Sketsa Syawal : Layakkah Kita Menerima Ijazah?

Gambar hiasan ketika bergelar mahasiswa di kampus

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ramadhan.

Kurang daripada 48 jam lagi (artikel ini ditulis pada 17 Ogos 2012 jam 3 petang), mentari Syawal akan menyinari bumi. Satu detik yang akan menyaksikan persimpangan oleh manusia yang masih menghelakan nafas.

Ada yang bersedih kerana Ramadhan, bulan penuh Rahmat akan meninggalkan kita. Ada yang gembira melampau untuk Aidilfitri sedangkan Rejab baru mengingatkan kita tentang Ramadhan. Sehingga kita meminggirkan Ramadhan. Perkara ini saya ada tulis dalam artikel sebelum ini, rujuk di sini.

Saya? Sekadar yang ada. baju yang sama, tidak ada beza. Baju baru bukan suatu kemestian.

Yang penting adakah kita bersedia untuk menerima ijazah? Bukan di universiti, tapi pada malam Aidilfitri.

Malam raya dikenali sebagai malam "Lailatul Ja'izah" yang mana Allah akan menganugerahkan ijazah kepada kita di atas amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Apabila kita sebut tentang penganugerahan ijazah, pasti kita akan teringatkan majlis yang berlangsung penuh kemeriahan dan juga protokol yang perlu diikuti. Ianya tidak terkecuali dengan malam Lailatul Ja'izah yang mana malam itu perlu dilimpahi dengan majlis ilmu, bukannya hiburan melalaikan atau persiapan raya sehingga terlupa untuk beribadat pada malam raya.

Bukan tidak boleh untuk meneruskan persiapan hari raya, tapi akan menjadi lebih elok jika fokus kepada ibadat kerana yang lebih penting dalam kehidupan manusia ialah untuk taqarrub kepada Allah.

Saya memuji satu amalan yang mana pada malam raya, orang ramai yang pulang daripada solat tasbih pada malam raya, kemudiannya singgah ke setiap rumah untuk bertakbir di dalam rumah yang berada sepanjang jalan dari surau ke rumah mereka. Sekurang-kurangnya takbir raya adalah amalan untuk memuji Allah.

Tanya diri kita, bagaimana pula untuk Lailatul Ja'izah tahun ini?

Saya mungkin kurang dari sudut ilmu dan fadhilah Lailatul Ja'izah atau malam raya. Mohon sekalian pembaca untuk cuba bertanya kepada mereka yang mahir dan faqih tentang perkara ini.

Salam Hari Raya. Moga Allah terima amalan kita sepanjang Ramadhan ini.

Semoga bertemu dengan Ramadhan tahun depan sekali lagi.

 (p/s: Gambar di atas ialah abang saya, Shaifuddin Muhamad yang kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan kerana mengalami kemalangan pada isnin lepas, tengkorak retak, keadaan terkini ialah bahagian yang retak telah disambung dan pendarahan otak berjaya dihentikan, namun dalam keadaan separa sedar. Mohon semua pembaca untuk mendoakan yang terbaik bagi abang saya)

Wallahu A'lam


Comments