Saturday, December 29, 2012

Kembara Nie-Zarm : Bersimpati Kepada Artis Yang Berhijrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lama saya tidak menitipkan kalam dalam lembaran maya ini buat hadaman minda pembaca sekalian. Dua bulan berlalu begitu pantas,peristiwa yang dilalui dan ditontoni silih berganti.

Namun kesempatan masa tidak mengizinkan saya untuk mengaturkan segala aksara menjadi kalam untuk menjadi bahan yang baik untuk dibaca. Bimbang kalau tulisan saya nanti akan menjadi satu "sampah" kepada kalian.

Namun saya tetap ada perkara untuk mengajak anda untuk fikirkan.

Tajuk tulisan kali ini ialah "Kembara Nie-Zarm : Bersimpati Kepada Artis Yang Berhijrah".

Tulisan ini akan saya ceritakan tentang kawan-kawan baru saya yang baru saya kenali dan mempunyai kisah yang amat baik untuk dipetik sebagai inspirasi dan mungkin juga pesanan kepada orang ramai untuk bantu mereka.

"Artis Yang Berhijrah" yang saya maksudkan dalam tulisan ini ialah rakan-rakan artis yang berhijrah kepada dunia yang lebih baik dan mereka terus istiqamah dalam pencarian mereka. Antara yang saya kenali ialah Heliza Helmi, kak Yatt Hamzah dan ramai lagi.

Ketika berusrah bersama mereka di Restoran Al-Andalus, Kuala Lumpur.

Pelbagai cerita yang saya dapat hadam dari mereka. Cerita hidayah yang hadir menyapa mereka, cabaran dan misi mereka dalam menyedarkan masyarakat bahawa dunia glamor bukanlah menjanjikan kebahagiaan. Mereka sungguh hebat apabila mereka menyandarkan kebahagiaan kepada Allah.

Namun saya turut bersimpati pada mereka. Kasihan kerana ada "mulut-mulut busuk" yang menyatakan bahawa mereka berhijrah atas sebab lain dan bukannya nawaitu untuk mendekati Islam, tapi mereka mendakwah bahawa artis-artis yang berhijrah adalah kerana "trend" dan ingin mendapat publisiti murahan.

Ini adalah satu tuduhan melampau. Sudahlah menuduh mereka sebegitu, sokongan moral pun tidak ada pada mereka.

Namun yang lebih parah, apabila ada beberapa stesen TV yang masih lagi mengulangi siaran hasil-hasil seni ketika zaman kegelapan mereka. Saya sebenarnya bukanlah seorang yang kerap menonton sebuah kotak bernama televisyen, namun adakalanya perlu untuk menatap kandungan yang terisi dalam sebuah peranti eletronik itu. Saya mendapati siaran televisyen pada waktu tengah malam dari jam 12.00 tengah malam hingga 6.00 pagi masih lagi menayangkan drama-drama zaman pelakon-pelakon ini belum menutup sempurna.

Logo drama Bella, drama inilah yang sama maksudkan

Saya ingin mengambil contoh, drama "Bella", drama ini pernah ditayangkan dalam slot Akasia sekitar dua atau tiga tahun dahulu. Drama itu kemudian ditayangkan jam 3.00 pagi. Waktu itu, televisyen dibiarkan terbuka. Dalam drama tersebut, terdapat dua orang artis yang sudah berhijrah iaitu kak Yatt Hamzah dan kak Irma Hasmie. Drama ini dilakonkan mereka sebelum mereka mengambil keputusan untuk berhijrah.

Saya hairan, mengapa stesen televisyen ini tidak cakna dengan perkara-perkara seperti ini? Sukar sangatkah untuk menjaga kehormatan dan mengiktiraf keberadaan mereka yang ingin berubah? Malah yang membuatkan saya terkilan ialah semakin banyak lakonan mereka diulang kembali. Ini senario yang dilakukan oleh stesen televisyen, belum lagi filem.

Poster filem Pe3

Antara yang saya perasan ialah filem "Pe3" yang mana menayangkan pelakon Diana Amir berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat. Amat sukarkah bagi pihak pengurusan produksi untuk memahami bahawa beliau kini sudah berhijrah?

Kerana itu saya turut kesal dengan tindakan stesen televisyen yang masih lagi menayangkan drama-drama ataupun filem-filem lama mereka.

Benar, kamu ada hak untuk menayangkan, tapi mereka juga ada hak untuk menjaga maruah mereka.

Kak Catriona Ross bersama saya semasa beliau diundang untuk berforum pada tahun lepas (2011)

Namun saya bersyukur, kerana mereka masih sempat menjadi insan yang dipilih Allah unttuk mengenali dan menjiwai kalimah tayyibah La Ila Ha Illallah dan kehidupan mereka dan meneruskan kehidupan dengan amal islami yang berterusan. Moga mereka istiqamah dalam perjuangan mereka.

Akhir kalam, memang benar tiada hijrah selepas peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah, namun hijrah diri, hijrah iman itu sentiasa berlaku.

Moga diriku juga akan berhijrah ke arah yang lebih baik untuk terus menjadi hamba yang soleh.

Wednesday, October 17, 2012

Oktober Berulang Kembali : Satu Pengenalan.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Lama tidak menulis adakalanya memenatkan minda, saya mengakui, saya sebenarnya kehilangan rentak untuk menulis setelah sekian lama tidak mencuba untuk mengatur kalam.

