(Bahagian Ketiga) Kembara Rohani Jordan-Syria Eidul Adha 1434 Hijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah kita telah memasuki fasa baru, dengan bermulanya tahun baru 1435 Hijrah, diharapkan tabir baru juga memberikan sesuatu yang baru dalam kehidupan kita semua.

Hari ini saya sekali lagi akan menyambung tulisan berkenaan dengan perjalanan Kembara Rohani Jordan-Syria pada Eidul Adha baru-baru ini.

Perancangan asal kami pada hari ketiga kembara tersebut ialah untuk memasuki Baitul Maqdis melalui sempadan Tebing Barat yang dikendalikan oleh Israel di Allenby dan akan menginap di sana selama satu hari sebelum kembali ke bumi Jordan.

Saya kira semua umat Islam yang beriman turut mempunyai niat di hati untuk menjejakkan bumi Palestin, walaupun seinci yang mampu kita jejaki, ianya merupakan nikmat yang tidak terkata. Saya hanya mampu ucapkan syukur apabila mengetahui bahawa visa telah pun diluluskan.

Namun pada subuh hari tersebut, ada sesuatu yang disuarakan oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang tugasan yang akan saya lakukan bersama beliau di sana. Ketika itu, beliau gusar antara niat dan juga pandangan ulama terhadap isu Baitul Maqdis.

"Saya sebenarnya berpegang kepada pandangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, yang mana tak berapa sokong seandainya ada yang memasuki Al-Aqsa hanya dengan tujuan pelancongan, kerana seolah-seolah kita membayar visa kepada Israel, dan memberikan wang tersebut ke arah pemerkasaan ekonomi Yahudi."

 Rombongan kami sebelum bertolak ke Palestin

Namun kami tetap meneruskan perjalanan ke sana. Bagi saya, meskipun pengurusan persempadanan yang telah diambil alih oleh Yahudi Israel, namun tanah itu masih lagi adalah tanah suci. Lagipun, niat kami bukannya untuk melancong semata-mata, tetapi untuk mengetahui sendiri bagaimana Israel merosakkan bumi Palestin yang sebenarnya adalah bumi kita, umat Islam.

Timbul kerisauan dalam hati saya ketika mana kami berada di kawasan imigresen Jordan, memandangkan saya membawa kamera, bimbang pihak Israel akan menahan kami semua. Memandangkan kami teringatkan layanan pihak Polis Jordan yang pernah cuba untuk merampas kamera kami ketika kami berada di kem Za'tari seperti yang saya nyatakan pada bahagian kedua kembara ini yang telah saya tulis sebelum ini.

Selesai pengurusan dengan imigresen Jordan, kami meneruskan perjalanan ke sana. Jambatan King Hussien kami selusuri, suasana yang amat sepi di kedua-dua hala jalan. Ianya sempadan yang paling sunyi yang pernah saya temui, berbeza dengan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sama ada di Rantau Panjang ataupun di Pengkalan Kubor. Sempadan Johor Bahru-Singapura pun meriah.

Suasana sunyi di kawasan tersebut sangat luar biasa, bagaikan di tanah kuburan. Tiada kereta persendirian, tiada kedai yang beroperasi. Yang hanya wujud ialah pelbagai kawalan keselamatan. Sedangkan jaraknya tidaklah jauh pun. Namun begitulah yang dapat kami simpulkan bahawa mereka sangat takut dengan sesiapa sahaja yang memasuki Palestin yang dikawal Israel.

Setibanya kami di Kompleks Imigresen Israel di Allenby, gambaran pertama yang terlihat ialah pegawai keselamatan Israel menggunakan senjata api yang saya boleh klasifikasikan sebagai "Sniper Machine". Jauh berbeza dengan sempadan negara kita yang hanya tentera sahaja dibenarkan untuk menggunakan senjata seperti berikut. Namun perlu saya ulang sekali lagi, "pegawai keselamatan menggunakan "sniper machine".

Kami ditahan selama lapan jam kerana sebahagian daripada kami didapati pernah memasuki Gaza, Palestin. Untuk makluman, Palestin ini terbahagi kepada dua iaitu Gaza dan Tebing Barat (West Bank). Gaza ditadbir oleh Hamas, manakala Fatah pula mengemudi pentadbiran di Tembing Barat. Mendukacitakan, di Tebing Barat, kawalan sempadan diambil alih oleh pihak Israel.

Maka tidak hairanlah jika mereka begitu takut dengan pengunjung yang pernah ke Gaza. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang pernah memijak Gaza, individu tersebut akan dilabel sama ada ahli Hamas ataupun yang memberi bantuan kepada Hamas.

Pengalaman luar biasa disoal siasat pegawai Mossad (C.I.A versi Israel) adalah yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang berada di kompleks tersebut. Mungkin ianya satu-satunya pengalaman yang sukar untuk didapati dalam hidup.

Meskipun pulang dengan hampa dan impian untuk Solat Jumaat di Kompleks Masjid Al-Aqsa berkubur pada detik itu, namun kami pesanan Ustaz Nazmi Karim benar-benar memberi azam kepada kami. Antara kalam beliau ialah, meskipun gagal memasuki Masjid Al-Aqsa ketika itu, mungkin Allah mengatur peluang untuk kita memasuki masjid tersebut apabila Islam menang.

Amin Ya Rabb.

Comments