Da'i Wan Yang Aku Kenali

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk meluangkan masa untuk kembali menulis di laman ini setelah sekian lama meninggalkan penulisan di sini.

Pelbagai isu berputar dan adakalanya usia yang makin meningkat ke alam dewasa mematangkan diri kita, maka saya memilih untuk tidak memanjangkan mana-mana polemik, sebaliknya tenang sebagai seorang pemerhati.

Sebab adakalanya isu yang menjadi viral bukanlah penting untuk diambil masuk ke dalam poket minda kita.

Namun kali ini, saya memilih untuk bersuara, kerana ianya menyentuh seorang yang saya anggap sebagai seorang adik yang mana saya lebih mengenali sisinya yang tersembunyi.

Namanya Wan Dazrin, atau sebenarnya orang kita sekarang mengenalinya sebagai "Da'i Wan".



Saya kira semua orang maklum tentang isu seorang selebriti wanita yang mana hijabnya tidak bertahan lama untuk menutup auratnya, kemudian seorang Da'i itu cuba untuk "mengutuskan" surat terbuka kepada selebriti tersebut.

Selebihnya menjadi viral dan saya kira tidak perlu lagi untuk saya perincikan setiap kisah yang sudah viral itu.

Namun ketika saya melihat respon negatif yang beliau terima daripada orang ramai, sebagai begitu dan begini, saya menghela nafas panjang. Kerana sebenarnya saya mengenali beliau sebelum beliau muncul di kaca televisyen sebagai Da'i. Beliau awalnya pernah menjadi salah seorang daripada ribuan yang hadir ke studio di kala saya menerbitkan sebuah program agama di sebuah stesen televisyen tempatan.

Orangnya bertutur baik dan kerap ke majlis ilmu, mendampingi para ulama dan kerap hadir ke studio kami ketika rancangan yang kami terbitkan sama ada bersiaran secara langsung ataupun ketika rakaman diadakan.

Mengetahui kemudian bahawa beliau terpilih daripada salah seorang peserta rancangan Da'i, saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana beliau sebenar mempunyai "wow factor" namun saya yakin, faktor tersebut boleh dikembangkan lagi kerana sifat ilmu itu akan berkembang.

Kami sempat berjumpa dengannya beberapa kali tetapi saya lebih suka mengikuti perkembangan beliau dari jauh (sampai sekarang pun beliau belum add Facebook saya, saya pun tak add dia, so saya stalk jer la. 
😂😂😂😂).


Namun sejak timbul isu selebriti perempuan tersebut dan surat beliau telah pun viral, saya nekad menghubungi beliau dan menyatakan bahawa saya memilih untuk bersama beliau di dalam isu ini. Kerana saya yakin bahawa suatu hari nanti, uslub beliau akan diterima terus oleh selebriti tersebut. 

Boleh sahaja beliau mengirim terus surat tersebut kepada selebriti itu, tetapi adakah ketika selebriti tersebut ditekan sedemikian rupa, akan melayan surat daripada orang yang beliau tidak kenali? Pastinya tidak. Sedangkan pihak media yang menghubungi selebriti tersebut untuk mendapatkan penjelasan pun tidak mendapatkan penjelasan daripada selebriti itu.

Namun maklumat terkini yang saya terima daripada beliau, selebriti itu sendiri menghubungi Da'i Wan dan berterima kasih di atas nasihatnya itu. Uslub yang Wan pilih akhirnya sampai kepada cik selebriti itu sendiri.
Salinan mesej yang saya hantarkan kepada Da'i Wan

Ramai yang melaungkan slogan bahawa "Islam itu Rahmat Untuk Semua", namun respon yang diberikan oleh orang ramai terhadap selebriti tersebut tidak menggambarkan orang Islam yang menjadi agen "Sebarkan Rahmat", sudah lah dimakinya selebriti tersebut, Da'i Wan yang cuba memberi teguran pun dikatakan sebagai geli dan sebagainya.

Namun apa yang beliau lakukan, sekurang-kurangnya diterima baik oleh selebriti tersebut dan khabarnya cuba untuk mendapatkan nasihat dan teguran. Da'i Wan pula dikhabarkan sedang mengatur beberapa asatizah untuk mendekati selebriti tersebut.

Maka saya ingin bertanya, di antara mereka dan kita, siapakah yang terbaik? Apakah kita yang memilih memaki kedua-duanya sekali lebih baik atau mereka berdua lebih baik? Saya yakin beliau menulis surat tersebut dalam keadaan sedar dan bersedia menerima sebarang risiko dicemuh masyarakat seperti kita. Sama ada selebriti tersebut mahu menerima atau menolak itu perkara kemudian.

Khulasahnya, uslub dakwah itu ada pelbagai, andaikata jalan yang beliau pilih itu salah, dengan takrifan "matlamat tidak menghalalkan cara", maka cara teguran kalian yang memandang sinis terhadap uslub beliau juga tidak menghalalkan dakwah kalian kembali.

Wallahu A'lam.

Comments