Ketika pelbagai isu menerjah halaman utama akhbar saban hari, pelbagai yang ingin dipandangankan, tapi tidak semudah yang disangka. Berputaran jarum jam mengelilingi masa yang ditentukan Allah, kini kalendar sudahpun menunjukkan tarikh 17 Oktober 2012.

OKTOBER, ya! Bulan ini meninggalkan pelbagai cerita yang masih lagi terngiang-ngiang dalam minda dan fikiran. Khususnya pada dua tahun yang lepas. Inginkan saja saya menulis cerita yang berlaku di sekeliling saya untuk dijadikan satu tulisan yang menceritakan apa yang berlaku di sekitar saya pada ketika itu.

Insya Allah, bermula esok, satu cerita yang berkaitan dengan bulan ini akan saya merajinkan diri untuk menulis, harap ianya menjadi satu bentuk perkongsian yang dapat diambil iktibar.


Tuesday, September 18, 2012

Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka - Bahagian Kedua (Kepentingan Khutbah Nikah)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian.

Sebelum saya memanjangkan kalam bagi topik perbincangan pada kali ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca blog ini kerana membaca dan menghadam penulisan saya tentang artikel sebelum ini iaitu "Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka" yang saya tulis sebelum ini. (boleh klik ke tajuk artikel bagi mereka yang belum membacanya.

Secara ringkasnya, artikel yang lepas telah saya ulaskan tentang kepentingan memahami perihal isu aurat khususnya golongan wanita dan juga kaitannya dengan orang yang diamanahkan menjaga wanita itu, sama ada suami, ayah, abang dan sebagainya. Artikel itu bukan bersifat ingin menghukum seseorang yang tidak menutup aurat secara terus.

Tetapi ingin memberi kesedaran kepada wanita-wanita di luar sana tentang perihal menutup aurat, jika mereka sayangkan suami, ayah, abang dan orang yang diamanahkan menjaga mereka, mereka perlu penuhi tuntutan untuk menjaga mereka daripada binasa sama ada di dunia ini atau dunia selepas kematian.

Keluarga Sakinah impian setiap manusia bergelar Mukmin

Bagi suami, ayah, abang dan lelaki-lelaki yang mempunyai perempuan sebagai ahli keluarga mereka, kesedaran yang ingin saya campakkan kepada mereka ialah untuk bersama-sama menegur mereka agar menjaga batas aurat. Kerana kita adalah insan beragama.

Yang penting, masing-masing memainkan peranan dalam memastikan keluarga menjadi keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.

Baiklah, saya rasa perlunya jejari saya menghala ke arah tajuk perbincangan yang saya tulis, iaitu tentang kepentingan Khutbah Nikah.

Sebelum itu saya ingin katakan, saya bukan bercerita tentang "nikah khitbah" tapi "khutbah nikah".

Khutbah Nikah ialah khutbah yang disampai sebelum akad nikah berlangsung, hukum membaca Khutbah Nikah adalah sunat. Meskipun hukumnya sunat tetapi impaknya sangat besar jika disampaikan secara betul dan tepat bagi memastikan kefahaman dan tujuan perkahwinan dapat dihayati oleh pasangan yang berkahwin.

Antara intipati Khutbah Nikah yang biasanya disampaikan oleh kadhi atau imam yang bertugas ialah gesaan untuk bertaqwa kepada Allah, tujuan Allah menjadikan lelaki dan wanita dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali menjadi saksi perkahwinan abang-abang dan kakak saya serta beberapa teman lain yang menamatkan zaman bujang mereka sebelum ini.

Khutbah Nikah
Antara teks Khutbah Nikah

Namun adakalanya ianya dibaca di atas kertas dan kurangnya dititikberatkan tentang hak dan tanggungjawab suami dan isteri dalam rumah tangga. Khutbah ini perlulah diberikan rohnya iaitu penekanan tentang hak suami isteri, menjaga dan mencintai suami atau isteri bukan sahaja jasadnya, tetapi amalannya, auratnya agar mereka menjadi contoh yang baik kepada agama Islam.

Saya bukan mahu menyalahkan pihak kadhi kerana tidak menyampaikan Khutbah Nikah secara lebih serius, tapi penekanan perihal ini dirasakan perlu, pesanan ini agar boleh terus terpasak ke dalam minda pasangan suami dan isteri, bahkan ianya akan menjadi lebih indah jika dapat diinterpretasikan dalam bentuk tindakan.

Namun yang lebih penting, kita berdoalah agar isteri-isteri / anak-anak perempuan di luar sana menjaga aurat mereka agar mereka dapat menyelamatkan keluarga mereka dari api neraka.

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya. Ayah sebagai pelindung utama anak perempuannya. Segala dosa besar atau kecil anak perempuannya akan ditanggung hinggalah anak perempuannya dinikahi oleh suami.

