Kembara Nie-Zarm : Cerita Duka Di Bumi Pattani (Bahagian Satu)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama kiranya saya tidak memerah otak sebarang idea untuk turun ke jari-jemari berbicara mengenai sesuatu perkara, hakikatnya saya tidaklah sibuk sangat, namun mungkin pelbagai kekangan muncul satu per satu untuk menguji sama ada saya ini masih istiqamah untuk menulis ataupun tidak.

Hakikatnya kehidupan pasca pengajian tinggi ini tidak menentu, ada yang akan sibuk sesibuk sibuknya namun ada yang bosan sebosannya, namun lumrah hidup harus ditempuhi, daripada biarkan ruangan ini kosong tidak terisi, alangkah baiknya jika diisi dengan mutiara hikmah yang diperolehi oleh sepasang mata yang menatap ciptaan-Nya.

Peta bumi Pattani

Kali ini saya ingin menulis tentang bumi Nusantara yang dipinggirkan dan boleh saya katakan sebagai diabaikan oleh orang-orang Nusantara sendiri, bumi ini diasingkan oleh sang algojo penjajah iaitu British sehinggakan kini terasing. Satu kawasan yang diberi nama Pattani.

Kenapa Pattani? Hakikatnya Pattani begitu dekat dengan saya, arwah ayah saya berasal dari bumi sana, abang ipar saya juga dari Pattani, saya masih mempunyai lot tanah, rumah dan ahli keluarga di sana.

Cerita di bumi Pattani begitu panjang, boleh saya katakan sangat sukar untuk melengkapkan kesemuanya, maka pada bahagian pertama ini saya akan berkongsi sejarah bumi Pattani.

Pattani pada asalnya merupakan salah satu kawasan yang berada dalam kerajaan Langkasuka yang wujud pada kurun kedua Masihi, dan kawasan Pattani menurut sejarah ialah di wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan empat mukim atau "ampher" yang berada dalam wilayah Songkhla iaitu, Mukim Chana', Mukim Na Thawi, Mukim Tepha dan Mukim Sabayoy pada hari ini.

Selepas zaman Langkasuka merosot, Pattani berada di bawah naungan Srivijaya sehingga ke kurun ke-14. Selepas Srivijaya, Pattani berada di bawah pemerintahan Sukhothai (1238 hingga 1438) dan Ayutthaya (1351 hingga 1767). Meskipun pada waktu itu Pattani berada di bawah dua kerajaan Siam, namun mereka mempunyai kuasa untuk memerintah dan membuat keputusan di dalam wilayah mereka. Mereka hanya perlu menghantar Ufti atau hadiah kepada kerajaan Sukhothai dan Ayutthaya.

Masjid Krisek, sebuah masjid unik yang menjadi tarikan pelancong ke Pattani

Namun selepas Ayutthaya tumbang di tangan Myanmar, Pattani cuba untuk mengisytiharkan kemerdekaan, namun mereka tidak dibenarkan untuk mengisytiharkan kemerdekaan kerana Raja Thai masih menganggap bahawa Pattani berada di bawah pengawasan Thailand.

Apabila perkara ini berlaku, Kelantan yang merupakan negeri dalam Tanah Melayu yang paling hampir dengan Pattani berusaha untuk menarik Pattani ke dalam Kelantan, namun dihalang oleh Pesuruhjaya British yang bertugas dengan Raja Thai, keadaan menjadi lebih sukar apabila Pesuruhjaya British yang bertugas di Thailand dan Pesuruhjaya British di Kelantan membuat keputusan dengan menjadikan Sungai Golok dan Sungai Takbai menjadi sempadan negara antara Tanah Melayu dan Thailand.

King Rama II

Selain daripada telah dinafikan hak keinginan untuk merdeka, Pattani sekali lagi dicabul apabila pada zaman King Rama Ke-II (1809 - 1824), mereka memecahkan Pattani kepada beberapa wilayah seperti wilayah Narathiwat, Pattani, Yala dan empat mukim atau "ampher" yang berada dalam wilayah Songkhla iaitu, Mukim Chana', Mukim Na Thawi, Mukim Tepha dan Mukim Sabayoy pada hari ini.

Begitulah kisah sejarah Pattani yang saya ceritakan secara ringkas. Namun apakah lagi duka yang Pattani tempuhi? Nantikan bahagian kedua "Cerita Duka Di Bumi Pattani".

Comments