Sekelumit Kisah Raja Thai dan Umat Islam Thailand.

Tanggal 13 Oktober 2016, yakni pada Khamis lalu telah menyaksikan mangkatnya Raja Bhumibol Adulyadej yang merupakan raja kesembilan daripada Dinasti Chakri yang telah diasaskan pada 1782.

Beliau mula ditabalkan sebagai Maharaja Thailand sejak 9 Jun 1946 selepas kemangkatan kekanda beliau Raja Ananda Mahidol. Esoknya genaplah satu minggu kemangkatan Raja Bhomibol Adulyadej.

Raja Bhomibol dan Permaisuri di Majalah "Times"

Baginda Raja Bhumibol merupakan monarki yang paling lama memerintah di dunia iaitu selama 70 tahun namun yang lebih istimewa tentang pentadbiran baginda ialah baginda menitahkan di awal majlis pemasyuran baginda sebagai Raja Thai bahawa baginda akan mentadbir dengan adil.

Beliau dikenali sebagai bapa pemodenan Thailand dengan memperkenalkan teori "Sufficiency Economy" atau ekonomi yang mencukupkan. Baginda telah melaksanakan pelbagai projek Di-Raja dan kesan daripada beribu projek yang baginda laksanakan ialah dapat menyelamatkan ekonomi Thailand ketika krisis ekonomi "domino" yang menyerang Asia Tenggara pada 1997.

Buku "Sufficiency Economy"

Contoh pembahagian tanah yang boleh diusahakan berdasarkan teori "Suffiency Economy".

Namun perspektif yang ingin saya tulis pada artikel kali ini ialah sekelumit kisah hubungan baginda dengan umat Islam di Thailand yang sempat saya baca.

Ketika baginda membuat lawatan ke Wilayah Nakhon Sri Thammarat pada 15 Mac 1959, baginda telah berangkat ke Masjid Solahuddin yang mana masjid tersebut terbina hasil daripada dana peribadi baginda sebanyak THB 42,800 untuk membeli sebidang tanah yang asalnya milik Wat Tha Changrang untuk membina masjid tersebut.

Raja Thai bersemayam di atas mimbar Masjid Solahuddin, Wilayah Nakhon Sri Thammarat (sumber Thairath).

Detik keberangkatan baginda Raja Thai ke Masjid Solahuddin, Wilayah Nakhon Sri Thammarat.

Masjid Solahuddin, Wilayah Nakhon Sri Thammarat masih tersergam indah.

Satu lagi kisah menarik antara Raja Thai dan umat Islam ialah Raja Bhumibol mempunyai seorang sahabat baik, iaitu Allahyarham Wadeng Putik dari Saiburi, Pattani.

Allahyarham Wadeng Putik atau Pak Deng ketika menulis ucapan di buku tetamu ketika Raja Bhumibol Adulyadej gering pada tahun 2009. Sumber Matichon

Kisah persahabatan antara raja dan rakyat bermula apabila Raja Bhumibol membuat lawatan ke Wilayah Saiburi untuk membuat tinjauan ke atas projek pembinaan empangan air di sana yang asalnya kawasan tersebut merupakan kawasan hital tebal yang tidak dibangunkan. Matlamat baginda ialah agar diwujudkan kawasan yang boleh menyimpan air untuk golongan petani.

Namun disebabkan waktu sudah hampir malam, ditambah pula pihak istana tidak menyediakan jalan kereta untuk memasuki hutan tebal tersebut, maka penasihat istana mencadangkan agar Raja Bhumibol untuk pulang. Namun kerana tekad untuk melaksanakan projek tersebut, baginda terus untuk meneroka hutan tebal tersebut walaupun terpaksa berjalan kaki.

Gambar ketika pertemuan pertama antara Raja Bhumibol Adulyadej dan Allahyarham Wadeng Putik di Daerah Saiburi, Wilayah Pattani. Sumber Matichon

Pada waktu itu, Wadeng yang mesra dengan panggilan "Pak Deng" yang sedang menguruskan pokok durian dan pokok dokong di kebunnya, Pak Deng perasan akan rombongan Raja Thai, namun kerana hanya bersarungkan kain pelikat dan tidak berbaju, Pak Deng tidak mahu mendekati Raja Bhumibol.

Namun setelah mengetahui hasrat Raja Thai, maka Pak Deng bersetuju untuk bertemu dengan baginda Raja Thai. Pak Deng menceritakan bahawa pada awalnya beliau tidak percaya bahawa seorang raja akan meredah hutan di waktu maghrib sebegitu. Pak Deng sempat mengambil wang kertas THB 100 yang mempunyai gambar Raja Thai dan beliau yakin bahawa sedang bersama dengan baginda.

Pak Deng sedang mendengar sesuatu daripada pengawai istana sambil diperhatikan oleh Raja Bhumibol Adulyadej.

Raja Bhumibol bertanyakan tentang geografi setempat dengan Pak Deng dengan bertutur bahasa Melayu. Pak Deng menjawab dengan betul dan apabila baginda merujuk peta, mengesahkan bahawa keterangan yang diberikan oleh Pak Deng adalah benar, maka bermula daripada detik tersebut, Raja Bhumibol menitahkan agar Pak Deng menjadi sahabatnya.

Pak Deng dan keluarga sering kali dijemput ke Istana Raja Thai di Bangkok ataupun jika baginda turun ke Selatan Thailand, Pak Deng akan diundang ke Istana Raja di Narathiwat.

Pak Deng meninggal dunia pada 7 Ogos 2012 dan kisah beliau diabadikan antara kisah persahabatan antara raja dan rakyat paling agung di sana.

Dua kisah tersebut hanyalah sekelumit kisah Rama Thai dan Umat Islam Thailand.

Maka tidak hairanlah, apabila Raja Bhumibol Adulyadej mangkat, umat Islam turut sama berduka cita di atas kemangkatan baginda.

Sebenarnya daripada dua kisah tersebut, ianya menjadi sebuah refleksi kepada mereka yang ingin menjadi pemimpin, siapapun rakyatnya dan apa bangsanya sekalipun, perkara yang penting ialah perlu mentadbir dengan adil.

Bersambung

Comments