2. Suaminya

Suami bila dah berkahwin, sangat besar tanggungjawabnya. Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya di mana-mana. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka. Ini dipanggil dayus iaitu tidak marah atau cemburu apabila isterinya bergaul bebas dengan lelaki lain.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak. Maka, sebagai abang, korang wajib untuk membantu mempercepatkan pernikahan adik perempuan korang. Bantu mereka cari calon yang terbaik yang boleh membawanya ke syurga.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka. Memang fitrah wanita suka mengumpat. Kita sebagai anak wajib ingat memperingati antara satu sama lain.
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا 

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka"

(Surah At-Tahrim :  Ayat 6)

Wednesday, September 12, 2012

"Kasihan, Isteri Punya Dosa, Suami Ke Neraka"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Berat badan naik 5 kg ketika Syawal sedangkan dalam Madrasah Ramadhan, berjaya menyusut 3kg. Sukar dan penuh cubaan pada mereka yang berusaha. Sekalung tahniah kepada mereka yang berjaya melakukan puasa enam Syawal.

Gambar terkini saya yang menyaksikan postur badan semakin berisi

Buat yang tidak sempat, tidak mengapa.

Rumah terbuka pastinya menggoda nafsu, makanan yang dihidangkan mengundang penambahan berat badan, mungkin selepas Syawal baru boleh bermula untuk aktif kembali untuk bersukan.

Tetapi ini bukan cerita tentang rumah terbuka atau berat badan yang meningkat, tapi tentang tajuk yang saya tulis ini. Ya! Tajuknya agak kasar, tapi ianya renungan untuk saya dan juga saudara sekalian.

Ketika saya bersama Abang Is (Mohd Husni) pada Ahad lalu (9 September 2012), beliau mengajak saya ke rumah seorang kenalan korporat beliau di Banyan Close. Sepanjang tiga tahun membanting tulang menadah ilmu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pun saya tidak pernah berhajat untuk ke sana. Sedangkan pada pagi itu saya keletihan selepas bertugas.

Tapi hati terdetik juga untuk ke sana.

Ketika menjejak kaki ke sana, ramai yang sedang menjamu selera, kami juga mencedok satu dua jenis makanan untuk menjadi santapan.

Tiba-tiba, satu luahan yang Abang Is lontarkan kepada saya:

"Kesian, isteri punya dosa, suami masuk neraka"
Tergamam saya seketika

"Kalau betul isteri dia sayang suami, dia takkan biar rambut berjurai macam tu dalam majlis macam ni atau kat mana-mana pun"

Baru saya dapat tangkap maksud tersirat yang Abang Is cuba sampaikan, tentang tanggungjawab kekeluargaan perihal menjaga aib suami dan isteri masing-masing. Bagi saya, aurat juga merupakan aib yang besar tetapi dipandang sepi oleh masyarakat.



Antara gambar dalam kempen "Jangan Dedah Aurat Di Facebook"

Sebelum ini kita didedahkan dengan dosa dedah gambar tidak tutup aurat di facebook dan sebagainya, Tahniah pada yang berusaha atas kempen ini, sedangkan saya yang punya kudrat dan kekuatan pun masih lagi gagap untuk bercerita tentang perkara ini, maklumlah, saya bukan pandai berpidato. Harap tulisan ini menjadi saksi bahawa saya pernah menegur perkara aurat dalam dunia maya.

Saya teringat kembali kepada anak-anak didik saya di SMK Putrajaya Presint 11 (2) yang pernah saya berbakti menyampaikan ilmu suatu ketika dahulu. Adakah mereka akan menjadi anak yang membawa ibu bapa mereka ke syurga atau ke neraka?


Saya bersama anak murid saya ketika membawa mereka ke TV Al-Hijrah baru-baru ini

Sekarang, terpulang kepada kita, butang untuk menentukan hala tuju ini dalam genggaman semua.




وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya : Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka   dan memelihara kemaluan mereka, danjanganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanyaDan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (al-Nuur : 31)

Thursday, August 16, 2012

Sketsa Syawal : Layakkah Kita Menerima Ijazah?

Gambar hiasan ketika bergelar mahasiswa di kampus

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ramadhan.

Kurang daripada 48 jam lagi (artikel ini ditulis pada 17 Ogos 2012 jam 3 petang), mentari Syawal akan menyinari bumi. Satu detik yang akan menyaksikan persimpangan oleh manusia yang masih menghelakan nafas.

Ada yang bersedih kerana Ramadhan, bulan penuh Rahmat akan meninggalkan kita. Ada yang gembira melampau untuk Aidilfitri sedangkan Rejab baru mengingatkan kita tentang Ramadhan. Sehingga kita meminggirkan Ramadhan. Perkara ini saya ada tulis dalam artikel sebelum ini, rujuk di sini.

Saya? Sekadar yang ada. baju yang sama, tidak ada beza. Baju baru bukan suatu kemestian.

Yang penting adakah kita bersedia untuk menerima ijazah? Bukan di universiti, tapi pada malam Aidilfitri.

Malam raya dikenali sebagai malam "Lailatul Ja'izah" yang mana Allah akan menganugerahkan ijazah kepada kita di atas amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Apabila kita sebut tentang penganugerahan ijazah, pasti kita akan teringatkan majlis yang berlangsung penuh kemeriahan dan juga protokol yang perlu diikuti. Ianya tidak terkecuali dengan malam Lailatul Ja'izah yang mana malam itu perlu dilimpahi dengan majlis ilmu, bukannya hiburan melalaikan atau persiapan raya sehingga terlupa untuk beribadat pada malam raya.

Bukan tidak boleh untuk meneruskan persiapan hari raya, tapi akan menjadi lebih elok jika fokus kepada ibadat kerana yang lebih penting dalam kehidupan manusia ialah untuk taqarrub kepada Allah.

