Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai (SCO): Blok Politik Dunia Yang Perlu Diperhatikan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Maafkan saya kerana telah lama tidak menulis. Bagi yang mengikuti facebook saya pasti akan tahu sebenarnya saya banyak menulis dan mengupas isu semasa, namun saya kira perlu kembali menulis di ruangan blog kerana sudah hampir satu tahun ruangan ini tidak terisi.

Makin tinggalkan penulisan, maka makin kurang pembacaan. Bila kurang pembacaan dan penulisan, kuranglah juga minda untuk berfikir. Akhirnya menjadi pak turut dalam berpandangan. Merugikan, sungguh rugi.

Doakan agar saya istiqamah kembali.

Pada kali ini saya menulis sesuatu yang kurang dibincangkan oleh rakyat Malaysia. Mungkin juga isu ini tidak langsung dijadikan topik perbualan oleh masyarakat kita kerana telah terhanyut dibuai oleh pelbagai drama "Suamiku Encik Sotong" dan pelbagai perkara yang kurang penting tetapi dijadikan prioriti dalam minda kita sendiri.

Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai atau dalam Bahasa Inggeris Shanghai Coorperation Organization (SCO) merupakan pertubuhan antarabangsa yang awalnya dianggotai oleh lima negara iaitu China, Rusia, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Logo Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai (SCO)


Apabila kita sebut tentang pertubuhan kerjasama antarabangsa, pasti akan terlintas di minda kita tentang beberapa pertubuhan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Negara-Negara Komanwel (The Commonwealth) dan banyak lagi.

Kebiasaannya, perjanjian kerjasama antarabangsa mempunyai matlamat masing-masing. Seperti ASEAN yang ingin mengukuhkan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Dalam konteks SCO, tujuan kerjasama ialah mengukuhkan dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan politik di rantau Eurasia. Sesuai dengan negara-negara yang menjadi anggota SCO iaitu negara-negara bekas jajahan Kesatuan Soviet dan China. Idea kepada SCO mula dicetuskan pada 1996 ketika satu mesyuarat yang dihadiri oleh pemimpin negara-negara tersebut di Shanghai yang kemudiannya mereka menamakan pertubuhan ini sebagai Shanghai Five. Kemudian pada 2001, Uzbekistan menyertai pertubuhan ini dan mereka menjenamakan semula dari Shanghai Five kepada Shanghai Coorperation Organzation (SCO) sehingga kini.

Negara yang berwarna hijau ialah negara keahlian SCO, negara yang berwarna biru ialah pemerhati sidang SCO yang bersedia untuk menjadi ahli SCO


Apa yang perlu diberikan fokus terhadap SCO ini ialah gabungan negara-negara yang mempunyai kuasa politik yang sangat besar seperti China dan Rusia. Selain dari kuasa politik, mereka juga mempunyai sumber asli yang sangat banyak seperti petrolium dan gas asli. Maka penubuhan SCO dilihat bakal menguasai dunia dan dapat menandingi kuasa besar dunia seperti Kesatuan Eropah (EU) dan sebagainya.

Contohnya dalam kes gas asli. Rusia ialah pembekal gas asli untuk kegunaan di seluruh benua Eropah. Apabila EU mengkritik beberapa polisi Rusia, terus Rusia memotong penyaluran gas asli ke negara-negara Eropah.

Pertemuan kali pertama lima ketua negara yang menubuhkan Shanghai Five pada 1996


Negara China pula mempunyai pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat dengan Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah 16.149 juta USD pada 2013. China telah melaksanakan polisi negara industri baru yang mana kini dapat dilihat bahawa banyak produk berjenama antarabangsa tetapi dikilangkan di China kerana kos pengeluaran yang rendah.

Berbanding dengan empat lagi negara lain dalam SCO, Rusia dan China merupakan keahlian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Untuk makluman, ahli Majlis Keselamatan PBB mempunyai Kuasa Veto.

Perkara yang menarik mengenai SCO ini pula ialah negara yang menjadi penerhati yang bersedia menjadi ahli SCO seperti India, Pakistan, Iran, Mongolia dan Afghanistan. Jika kesemua negara pemerhati SCO berjaya menyertai pertubuhan tersebut, pasti akan menjadikan SCO sebagai pertubuhan kerjasama antarabangsa berskala besar dan bakal bersaing dengan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh India, Pakistan dan Iran. Ketiga-tiga negara ini mempunyai janakuasa tenaga nuklear dan baru-baru ini India melancarkan Peluru Berpandu Brahmos Supersonic Cruise, dengan ini memberi indikasi bahawa India mempunyai kekuatan alatan ketenteraan yang luar biasa.

Apa pula kaitan SCO dengan Malaysia?

Meskipun Malaysia merupakan ahli kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM = Non-Alignment Movement), tetapi tuntutan China terhadap kepulauan di Laut China Selatan turut melibatkan kedaulatan Malaysia kerana di kawasan Kepulauan Spratly merupakan kawasan tuntutan beberapa negara selain Malaysia dan China seperti Vietnam, Taiwan, Filipina dan Brunei.

Saya tidak berniat mengulas panjang tentang kesan penubuhan SCO terhadap Malaysia, pembaca sendiri boleh memikirkan perkara tersebut. Saya cuma berharap agar wacana tentang Pertubuhan Kerjasama Antarabangsa Shanghai ini perlu disegarkan agar pengetahuan rakyat Malaysia terhadap isu ini berjaya diwujudkan.

Comments