(Bahagian Kedua) Kembara Rohani Jordan-Syria Eidul Adha 1434 Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah saya akan menyambung berkenaan dengan perjalanan hari kedua saya dan rombongan Muslim Care Malaysia di Kembara Rohani Jordan-Syria di negara Jordan dan sempadan Syria.

Memandangkan perjalanan kami ialah pada hari Tasyri' atau dengan mudahnya, masih lagi dalam musim Eidul Adha, kami turut adakan ibadah Qurban untuk diagihkan kepada pelarian Syria yang berada di luar kem pelarian.

Muslim Care mempunyai rakan kongsi sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO), Markaz Islami yang menjadi wakil untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria yang berada di Jordan dari pelbagai tempat, pada pagi tersebut pada jam 6.30 pagi, kami menemui tiga orang kanak-kanak yang berjalan bersama untuk mengumpul bahan buangan untuk dijual.

Saya di hadapar pejabat Markaz Islami


 Saya bersama tiga kanak-kanak Syria dan wakil Muslim Care

Mereka melambai kepada kami dan kami ambil kesempatan untuk bersama seketika dengan mereka, sangkaan kami mereka ialah warga Jordan, rupanya sangkaan kami meleset.



Tiga kanak-kanak kental ini gigih mengutip bahan buangan

Mereka yang bernama Muhammad (baju berbelang), 10 tahun, Muhammad, 12 tahun dan Mustafa, 10 tahun. Mereka merupakan antara pelarian Syria yang kental menjalani kehidupan di bumi Jordan dengan mengumpul barangan terbuang untuk dijual demi sebuku roti.
 

Apabila kami bersama mereka, mereka menyatakan bahawa rutin harian mereka ialah berjalan sejauh empat hingga 15 kilometer sehari untuk mengutip tin dan barang terbuang lain untuk dijual demi sebuku roti sehari untuk dikongsi dengan ahli keluarga.

Sayu apabila mendengar cerita yang menimpa ahli keluarga mereka, saya kira, tidak perlu untuk saya menceritakan tentang musibah yang dihadapi oleh keluarga mereka.

Saya terbayangkan bagaimana kanak-kanak di negara kita yang seusia dengan mereka. Masih lagi tak serius dalam merangka kehidupan sedangkan mereka sudah pun bekerja keras agar keluarga yang masih hidup dapat menikmati sepotong daripada sebuku roti yang mereka perolehi hasil jualan barangan terbuang.

Seterusnya kami ke kawasan penyembelihan kambing yang dimiliki oleh Markaz Islami untuk diberikan kepada pelarian Syria. Kambing di sini jauh lebih gemuk daripada negara kita, maka tidak hairanlah lauk kambing di sana lebih lazat daripada kambing di negara kita.




Selesai penyembelihan Qurban, kami ke rumah Dr. Solah Qazan, iaitu Presiden Markaz Islami untuk sarapan. Saya tidak ada masalah dengan makanan Arab walaupun ada beberapa rakan lain yang tidak biasa dengannya.


Saya bersama dengan Dr Solah Qazan, Presiden Markaz Islami


Dr Zulkifli Al-Bakri bersama Dr. Solah Qazan


Selesai bersarapan, kami terus ke Kem Za'tari, iaitu kem pelarian Syria yang berada di Mafraq, kawasan yang bersempadan dengan Syria. Setibanya kami di sini, saya sempat mengambil satu gambar yang mungkin boleh menceritakan tentang keadaan pelarian yang sangat terdesak.

Kanak-kanak ini mengerumuni kereta yang lalu semata-mata untuk mendapatkan makanan

Ramai kanak-kanak yang berada di luar kem untuk mendapatkan bantuan daripada pengunjung yang hadir ke kem Za'tari, kerana suasana di dalam kem adalah sangat bahaya. Walaupun di dalam kem tersebut, pelarian mendapat bantuan daripada Bahrain dan Arab Saudi, namun bantuan yang disampaikan adalah secara pukal dan bukannya dihantar terus dari sebuah keluarga kepada sebuah keluarga.

Di kem pelarian Za'tari, apabila bantuan sampai, mereka yang mengaut segala bantuan ialah samseng yang berada di dalam kem tersebut sehinggakan ramai yang tidak mendapat bantuan secukupnya.

Saya turut berasa hairan, kenapa di dalam kem pelarian Syria di Za'tari mempunyai samseng yang mengaut segala bantuan dari luar? Rupanya mereka ini ialah pengikut Basyar Assad yang masih lagi setia kepada Basyar meskipun turut dipinggirkan Basyar.