Saya memuji satu amalan yang mana pada malam raya, orang ramai yang pulang daripada solat tasbih pada malam raya, kemudiannya singgah ke setiap rumah untuk bertakbir di dalam rumah yang berada sepanjang jalan dari surau ke rumah mereka. Sekurang-kurangnya takbir raya adalah amalan untuk memuji Allah.

Tanya diri kita, bagaimana pula untuk Lailatul Ja'izah tahun ini?

Saya mungkin kurang dari sudut ilmu dan fadhilah Lailatul Ja'izah atau malam raya. Mohon sekalian pembaca untuk cuba bertanya kepada mereka yang mahir dan faqih tentang perkara ini.

Salam Hari Raya. Moga Allah terima amalan kita sepanjang Ramadhan ini.

Semoga bertemu dengan Ramadhan tahun depan sekali lagi.

 (p/s: Gambar di atas ialah abang saya, Shaifuddin Muhamad yang kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan kerana mengalami kemalangan pada isnin lepas, tengkorak retak, keadaan terkini ialah bahagian yang retak telah disambung dan pendarahan otak berjaya dihentikan, namun dalam keadaan separa sedar. Mohon semua pembaca untuk mendoakan yang terbaik bagi abang saya)

Wallahu A'lam


Monday, July 30, 2012

Ramadhan Yang Dipinggirkan

Assalamualaikum. Ramadhan Kareem. Allahu Akram!

Itulah ucapan yang digalakkan kepada kita ucapkan sepanjang Ramadhan. Bulan yang mulia ini menjengah kita lagi. Alhamdulillah. Semoga kita menjadi orang yang bertakwa dengan amalan puasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti yang difardhukan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"

Di penghujung ayat ini disebut bahawa kita wajib berpuasa agar kita menjadi orang yang bertaqwa, Taqwa ini pelbagai cara, maka untuk mengetuk pintu taqwa, puasa adalah salah satu amalan yang difardhukan kepada kita. Saya doakan kepada diri saya sendiri dan saudara saudari pembaca sekalian agar ketaqwaan dapat kita raih.

Ramadhan kini memasuki fasa kedua, ada dua fasa lagi untuk dilengkapkan tetapi saya ingin agar Ramadhan itu menjadi milik kita sepanjang tahun, agar keampunan Allah terus berada dengan diri kita.

Tapi realitinya sudah pasti tidak begitu, perlu terima hakikat bahawa Ramadhan pasti berpisah dengan kita, sama ada kita yang meninggalkan Ramadhan kerana kematian atau Ramadhan meninggalkan kita kerana Syawal yang tiba.

Ketika kita digalakkan penuhi diari Ramadhan kita dengan pelbagai aktiviti, tanpa kita sedar (atau mungkin yang sedar), Ramadhan bagai dipinggirkan.



Amalan Tadarus Al-Qur'an merupakan antara amalan yang digalakkan dalam bulan Ramadhan


Kenapa dipinggirkan? Tidak sukar jawapannya, kerana Syawal yang memenuhi kalendar manusia sedangkan Rejab baru sahaja menyapa dunia dan manusia di dalamnya.

Tidak salah untuk kita berbicara tentang biskut Almond London ataupun Baju Melayu untuk hari kemenangan yang hanya muncul setahun sekali, tetapi segala promosi itu mengaburkan tawaran istimewa Ramadhan tentang menjadikan seseorang untuk bertaqwa.

Promosi penerbangan ke kampung halaman masing-masing pada Aidilfitri. Saya tak pernah nak sibuk tentangnya.

Kasihan Ramadhan, manusia yang mendakwa diri ingin menjadi lebih bertaqwa, tetapi melupakan Ramadhan yang menawarkan penambahbaikan tahap ketaqwaan dalan diri.

Sebaliknya fokus kepada hari raya.

Promosi makanan hari raya

Itulah menjadi punca kenapa saya tidak suka ke Bazar Ramadhan atau ke Pasar Raya sejak Rejab sehingga Syawal. Berbuka di masjid menjadi rutin saya sejak di kampus sehingga ke alam pekerjaan. Sejak bekerja, duit makan saya hanya untuk bersahur sahaja, itu pun tak banyak.

Di kampus dahulu pun saya berbuka dan bersahur di masjid, bukan menumpang tetapi tidak mahu bermewah, sebaliknya agar diri sedar yang saya bukan orang senang.

Dalam beberapa belas hari lagi Ramadhan yang akan meninggalkan kita, adakah kita akan terus meminggirkan Ramadhan?

Wednesday, July 25, 2012

Mesej Buat Propagandis

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalam saya mungkin bercanggah dengan bulan Ramadhan ini, bukan saya tidak ingin tulis tentang Ramadhan, tetapi saya sedang menyusun sesuatu.

Ianya ringkas sahaja.

http://www.highsnobiety.com/news/wp-content/uploads/2011/11/propaganda-snowboard-film.jpg

Iaitu menangkis sesuatu yang sedang cuba disusun.

Iaitu tentang mereka yang tidak mahu menerima sesuatu kebenaran dan cuba wujudkan kepalsuan demi kepentingan diri dan meraih kelompok sendiri.

Demi kemenangan diri, PROPAGANDA diwujudkan.

Nak tahu definisi propaganda?

