjadi orang yang bertaqwa, Taqwa ini pelbagai cara, maka untuk mengetuk pintu taqwa, puasa adalah salah satu amalan yang difardhukan kepada kita. Saya doakan kepada diri saya sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian agar ketaqwaan dapat kita raih.

Ramadhan kini memasuki fasa kedua, ada dua fasa lagi untuk dilengkapkan tetapi saya ingin agar Ramadhan itu menjadi milik kita sepanjang tahun, agar keampunan Allah terus berada dengan diri kita.

Tapi realitinya sudah pasti tidak begitu, perlu terima hakikat bahawa Ramadhan pasti berpisah dengan kita, sama ada kita yang meninggalkan Ramadhan kerana kematian atau Ramadhan meninggalkan kita kerana Syawal yang tiba.

Ketika kita digalakkan penuhi diari Ramadhan kita dengan pelbagai aktiviti, tanpa kita sedar (atau mungkin yang sedar), Ramadhan bagai dipinggirkan.



Amalan Tadarus Al-Qur'an merupakan antara amalan yang digalakkan dalam bulan Ramadhan


Kenapa dipinggirkan? Tidak sukar jawapannya, kerana Syawal yang memenuhi kalendar manusia sedangkan Rejab baru sahaja menyapa dunia dan manusia di dalamnya.

Tidak salah untuk kita berbicara tentang biskut Almond London ataupun Baju Melayu untuk hari kemenangan yang hanya muncul setahun sekali, tetapi segala promosi itu mengaburkan tawaran istimewa Ramadhan tentang menjadikan seseorang untuk bertaqwa.

Promosi penerbangan ke kampung halaman masing-masing pada Aidilfitri. Saya tak pernah nak sibuk tentangnya.

Kasihan Ramadhan, manusia yang mendakwa diri ingin menjadi lebih bertaqwa, tetapi melupakan Ramadhan yang menawarkan penambahbaikan tahap ketaqwaan dalan diri.

Sebaliknya fokus kepada hari raya.

Promosi makanan hari raya

Itulah menjadi punca kenapa saya tidak suka ke Bazar Ramadhan atau ke Pasar Raya sejak Rejab sehingga Syawal. Berbuka di masjid menjadi rutin saya sejak di kampus sehingga ke alam pekerjaan. Sejak bekerja, duit makan saya hanya untuk bersahur sahaja, itu pun tak banyak.

Di kampus dahulu pun saya berbuka dan bersahur di masjid, bukan menumpang tetapi tidak mahu bermewah, sebaliknya agar diri sedar yang saya bukan orang senang.

Dalam beberapa belas hari lagi Ramadhan yang akan meninggalkan kita, adakah kita akan terus meminggirkan Ramadhan?

Comments

Post a Comment