Maka ramai kanak-kanak yang berada di luar kem menyerbu sesiapa sahaja yang berada di luar kem demi mendapat sebarang bantuan yang mungkin akan dihulurkan. Namun kerana kanak-kanak yang ramai, apabila melihat sebahagian daripada mereka yang mendapat sedikit "ole-ole" daripada mereka yang memberikan bantuan, mereka meminta-minta dan timbul rasa tidak puas hati sekiranya ada yang tidak memberi kepada mereka.

Maka berlakulah keadaan yang mana mereka memanjat kereta kami, membaling batu dan sebagainya.

Walaupun kami digasak dengan keadaan sedemikian rupa, namun kami faham bahawa konflik di sana telah menjadikan mereka agresif.dan merubah wajah warga Syria yang lembut menjadi sangat agresif.

Ketika saya cuba untuk merakam keadaan di sana, saya didatangi oleh Polis Jordan yang cuba ingin merampas kamera kami. Saya menyatakan bahawa kami belum lagi merakam sebarang visual di sana dan mereka bersetuju untuk melepaskan kami dengan syarat kami dilarang daripada merakam sebarang visual di sana.

Ketika kami sedang berjalan menuju kereta, kami melihat ada seorang polis yang lain sedang mengekori kami, tanpa berfikir panjang, jurukamera saya, Azril menuju ke ahli rombongan kami dan terus masuk ke dalam kereta.

Polis yang mengekori kami bagaimanapun cuba untuk merampas kamera rakan kami dari Harian Metro, Sairien Nafis yang cuba merekodkan gambar di sekitar kem Za'tari. Kamera beliau bagaimanapun dikembalikan namun sedikit rasa hampa yang kami alami dengan layanan daripada Polis Jordan yang berkawal di sekitar kawasan kem Za'tari.

Setelah sehari suntuk kami berada di sana, kami pulang ke Markaz Islami dan adakan sedikit majlis penyerahan bantuan kepada pelarian yang berada di luar kem pelarian yang berada di Za'tari.



Kami difahamkan suasana di dalam kem Za'tari sangat tidak sesuai untuk diduduki kerana di dalam kawasan tersebut juga tidak dibenarkan diadakan solat Jumaat, apatah lagi solat jemaah fardhu yang lain.

Markaz Islami sebenarnya bertindak lebih daripada bantuan makanan dan pakaian kepada pelarian, kerana mereka juga memasuki ke dalam kem Za'tari dan mewujudkan suasana Islam di dalam kem tersebut, dengan memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an, mendirikan Solat Jumaat dan sebagainya.

Suatu fakta yang perlu diketahui berkenaan dengan mengambil gambar di kawasan kerajaan di sana yang ingin saya kongsikan ialah, jika kita mengambil gambar di kawasan kerajaan seperti di Mafraq yang memang terkenal dengan kawasan ketenteraan, kita yang mengambil gambar boleh dipenjarakan di dalam lokap minimum tiga hari.

Setelah menghadapi pelbagai kesukaran di siang hari, kami kembali ke Irbid.

Tiba giliran pula untuk bercerita dengan cerita-cerita ringan untuk dikongsi.

Taman yang dipenuhi dengan sampah namun mereka masih lagi bergembira

Di sana, cuti Eidul Adha selama sembilan hari, namun kedai-kedai di jalanan masih beroperasi seperti biasa. Bahkan ramai warga Irbid berada di padang yang turut diadakan "fun fair" untuk kanak-kanak di sini bergembira. Ramai juga orang dewasa yang berada di kawasan tersebut.

Namun suasana di sini sangat kotor, penuh dengan sampah kering seperti plastik, botol, helaian kertas dan sebagainya, tetapi mereka masih lagi dapat berada di sana. Hairan sungguh dengan apa yang berlaku di sini. Mungkin ini gambaran Allah aturkan agar saya dapat lihat bahawa, kebahagiaan bukan pada insfrastruktur, namun pada hati nurani manusia.

Menjelang malam, kami keluar untuk merasai suasana di sini. Malam di Irbid sangat meriah, boleh diumpamakan bagai Bukit Bintang di Kuala Lumpur. Warga Irbid keluar di jalanan, walaupun cuaca malam di sini sangat sejuk sehingga 8 darjah selsius.




Namun kami temui dengan pelbagai perangai pelik warganya di sini. Apabila saya membawa kamera DSLR, ramai mereka menyatakan bahawa "Ya Sodiqi, Suroh Wahid" (Wahai saudaraku, gambar satu). Mereka meminta untuk diambil gambar, bagaikan jakun tidak pernah jumpa kamera. Kelakar juga, tapi sedikit sebanyak mencuit hati kami yang berduka kerana tidak dapat memasuki kem Za'tari.

Sekurang-kurangnya Irbid masih lagi ingin bermesra dengan kami.

Bersambung...

Comments