Tentang Seseorang : Temanku Abdul Salam Oumar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ketika Ramadhan semakin hampir menjenguk kita, saya mengakui bahawa saya masih lagi dalam pergelutan untuk mendapatkan rentak bagi mengharungi bulan penuh barakah ini. Masakan tidak, kesibukan yang semakin menerjah diri, menjadikan saya tidak sedar, beberapa hari lagi Ramadhan akan bertemu dengan diriku lagi.

Ketika kebuntuan ilmu dalam penulisan, saya mencari sahabat dan ilham, moga-moga boleh mencetuskan sebarang inspirasi daripada kisah mereka, menggerakkan saya untuk terus berkarya, apatah lagi kini berada di lapangan media arus perdana, rasanya tak perlu saya nyatakan bahawa saya kini bertugas di mana, yang perlu kalian semua tahu ialah saya kini diuji dalam kenikmatan.

Di tengah kotaraya Kuala Lumpur yang jalannya penuh warna warni di waktu malam, hakikatnya saya tidak punya teman dan kawan, boleh dikatakan begitu, kalau ada pun, teman sekerja di pejabat. Petang semalam (14 Julai 2012), saya menghidupkan enjin Yamaha FZ 150i, menelusuri Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, menuju Lembah Ilmu yang pernah saya diami.

Tidak lain dan tidak bukan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ketika menjelang senja Maghrib, saya tiba di sana, ternyata saya disambut, hakikatnya kunjungan saya ke KUIS berjaya mengukir senyuman dan mencipta kembali sesuatu yang hilang, iaitu persahabatan. Sepanjang tiga tahun saya di sana menadah dan meminum air di Lembah Ilmu, apa yang saya dapat adalah lebih daripada sekadar ilmu, silih berganti manusia sejak saya bergelar junior sehingga saya melangkah sebagai senior, mereka masih mengenali saya.

Daripada beberapa orang yang saya temui, salah satunya yang amat saya rindui dan saya bertemu dengannya dengan penuh kesyukuran, insan hebat ini bernama Abdul Salam Oumar yang merupakan siswa Diploma Perbankan Islam.

Inilah kawan saya, Abdul Salam Oumar

Bermula dengan pembantu Imam di Masjid Al-Azhar, kini saya difahamkan beliau merupakan Imam Tiga di masjid ini
Masjid Al-Azhar masih berdiri teguh di KUIS

Beliau yang mesra dengan panggilan "Salam", karektornya sesuai dengan namanya yang bermaksud "sejahtera", setiap kali bertemunya, pasti wujud kemesraan antara kami. Imam yang berasal dari Chad ini pada mulanya saya kenali, saya hanya kenal beliau sebagai seorang Imam dan seorang makmum sahaja, namun kami menjadi lebih rapat.

Kami berkongsi segalanya, meskipun beliau bukanlah seorang yang dikenali ramai di KUIS, tetapi memainkan peranan yang cukup besar bagi pengimarahan masjid.

Saya pernah mengajak beliau untuk beraya di Kelantan, kampung saya kerana beliau tidak berkemampuan untuk pulang ke tanah airnya, beliau bersetuju, namun apabila saya memberitahu kepadanya bahawa saya akan pulang ke Kelantan dengan motorsikal, beliau menolaknya dan beliau anggap bahawa saya buat "kerja gila". Hehehehe.

Ketika Ramadhan tahun 2011, kami sama-sama mewujudkan majlis Tadarus Al-Qur'an di Masjid Al-Azhar, meskipun kami majlis Tadarus itu berlangsung dalam keadaan hambar, tidak ramai, kadang-kala saya punya komitmen untuk mahasiswa ketika itu, (Pada 2011 saya bergelar Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, agak sibuk juga meskipun bulan Ramadhan), beliau masih tetap meneruskan Tadarus.

Semalam kami bertemu kembali, ternyata senyuman beliau masih manis menyambut saya, gembiranya apabila bersahabat kerana Allah. Kini saya dalam dunia industri yang saya sendiri tidak jangka akan berada di lapangan ini, tetapi semua ketentuan Allah, saya gembira kerana saya berkenalan dengan sahabat yang berasal dari benua yang berbeza, tetapi kami punya satu persamaan yang menyebabkan kami bahagia bila bertemu. Atas nama ISLAM.

Saya doakan agar Imam Abdul Salam dikurniakan segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Comments

  1. ameen ameen ya rabbil alamin! yeah. dia memang baik. baik sangat. penulis ni pun sama. sy pcaya Allah akan temukan org baik dgn org yg baik. dua dua baik. bertuah sy kenal keduanya sekali! hehe! semoga kalian dirahmati Allah n ditempatkan dikalangan syurga nanti! ameen! ;')

    ReplyDelete

Post a Comment