"Propaganda ialah seni untuk mempengaruhi, tetapi berbeza dengan dakwah Islamiah, kerana dakwah Islamiah bukan untuk mempengaruhi, tetapi untuk menyatakan tentang kebenaran agama Allah. Propaganda pula ialah seni untuk menipu, kerana realpolitik dipergunakan."

Realpolitik pula ialah politik yang menghalalkan cara.

"Propaganda ialah bersifat Dorongan Emosi, tanpa fakta. Kamu (siswa Diploma Komunikasi) mempelajari benda ini (propaganda), bukan saya nak ajar kamu buat propaganda, tapi supaya kamu mengenali langkah manusia yang akan cuba melakukan propaganda. Supaya kamu tidak tergolong sama dengan golongan yang ingin menang semata-mata"

-En. Rozalafri Md Johori, Pensyarah Subjek Propaganda, KUIS-

Saya mengenali propaganda sejak di bangku sekolah dan saya telah berjaya menangkisnya di kampus.

Saya juga boleh membaca siapa yang cuba wujudkan propaganda.

Mesej saya buat propagandis, bersedialah untuk dihukum dengan fakta yang kamu tidak punya. Nantikan pula detik pendedahan propagandis itu.

Jangan sampai anda tertipu dengan propagandis yang cuba mewujudkan dorongan emosi kepada anda.

Saturday, July 14, 2012

Tentang Seseorang : Temanku Abdul Salam Oumar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ketika Ramadhan semakin hampir menjenguk kita, saya mengakui bahawa saya masih lagi dalam pergelutan untuk mendapatkan rentak bagi mengharungi bulan penuh barakah ini. Masakan tidak, kesibukan yang semakin menerjah diri, menjadikan saya tidak sedar, beberapa hari lagi Ramadhan akan bertemu dengan diriku lagi.

Ketika kebuntuan ilmu dalam penulisan, saya mencari sahabat dan ilham, moga-moga boleh mencetuskan sebarang inspirasi daripada kisah mereka, menggerakkan saya untuk terus berkarya, apatah lagi kini berada di lapangan media arus perdana, rasanya tak perlu saya nyatakan bahawa saya kini bertugas di mana, yang perlu kalian semua tahu ialah saya kini diuji dalam kenikmatan.

Di tengah kotaraya Kuala Lumpur yang jalannya penuh warna warni di waktu malam, hakikatnya saya tidak punya teman dan kawan, boleh dikatakan begitu, kalau ada pun, teman sekerja di pejabat. Petang semalam (14 Julai 2012), saya menghidupkan enjin Yamaha FZ 150i, menelusuri Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, menuju Lembah Ilmu yang pernah saya diami.

Tidak lain dan tidak bukan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ketika menjelang senja Maghrib, saya tiba di sana, ternyata saya disambut, hakikatnya kunjungan saya ke KUIS berjaya mengukir senyuman dan mencipta kembali sesuatu yang hilang, iaitu persahabatan. Sepanjang tiga tahun saya di sana menadah dan meminum air di Lembah Ilmu, apa yang saya dapat adalah lebih daripada sekadar ilmu, silih berganti manusia sejak saya bergelar junior sehingga saya melangkah sebagai senior, mereka masih mengenali saya.

Daripada beberapa orang yang saya temui, salah satunya yang amat saya rindui dan saya bertemu dengannya dengan penuh kesyukuran, insan hebat ini bernama Abdul Salam Oumar yang merupakan siswa Diploma Perbankan Islam.

Inilah kawan saya, Abdul Salam Oumar

Bermula dengan pembantu Imam di Masjid Al-Azhar, kini saya difahamkan beliau merupakan Imam Tiga di masjid ini
Masjid Al-Azhar masih berdiri teguh di KUIS

Beliau yang mesra dengan panggilan "Salam", karektornya sesuai dengan namanya yang bermaksud "sejahtera", setiap kali bertemunya, pasti wujud kemesraan antara kami. Imam yang berasal dari Chad ini pada mulanya saya kenali, saya hanya kenal beliau sebagai seorang Imam dan seorang makmum sahaja, namun kami menjadi lebih rapat.

Kami berkongsi segalanya, meskipun beliau bukanlah seorang yang dikenali ramai di KUIS, tetapi memainkan peranan yang cukup besar bagi pengimarahan masjid.

Saya pernah mengajak beliau untuk beraya di Kelantan, kampung saya kerana beliau tidak berkemampuan untuk pulang ke tanah airnya, beliau bersetuju, namun apabila saya memberitahu kepadanya bahawa saya akan pulang ke Kelantan dengan motorsikal, beliau menolaknya dan beliau anggap bahawa saya buat "kerja gila". Hehehehe.

Ketika Ramadhan tahun 2011, kami sama-sama mewujudkan majlis Tadarus Al-Qur'an di Masjid Al-Azhar, meskipun kami majlis Tadarus itu berlangsung dalam keadaan hambar, tidak ramai, kadang-kala saya punya komitmen untuk mahasiswa ketika itu, (Pada 2011 saya bergelar Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, agak sibuk juga meskipun bulan Ramadhan), beliau masih tetap meneruskan Tadarus.

