Kembara Nie-Zarm : Bersimpati Kepada Artis Yang Berhijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama saya tidak menitipkan kalam dalam lembaran maya ini buat hadaman minda pembaca sekalian. Dua bulan berlalu begitu pantas,peristiwa yang dilalui dan ditontoni silih berganti.

Namun kesempatan masa tidak mengizinkan saya untuk mengaturkan segala aksara menjadi kalam untuk menjadi bahan yang baik untuk dibaca. Bimbang kalau tulisan saya nanti akan menjadi satu "sampah" kepada kalian.

Namun saya tetap ada perkara untuk mengajak anda untuk fikirkan.

Tajuk tulisan kali ini ialah "Kembara Nie-Zarm : Bersimpati Kepada Artis Yang Berhijrah".

Tulisan ini akan saya ceritakan tentang kawan-kawan baru saya yang baru saya kenali dan mempunyai kisah yang amat baik untuk dipetik sebagai inspirasi dan mungkin juga pesanan kepada orang ramai untuk bantu mereka.

"Artis Yang Berhijrah" yang saya maksudkan dalam tulisan ini ialah rakan-rakan artis yang berhijrah kepada dunia yang lebih baik dan mereka terus istiqamah dalam pencarian mereka. Antara yang saya kenali ialah Heliza Helmi, kak Yatt Hamzah dan ramai lagi.

Ketika berusrah bersama mereka di Restoran Al-Andalus, Kuala Lumpur.

Pelbagai cerita yang saya dapat hadam dari mereka. Cerita hidayah yang hadir menyapa mereka, cabaran dan misi mereka dalam menyedarkan masyarakat bahawa dunia glamor bukanlah menjanjikan kebahagiaan. Mereka sungguh hebat apabila mereka menyandarkan kebahagiaan kepada Allah.

Namun saya turut bersimpati pada mereka. Kasihan kerana ada "mulut-mulut busuk" yang menyatakan bahawa mereka berhijrah atas sebab lain dan bukannya nawaitu untuk mendekati Islam, tapi mereka mendakwah bahawa artis-artis yang berhijrah adalah kerana "trend" dan ingin mendapat publisiti murahan.

Ini adalah satu tuduhan melampau. Sudahlah menuduh mereka sebegitu, sokongan moral pun tidak ada pada mereka.

Namun yang lebih parah, apabila ada beberapa stesen TV yang masih lagi mengulangi siaran hasil-hasil seni ketika zaman kegelapan mereka. Saya sebenarnya bukanlah seorang yang kerap menonton sebuah kotak bernama televisyen, namun adakalanya perlu untuk menatap kandungan yang terisi dalam sebuah peranti eletronik itu. Saya mendapati siaran televisyen pada waktu tengah malam dari jam 12.00 tengah malam hingga 6.00 pagi masih lagi menayangkan drama-drama zaman pelakon-pelakon ini belum menutup sempurna.

Logo drama Bella, drama inilah yang sama maksudkan

Saya ingin mengambil contoh, drama "Bella", drama ini pernah ditayangkan dalam slot Akasia sekitar dua atau tiga tahun dahulu. Drama itu kemudian ditayangkan jam 3.00 pagi. Waktu itu, televisyen dibiarkan terbuka. Dalam drama tersebut, terdapat dua orang artis yang sudah berhijrah iaitu kak Yatt Hamzah dan kak Irma Hasmie. Drama ini dilakonkan mereka sebelum mereka mengambil keputusan untuk berhijrah.

Saya hairan, mengapa stesen televisyen ini tidak cakna dengan perkara-perkara seperti ini? Sukar sangatkah untuk menjaga kehormatan dan mengiktiraf keberadaan mereka yang ingin berubah? Malah yang membuatkan saya terkilan ialah semakin banyak lakonan mereka diulang kembali. Ini senario yang dilakukan oleh stesen televisyen, belum lagi filem.

Poster filem Pe3

Antara yang saya perasan ialah filem "Pe3" yang mana menayangkan pelakon Diana Amir berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat. Amat sukarkah bagi pihak pengurusan produksi untuk memahami bahawa beliau kini sudah berhijrah?

Kerana itu saya turut kesal dengan tindakan stesen televisyen yang masih lagi menayangkan drama-drama ataupun filem-filem lama mereka.

Benar, kamu ada hak untuk menayangkan, tapi mereka juga ada hak untuk menjaga maruah mereka.

Kak Catriona Ross bersama saya semasa beliau diundang untuk berforum pada tahun lepas (2011)

Namun saya bersyukur, kerana mereka masih sempat menjadi insan yang dipilih Allah unttuk mengenali dan menjiwai kalimah tayyibah La Ila Ha Illallah dan kehidupan mereka dan meneruskan kehidupan dengan amal islami yang berterusan. Moga mereka istiqamah dalam perjuangan mereka.

Akhir kalam, memang benar tiada hijrah selepas peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah, namun hijrah diri, hijrah iman itu sentiasa berlaku.

Moga diriku juga akan berhijrah ke arah yang lebih baik untuk terus menjadi hamba yang soleh.

Comments