Kembara Rohani Jordan-Syria Eidul Adha 1434 Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian Alam, walaupun dugaan datang tanpa putus, namun Allah masih lagi sayangkan hamba yang penuh dosa dan noda ini meniti kehidupan atas muka bumi ini.

Mungkin Allah masih lagi berikan hayat ini, untuk hamba-Nya seperti saya ini, dapat mengucapkan kalimah taubat nasuha sebelum berakhirnya hayat ini.

Dengan kudrat-Nya juga Allah benarkan jari-jemari saya ini masih lagi ligat untuk menulis dan terus menulis pelbagai seribu satu cerita yang saya hadapi dalam kehidupan yang singkat ini.

Akhirnya Allah berikan saya masa yang sesuai untuk berkongsi tentang apa yang saya hadapi ketika berada di bumi Syam, iaitu negara Jordan yang telah saya kunjungi pada Aidil Adha baru-baru ini iaitu pada 16 hingga 20 Oktober lalu.

Rombongan kami di KLIA sebelum berlepas. Sumber gambar Facebook Ustaz Nazmi Karim

Walaupun ceritanya sudah berlalu hampir dua minggu, namun pelbagai kisah dan ibrah yang dapat diambil daripada bumi Anbiya’ ini.

Saya bersama rakan seperjuangan, Azril Rafiqzuddin serta beberapa teman lain daripada IKIM.fm, Harian Metro, bersama guru saya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Nazmi Abdul Karim diundang oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia untuk menyertai Misi Kembara Rohani dan Bantuan Kemanusiaan Syria yang bertujuan menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria di Jordan.

Misi kali ini saya kira amat berbeza daripada misi rakan-rakan NGO yang lain, kerana apabila sebut tentang pelarian Syria, biasanya akan dikaitkan dengan kem pelarian di Antakya, yang bertempat di Turki kerana ramai rakan-rakan NGO dan juga wartawan yang membuat liputan ke sana, kiranya kedatangan kami ke sana mungkin mendapat gambaran yang berbeza tentang Syria yang sedang bergolak itu.
Saya secara peribadi agar teruja kerana ini adalah penerbangan pertama ke luar negara dalam kehidupan saya, kerana selama ini, luar negara yang sering saya kunjungi pun ialah Selatan Thai, itupun sebab memang kampung asal keluarga saya.


 Waktu di Dubai, ketika kami solat subuh di sana

Perjalanan lapan jam untuk transit ke Dubai amat memenatkan, namun apabila sebut tentang Dubai, pasti kita bayangkan tentang kemewahan, di kawasan transit pun, masih lagi penuh dengan pengunjung walaupun jam menunjukkan pukul 6 pagi,

 Saya ketika berada di ruangan transit Dubai

 Dr Zulkifli Al-Bakri dan Ustaz Nazmi Karim

 Rombongan kami ketika turun eskalator menuju ke kapal terbang ke Amman

 Rakan media dari Harian Metro, Hafis dan Sairien menghantar berita ke Kuala Lumpur

Dr Zulkifli Al-Bakri sedang menyampaikan kuliah lima minit sambil menunggu panggilan terakhir

Mentari pagi di Dubai
Setelah transit di Dubai selama dua jam, perjalanan kami ke Jordan bersambung semula.


 Suasana setelah mendarat di Lapangan Terbang Queen Alia



 Menanti giliran untuk diperiksa oleh imigresen Jordan

 Queen Alia menyambut kami dengan "Eid Mubarak"
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia di Amman, saya terus ditiup angin sejuk. Betapa bezanya cuaca di sana, maka tidak hairanlah ramai kawan saya yang menyarankan agar membawa baju sejuk untuk dipakai ketika di sana.


 Saya dan Dr. Zulkifli Al-Bakri di Lapangan Terbang Queen Alia


 Jordan terkenal dengan banyaknya pokok Zaitun, penuh pokok Zaitun tepi jalan

Destinasi kami pada hari itu ialah ke Irbid, sebuah daerah yang berada di Barat Jordan bersempadan dengan Syria. Namun sebelum kami ke sana, kami sempat berehat di Mat’am Rubu’ Al-Saidah, sebuah restoran milik orang Yaman, Nasi Mandy di sini sangat berbeza.

Mat'am Rubu' Al-Saidah

Bersama dengan rakan-rakan Yaman di Restoran ini
 
Sepanjang perjalanan kami di sana, apabila kereta kami terhenti di lampu merah, kami dapat lihat pelbagai gelagat manusia yang berniaga barang-barang kecil untuk menyara hidup demi sebuku roti, kerana kos sara hidup di sini agak tinggi, bayangkan Satu Dinar Jordan bersamaan lebih kurang Lima Ringgit Malaysia!
 

Beginilah mereka mencari rezeki, menjual barangan dengan mengetuk cermin kereta


 Suasana berbukit di Jordan sangat menarik

Kami berdekatan dengan Syria
Setibanya di Irbid, saya sebilik dengan Dr Zulkifli Al-Bakri, berehat sementara sebelum adanya rakaman rancangan “Cinta Ilmu Istimewa Jordan” yang akan bersiaran 3 Oktober ini.

Pelajar Malaysia di sana yang turut hadir sama

Pelbagai mutiara hikmah yang dikongsikan beliau. Pengisian Rohani yang diberikan oleh beliau berkenaan dengan kepentingan belajar ilmu dihadam oleh lebih daripada 300 pelajar Malaysia yang merantau di sana. Kami difahamkan pelajar Malaysia di Jordan seramai 3,500 orang, yang menghantar permohonan untuk turut serta dalam program ini seramai 2,700 orang, namun kerana dewan yang dapat memuatkan kapasiti seramai 300 orang sahaja, ramai yang kecewa tak dapat bersama mengutip mutiara ilmu di sini.

Waktu malam di sini boleh tahan juga meriah, sebab di sana, cuti Aidil Adha selama sembilan hari. Mereka meraikan hari tasyri’ dengan pelbagai aktiviti.

Begitulah hari pertama kami di sana.

Bersambung...

Comments