Semalam kami bertemu kembali, ternyata senyuman beliau masih manis menyambut saya, gembiranya apabila bersahabat kerana Allah. Kini saya dalam dunia industri yang saya sendiri tidak jangka akan berada di lapangan ini, tetapi semua ketentuan Allah, saya gembira kerana saya berkenalan dengan sahabat yang berasal dari benua yang berbeza, tetapi kami punya satu persamaan yang menyebabkan kami bahagia bila bertemu. Atas nama ISLAM.

Saya doakan agar Imam Abdul Salam dikurniakan segala kebaikan di dunia dan akhirat.

Thursday, July 12, 2012

Lambaian Sweden Berakhir, Putus Harapan Tapi Terus Mara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada Jumaat 13 Julai 2012 yang mulia.

Semakin sibuk, semakin terlupa beberapa perkara. Kadang-kadang ada beberapa perkara yang cuba untuk kita lupakan, agar tidak timbul duka di hati.

Itulah ungkapan yang tepat untuk ku ungkapkan. Bukan maksudku untuk berundur, aptah lagi putus asa, tapi harapan ku kini menujukku ke arah kembara ke dunia sebenar.

Setelah menamatkan survival pengajian dan sudah pun tamat pengajian Diploma (walau tanpa majlis konvokesyen), namun tidak ku nafikan bahawa ku merindui dunia kampus. Ku berusaha untuk mencapai dunia itu kembali. Industri adalah dunia baru yang ku perlu harungi dalam keadaan terkapai-kapai untuk ku capai objektif itu.

Paling dominan impianku, untuk ke negara Scandinavia, Sweden.

Peta Sweden yang ingin ku jejaki

Pelbagai jalan telah ku lakukan untuk melalui jalan-jalan di situ, seorang pak cik ku berada di sana, ingin juga ke kecapi pendidikan kondusif serta percuma.

Tangga-tangga kedutaan di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur ku jejaki, ini semua demi masa depan yang lebih baik

Bukan ku ingin nyatakan bahawadi sini tidak punya lokasi untukku mengaut ilmu, tetapi sudah pasti kita inginkan yang terbaik dalam kehidupan kita, maka kerana itulah daku cuba juga.

Awal Mei 2012, ku ketahui akhirnya bahawa Lambaian Sweden Berakhir, ianya hanya tinggal lambaian yang melambaikan tangannya sebagai simbolik ucapan "Selamat Tinggal".

Keluargaku masih menjadi inspirasi

Ku juga tidak putus harapan, sekurang-kurangnya ku masih punya harap untuk melangkahkan kaki ke kuliah tempatan. Ku perah kudrat, berlari siang dan malam dengan nawaitu itu. Hari ini ku tahu segala jawapannya.

"Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan anda ke IPTA TIDAK BERJAYA dalam Permohonan ke IPTA bagi SESI AKADEMIK 2012/2013". Jelas dan nyata jawapan itu. Murung, terkurung dan bikin aku terapung di atas awan kelabu.

Tapi aku tahu, ini semua ujian Allah, mahu bikin aku lebih kuat. Aku terima dan aku teruskan segala yang ada di hadapan mata dan jasadku.

Yang pasti, ku harus berjuang di lapangan baru, meskipun bukanlah lapangan yang didambakan, tapi setidaknya itulah lapangan yang pasti menguji kudrat dan emosiku untuk terus melangkah ke persada ini. Moga ianya terus ku hadapi.

Sunday, June 24, 2012

(Kisah Perjalanan) Travelog to Yala : Tenang dalam Konflik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Sudah lama tidak mengukirkan kalam di sini, masakan tidak, komitmen kerja yang sangat-sangat mencabar, tetapi apa yang sedang saya lakukan sekarang sebagai kerjaya? Nanti saya akan beritahu apabila tiba masanya nanti, bila keadaan selesa, barulah saya beritahu, sekarang ini masih bergelut untuk mendapatkan rentak yang sesuai.

Gambar penulis di jeti Pengkalan Kubor sebelum ke seberang

Tulisan kali ini ingin saya ceritakan tentang perjalanan saya ke Yala dan Panttani baru-baru ini. Kenapa Yala dan Pattani? Sebenarnya saya pergi ke sana pun secara tidak dirancang, pada hari yang bosan, saya diajak oleh keluarga untuk ke sana, tujuannya adalah untuk menguruskan tanah pusaka arwah ayah saya di sana yang masih belum selesai.

Di rumah kampung

Namun apa yang ingin saya ceritakan bukanlah tentang isu tanah itu, tetapi tentang apa yang telah saya dapati sepanjang perjalanan ini. Meskipun kawasan Selatan Thailand dikenali sebagai kawasan bergolak, namun perjalanan saya di sana seakan-akan tidak menampakkan suasana seperti kawasan yang sedang berada dalam krisis.


Tempat penulis bermain suatu ketika dahulu

Sekiranya ada pun, hanyalah tentera yang mengawal di pos kawalan dan saya kira itu adalah perkara biasa.

Namun sejak wujudnya Universiti Islam Yala (UIY) iaitu universiti yang bertaraf antarabangsa meskipun perkataan "antarabangsa" pada namanya, keadaan di sana menjadi lebih tenang, kerana bagi kerajaan Thailand, mereka sangat menjaga imej mereka di mata dunia, ternyata kewujudan UIY dengan dua kampus di Pattani dan Songkhla bagaikan rahmat buat penduduk Selatan Thai.

