Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ke-16

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama tidak mencoretkan kata-kata untuk dikongsi bersama pembaca semua. Saya kini menjadi seorang yang pasif dalam tulisan, tidak seaktif dahulu. Bahkan saya sendiri telah memungkiri janji pada diri sendiri dalam beberapa tulisan yang lepas bahawa akan saya kerapkan menulis.

Akhirnya, garapan yang saya utuskan mutakhir ini tidak tajam seperti dulu. Ya Allah, betapa dapat dirasakan bahawa 24 jam yang Allah beri, saya tidak menggunakannya sesempurna sebagai hamba yang bersyukur.

Namun di kala bersedih dengan beberapa musibah yang melanda, Allah S.W.T masih menyayangi saya kerana turut mengutuskan detik-detik manis dalam hidup.



Detik itu muncul hanya beberapa hari yang lepas. Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ke-16 pada 10 September 2013 (Selasa) muncul setelah satu tahun dan tujuh bulan saya menanti.

Tamat pengajian pada Februari 2012, konvokesyen pada September 2013. Walaupun tempoh yang panjang menanti, tapi saya tidak rasa rugi apa-apa.

Kerana pada hari ini, saya berasa puas. Puas melihat ummi saya, Puan Maryam binti Yasin senyum lebar penuh makna. Dalam hidup saya, saya berjaya memastikan beliau berjaya melihat saya membesar dan berjaya.



Benar, saya ini masih anak kecil, tapi punya cita-cita yang besar, agar beliau bahagia.

Terima kasih juga kepada pensyarah-pensyarah sama ada dari Jabatan Komunikasi ataupun dari fakulti lain sekalipun, anda semua adalah pensyarah saya. Kepada kawan-kawan seperjuangan, kalian hadir menyerikan lagi perjuangan saya dalam menuntut ilmu di bumi "Pemangkin Tradisi Ilmu" itu. 




  

 

Namun, saya hampa sedikit, kerana ada "lafaz yang tersimpan" dan janji yang saya tidak terluah dan tidak terlaksanakan. Kerana malu.

Comments