(CAKNA MAHASISWA) PRK KUIS : Perpustakaan KUIS, Manifesto Yang Dilenyapkan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera dan salam kemunculan kembali.

Sudah lama rasanya tidak menulis dengan tagline "Cakna Mahasiswa" memandangkan sudah hampir empat tahun saya meninggalkan dunia mahasiswa saya. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian saya untuk kembali menulis.

Pilihanraya Kampus KUIS.



Tahniah kepada semua calon kerusi umum yang berani mempertaruhkan diri untuk bertanding, yang mana secara tersiratnya mereka mengetahui tentang risiko sebagai pimpinan mahasiswa. Di kala saya pernah terlibat sebagai pimpinan mahasiswa, perkara ini yang saya fikirkan.

Ujian untuk mengimbangi tuntutan akademik, meluangkan masa untuk mengasah minda agar mendepani cabaran pemikiran semasa dan juga menginfakkan diri menyelesaikan masalah rakan siswa.

Namun yakin dan percayalah bahawa di sana, ada Zat Yang Maha Agung, telah berjanji bahawa kita akan dibantu oleh-Nya jika kita membantu sahabat-sahabat kita bersama.

Kembali kepada tajuk asal. Semua calon yang mempertaruhkan diri untuk Pilihanraya Kampus (PRK) KUIS kini sedang rancak menjalankan kempen, walaupun ketika cuti sempena Tahun Baru Cina. Kesemua 12 calon kerusi umum dan calon fakulti dilihat begitu giat menjalankan "perang poster alam maya", dengan pelbagai manifesto.

Namun setelah memerhati langkah mereka, saya kira ada di antara mereka yang terlepas pandang, ataupun mungkin ada beberapa isu yang secara sengaja untuk tidak dibincangkan.

Projek pembinaan Perpustakaan KUIS.

Projek ini telah dirancang pada 2008, manakala pada 2009, sebuah majlis perasmian pelantikan KUIS sebagai ejen Wakaf Selangor oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah berlangsung di Masjid Al-Azhar.

Artikel tentang Perpustakaan KUIS turut dimuatkan di dalam "Buletin Horizon" edisi pertama KUIS 2009 (baca di sini)

Dalam erti kata lain, Perpustakaan KUIS yang dijangka menelan belanja RM 30 juta (pada 2009) akan dibina melalui dana wakaf dan memerlukan penggeraknya. Namun malangnya, setelah hampir dua tahun, tiada khabar tentang perpustakaan tersebut kerana tiada pihak yang cakna pada isu tersebut, termasuklah dalam kalangan pimpinan mahasiswa.

Namun apabila saya diberi peluang menduduki kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) KUIS untuk sesi 2010-2011 sebagai Naib Presiden II (Kebajikan), saya menjejak kembali isu ini dan mengadakan pertemuan dengan Dr. Zulkifli Aini yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Rektor (Mahasiswa dan Alumni) KUIS pada ketika itu. Saksinya ialah Saudara Muhammad Fathi Hamdan yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung MPM KUIS, sepenggal dengan saya.

Pertemuan dengan Dr. Zulkifli Aini, Timbalan Rektor (Mahasiswa dan Alumni) KUIS pada 2011.

Di dalam pertemuan tersebut, Dr. Zulkifli memberitahu saya bahawa proses untuk mendapatkan dana daripada orang awam tidak efisien dan beliau mencadangkan agar ditubuhkan Yayasan KUIS bagi mengendalikan sumbangan orang ramai untuk tujuan kebajikan mahasiswa KUIS, termasuklah pembinaan Perpustakaan KUIS yang akan dibina di kawasan padang bola KUIS sekarang.

Alhamdulillah, Yayasan KUIS telah ditubuhkan dan kini dikhabarkan bahawa yayasan tersebut berterusan mendapat dana hasil daripada infaq orang ramai.

Namun malangnya, ada juga pimpinan pelajar tidak mengetahui tentang kewujudan Yayasan KUIS.

Lebih mendukacitakan, perjuangan untuk mendapatkan perpustakaan ini tidak dihebahkan oleh pimpinan mahasiswa, bahkan pemerhatian saya terhadap beberapa penggal kepimpinan sebelum ini, isu ini tidak dilihat di status facebook mereka. Kesannya bakal pimpinan siswa tidak menjadikan isu ini sebagai isu utama untuk diperjuangkan.

Atau apakah saya terlepas pandang?

Kerana saya telah menulis tentang Perpustakaan KUIS pada 2012 dan sehingga kini (baca di sini), belum ada perwakilan mahasiswa yang respon tentang perkara ini. Kerana itu saya mengistilahkan bahawa inilah manifesto yang dilenyapkan, mungkin ianya dilupakan oleh rakan siswa sendiri.

Melihat kepada manifesto calon PRK KUIS pada kali ini, amat mendukacitakan kerana isu Perpustakaan KUIS tidak diperjuangkan. Ianya bukan hanya sebuah gedung menyimpan buku semata-mata, namun ianya turut menempatkan kompleks kegiatan mahasiswa, dengan makna yang lain, kesemua persatuan mahasiswa di KUIS akan mempunyai bilik gerakan sendiri.

Saya amat berharap agar calon PRK KUIS pada 2016 membangkitkan isu ini dan meninggalkan manifesto yang merepek seperti menambah mesin "water cooler", memastikan kadar kecurian di dalam Masjid Al-Azhar pada kadar sifar, menambahkan sistem perhubungan antara fakulti (kerana pada saya KUIS ini masih pada skala kecil, bersin di sini, kedengaran di sana), memartabatkan kesenian (kerana rakan siswa KUIS juga amat kreatif dalam mencipta seni) dan berpuluh lagi manifesto yang agak mengarut.

Cuma bergantung kepada calon itu sendiri, sama ada mahu membuat lebih rujukan ataupun memilih untuk selesa mengikut tradisi melupakan sesuatu yang sepatutnya diperjuangkan.

Comments