Singgah di Universiti Islam Yala

Lagipun, kezaliman yang memuncak di sana berlaku ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri yang kini terbuang iaitu Thaksin Shinawatra, meskipun kini adiknya, Yingluck mentadbir negara "Gajah Putih" itu, tetapi kewujudan kampus itu membuatkan keadaan masih boleh dikatakan stabil.

Bersama kereta

Apa yang disumbangkan UIY ini terhadap penduduk Selatan Thai? Apabila wujudnya UIY maka wujudkan mahasiswa yang berstatus warga asing daripada China, Singapura, Brunei dan sebagainya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kerajaan Thailand sangat menjaga imej mereka di mata dunia.

Jika anda menjejaki Bandar Yala, suasananya teratur dan membangun bagaikan wilayah ini tidak pernah bergolak.

Pasaraya besar masih wujud dan kehidupan warganya masih seperti biasa.

Meskipun mereka hidup dalam konflik, namun keamanan dapat dirasai.

Berhenti singgah untuk membeli makanan

Tuesday, June 12, 2012

Bila sudah lama tidak menulis di Kalam Nie-Zarm

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sudah lama tidak mengukirkan kalam di sini. Sedangkan suatu ketika dahulu di sinilah rancak segala gerak kerja saya nukilkan.

Setelah melihat kepada senarai tulisan saya, rupanya sudah sepurnama tidak mengukirkan kalam-kalam di sini. Saya semakin kurang di atas talian. Ketika dalam perjalanan mencari diri sendiri, pelbagai cubaan saya harungi. Tersungkur dan bangun balik menerima segala ujian.

Pada usia menjangkau angka 23, ramai yang menasihati saya agar memulakan hidup dengan lebih serius daripada biasa. Merangka dan merancang segala bentuk masa depan. Saya sebenarnya masih lagi hidup dalam kenangan. Rasa ingin mengaut ilmu masih menebal, saya lebih suka belajar berbanding bekerja.

Tapi apapun tetap perlu saya harungi hidup yang sudah tercatit di Luh Mahfuz itu. Meskipun banyak isu yang berlaku sama ada di kampus yang pernah saya berbakti (KUIS), saya tidak ligat mengeluarkan kenyataan atau pandangan seperti dahulu. Maklumlah blog ini pun bukannya ada pengikutnya yang tersendiri.

Buang masa dengan edit gambar

Kini permulaan baru bakal bermula. Harapan agar ianya menjadi permulaan yang baik dalam kehidupan saya. Setidaknya untuk mewujudkan kebaikan walaupun sekelumit sumbangan demi ummat ini.

Friday, April 20, 2012

CAKNA MAHASISWA : Perkongsian Selepas Latihan Amali @ TV Al-Hijrah Buat PEMBANGUNAN SISWA KUIS.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Malam ini saya mengimbau kembali foto-foto kenangan saya ketika melaksanakan Latihan Industri (LI/Praktikal) di TV AlHijrah, meskipun hanya tiga bulan sahaja berbanding dengan rakan kampus lain, namun ianya penuh pengalaman yang mungkin berbeza dengan rakan yang lain.


Bagi saya, pengalaman perlu dikongsi kerana mungkin berguna untuk individu yang akan ke LI nanti, namun apa yang ingin saya ketengahkan ialah mengenai beberapa perkara yang boleh diaplikasikan secara umum dan beberapa tuntutan oleh Majlis Perwakilan Pelajar KUIS (MPP KUIS) kepada pihak pentadbiran KUIS yang BERSIFAT KEPERLUAN, BUKAN KEHENDAK semata-mata.

1. Ketika saya belajar di semester satu, subjek pengajian Teknologi Maklumat (IT) secara praktikal lebih berkisar tentang penggunaan peralatan pejabat paling asas seperti Microsoft Office 2010 dan menggunakan Sistem Operasi (OS) Windows. Namun di dalam industri khususnya penyiaran, teknologi yang digunakan ialah Sistem Operasi Apple dan penggunaan aplikasi Adobe Tools. Demi menjamin kempetensi dari sudut kemahiran komputer, wajar sekiranya perisian ini dijadikan silibus pengajian khas.

2. Mendapatkan lesen kelas D iaitu lesen kereta "P", ini adalah asas dan mahasiswa perlu berusaha sendiri.


3. Saya dimaklumkan tentang studio TV dan Konti Radio KUIS telah siap dan mula beroperasi, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada pensyarah Jabatan Komunikasi KUIS di atas usaha ini. Jika di IPT lain mempunyai stesen televisyen atas talian atau stesen radio, alangkah bagusnya jika MPP KUIS dapat usahakan bersama Persatuan Mahasiswa Komunikasi sebagai wadah merekrut ahli penyiaran Islam sedari kampus lagi.

Saya kira setakat itu dahulu, kerana kesuntukan masa. Semoga kita semua mementingkan KEPERLUAN dalam menuju mahasiswa yang "Pemangkin Tradisi Ilmu" sama ada dalam kampus atau di luarnya ke arah kemenangan Islam yang mampu berjihad di segala bidang yang dicitakan kita semua.

Sunday, April 15, 2012

CAKNA MAHASISWA : Bijak Mengasingkan Antara "KEPERLUAN" dan "KEHENDAK"

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, meskipun terpinggir di katil Hospital Besar Kota Bharu, tetapi masih bersemangat untuk menulis, ini masanya untuk merehatkan badan dan memerahkan minda kembali sebagai mantan pimpinan mahasiswa KUIS

Lama tidak menulis dan hanya mengerah kudrat adakalanya membikin diri dan fikiran hilang, dalam proses perbetulkan diri, perlu juga untuk menulis agar minda sentiasa segar.

