(PRU 14) : 4 Juta Tidak Mendaftar Pengundi, SPR Perlu Belajar Dengan Thailand.

Alhamdulillah masih lagi dipanjangkan umur sehingga hari ini, 30 September 2016. Jumaat yang dikhabarkan sebagai hari terakhir pendaftaran pengundi sekiranya Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan pada suku tahun pertama 2017 nanti.

Bagi kami yang menetap di Kelantan, ianya telah berakhir semalam.

Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyatakan bahawa tarikh pendaftaran mengundi masih boleh didaftarkan sepanjang tahun, namun bagi pihak SPR untuk mengemaskini senarai pengundi dan  juga urusan dokumentasi, pastinya memakan masa yang lama. Maka hujah yang dikatakan bahawa 30 September 2016 adalah tarikh akhir untuk mendaftar sebagai pengundi pagi PRU-14 adalah hujah yang boleh diterima.

Namun kepada di akhir-akhir tarikh pendaftaran, baru semua kalut untuk mendaftar sebagai pengundi?

Antara infografik yang disebarkan di laman sosial tentang pendaftaran pengundi

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengeluarkan kenyataan bahawa, sehingga 31 Disember 2015 seramai 17,658,700 rakyat Malaysia yang berusia lebih daripada 21 tahun layak mengundi. Namun yang mendukacitakan ialah seramai 4,189,754 rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar sebagai pengundi. Saya kira statistik ini sudah lebih dua minggu berlegar di media sosial dan tidak perlu untuk saya ulas panjang.

Antara infografik yang disebarkan di laman sosial tentang statistik rakyat Malaysia yang tidak berdaftar sebagai pengundi mengikut bangsa.

Di sebalik ayat-ayat yang dimomokkan bahawa Malaysia akan dijajah oleh kelompok bukan Melayu. Namun pemimpin Melayu sendiri yang tidak berjaya memainkan watak sebagai pemain politik yang boleh menarik golongan belia Melayu untuk cakna tentang politik tanah air.

Politik fitnah, caci mencaci, politik wang, pembunuhan karekter musuh politik menjadi santapan harian yang akhirnya menjadi salah satu faktor kepada kewujudan angka melebihi 4 juta yang masih belum berdaftar sebagai pengundi. Akhirnya wujud satu cogan kata yang tidak sepatutnya wujud.

"Politik Itu Kotor".

Rasanya cukuplah untuk saya meletakkan kesalahan pemain politik itu pada lafaz umum sahaja. Kerana kebodohan berpolitik yang menyebabkan senario buruk seperti yang berlaku sekarang ini, boleh berlaku kepada mana-mana blok politik sama ada daripada parti pemerintah ataupun sebaliknya.

Saya juga ingin tujukan kekesalan ini kepada mereka yang bergelar Yang Berhormat (YB) yang berbahas di Parlimen.

Kerana ketika saya berumur belasan tahun, saya kerap mendengar ayat-ayat daripada sebahagian YB yang menyuarakan agar pendaftaran pengundi dibuat secara automatik. Yakni apabila seseorang itu mencapai umur 21 tahun, secara automatik individu tersebut dikira sebagai layak mengundi tanpa perlu kepada sistem pendaftaran. Alamat di mana, mengundilah dia di situ. Itu antara idea yang mereka jaja di pentas ceramah. Tidak kira sama ada blok parti pemerintah mahupun pembangkang.

Namun setelah beberapa siri PRU berlalu, kenapa usul ini tidak dikembangkan di parlimen? Kenapa usul ini tidak dibawa secara konsisten agar pengurusan pilihanraya dapat diubahsuai bagi memudahkan pengundi?

Walaupun usaha yang dilakukan oleh SPR dengan membuka kaunter pendaftaran pengundi di pasar-pasar malam, menambahkan cara pendaftaran di pejabat pos dan dan semakan daftar mengundi melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) adalah langkah yang perlu diberikan pujian, namun di sana masih wujud kelompongan yang besar.

Masakan tidak besar. 4 juta yang tidak berdaftar sebagai pengundi.

Suka untuk saya mengemukakan contoh sistem pilihanraya yang dijalankan oleh negara jiran kita, Thailand.

Pilihanraya di Thailand. Gambar Hiasan

Di sana, tidak perlu untuk berdaftar sebagai pengundi kerana semua individu yang berumur 18 tahun genap adalah layak mengundi. Mereka tidak perlu berdaftar kerana SPR Thailand mengambil senarai nama pengundi mengikut alamat yang didaftarkan di dalam kad pengenalan mereka dengan Bahagian Pendaftaran, Jabatan Pentadbiran Tempatan, Kementerian Dalam Negeri.

Lalu SPR Thailand mengklasifikasikan senarai nama tersebut mengikut kawasan pilihanraya. Senarai nama tersebut kemudian ditampal di kawasan pembuangan undi sebagai rujukan kepada SPR di sana dan juga pengundi. Dakwat kekal dicalit di jari telunjuk bagi mengelak daripada pengundi tersebut mengundi untuk kali kedua.

Ini bermakna mereka memudahkan pengundi. Tidak perlu berdaftar sebagai pengundi kerana mereka memang layak untuk mengundi.

Bagi mereka yang tidak mengundi di Thailand, mereka tidak akan mendapat beberapa keistimewaan dari kerajaan Thailand, antaranya ialah hilang kelayakan menjadi politik daripada sekecil-kecil jawatan sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di peringkat daerah sehingga sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal pilihanraya tersebut waima sebagai calon sekalipun.

Maka ingin saya utarakan di sini, selain daripada persempadanan pilihanraya, apakah lagi yang dilakukan oleh SPR bagi menyuburkan demokrasi melalui sistem pilihanraya yang lebih efisien?

Comments