Baiklah, saya tidak lupa untuk menulis mengenai lapangan lama saya di mana saya pernah berkhidmat di sana, Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS (MPMKUIS) sesi 2011. Kini ia dikembalikan kepada nama asalnya semula iaitu Majlis Perwakilan Pelajar KUIS (MPPKUIS).

Apapun nama tidak penting tetapi individu di dalamnya yang perlu difokuskan. Kerana mereka akan membawa mahasiswa ke arah kebaikan seiring dengan konsep dan gelaran MAHASISWA yang terkandung di dalam diri pengutip ilmu di laman tradisi ilmu ini.

Di bawah pimpinan Saudara Mohd Firdaus Mohd Hashim, saya diperlihatkan dengan perkembangan pesat yang dilakukan untuk pembangunan mahasiswa, ini baru dua bulan pemerintahan mereka.



Namun ada juga suara-suara sumbang yang cuba menggoyahkan perjuangan mereka dengan kritikan dan juga cubaan jatuh-menjatuh seperti saya alami ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden II (Kebajikan) ketika dahulu.

Itu perkara biasa dalam perjuangan dan saya alaminya. Ada di antara mereka yang tidak mengalami dan tidak faham realiti sebenar, bahkan jika mereka di tempat saya dahulu, mereka pun tidak mampu merealisasikannya. Perkara ini PERNAH TERJADI DI KUIS. INGAT! PERNAH TERJADI!

Cuma tidak perlulah saya nyatakan mereka itu siapa, kerana mahasiswa sudah menilai mereka.

Mungkin kerana TIDAK MENGETAHUI APA ITU "KEPERLUAN" DAN APA ITU "KEHENDAK"

KEPERLUAN adalah satu perkara asasi yang mesti ada untuk memastikan kelansungan kehidupan seseorang individu, dalam konteks mahasiswa KUIS, ianya tidak terkecuali dalam isu MASJID, air, eletrik, peralatan membuat tugasan, perpustakaan dan peralatan kelas yang sesuai. Itu adalah KEPERLUAN yang mesti diperjuangkan bagi memenuhi hak asasi berbentuk material dan rohani sebagai mahasiswa Islam.

Saya melihat KEPERLUAN masjid sahabat-sahabat mahasiswa di kampus jiran kita, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memperjuangkan masjid kampus melalui wadah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Suruhanjaya Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM bagi pembangunan rohani secara holistik di sana. Tahniah.

KEHENDAK pula ialah sesuatu yang TIDAK SAMPAI TAHAP mesti ada, ada adalah bagus tetapi jikalau ianya berbentuk keterlaluan dan perkara itu disuarakan sebagai tuntutan mesti ianya dianggap keterlaluan.

Contoh KEHENDAK yang pernah diminta oleh mahasiswa ialah mesin tambah nilai telefon (top-up) di asrama. Ini bukan keperluan asasi, bahkan ianya terjual meluas dalam kampus sama ada di premis kafe ataupun secara terus melalui siswa dan siswi yang menjadi usahawan di kampus.

Mengajak mahasiswa memenuhi setiap ruang Masjid Al-Azhar, keselamatan di kampus, perpustakaan adalah antara KEPERLUAN ASASI yang mesti ada di KUIS dan mesti diangkat dan bahu membahu sesama mahasiswa.

Segala perjuangan tidak semua akan berjaya dalam sekelip mata. Mungkin segala perjuangan saya dan perjuangan mereka sebelum saya dan perjuangan generasi MPP/MPM KUIS dewasa ini akan membuah hasil pada masa akan datang.

Mungkin semua tidak nampak kisahnya. Saya mengambil contoh Kota Bharu, Kelantan, bumi kelahiran saya.

Ketika kerajaan PAS Kelantan memenangi Pilihanraya Umum (PRU) tahun 1990 dengan "Angkatan Perpaduan Ummah" dan menyapu bersih semua kerusi di Kelantan, kerajaan negeri perlu untuk melunaskan hutang piutang dengan kerajaan pusat sehingga tahun 2005 baru dibina sebuah pusat membeli-belah besar bernama KB MALL.

Apa pengajarannya di sini dengan contoh yang saya kemukakan?

Maknanya, kerajaan negeri Kelantan mengambil pendekatan memenuhi KEPERLUAN ASAS terdahulu sebelum membina satu menurut kehendak yang mungkin dinanti-nantikan oleh warga Kota Bharu.

Begitu juga di KUIS ini.

Berilah masa kepada mereka, kalau dua bula pertama pemerintahan mereka sudah menunjukkan tanda positif, sokonglah, dukunglah, bantulah sebagai mahasiswa Islam yang memegang slogan "Pemangkin Tradisi Ilmu", agar ke arah mahasiswa yang membantu ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Semoga "Cakna Mahasiswa" benar-benar tertanam dalam diri kita semua.



Nota : Penulis mengalami demam, tekanan darah rendah (macam tak percaya), pening kepala, muntah-muntah, badan sejuk bergetar macam parkinson dan sakit belakang.

 
Photography Templates | Slideshow Software